Selasa, 24 November 2009

Idea dan Ilham



Dengan nama ALlah, Maha Pemurah, Maha Penyayang...

Segala pujian dirafa'kan kepadaNya kerana masih mengurniakan peluang untuk menghela nafas dalam nikmat islam dan iman di kala bumi yang didiami telah disirami air hujan hampir genap tujuh hari. Semoga nikmat yang dinikmati dapat disyukuri dan dihargai sentiasa.

Sekiranya diri menyedari, minda ini sentiasa cuba memastikan bahawa sekurang-kurangnya satu coretan dikongsikan pada setiap bulan. Pada setiap bulan itu, minda ini cuba memastikan bahawa setiap perkongsian adalah bersifat terbuka sehabis mungkin, cuba mengelakkan sebarang kisah peribadi yang terlalu khusus. Lantaran dirasakan setiap diri mempunyai kisah peribadi yang unik dan tersendiri di bawah perencanaan Yang Maha Menguasai. Suka dicoretkan bahawa setiap perkongsian di dalam ruangan ini adalah untuk menjelaskan satu kesimpulan yang serupa, kerap kali dicoretkan pada penghujung ruang.

Wahai diri,
Pada kali ini, minda ingin berkongsi tentang betapa setiap perkongsian di dalam ruang ini memerlukan suatu masa untuk memilih tajuk atau tema yang sesuai. Sebagai insan yang masih bertatih dalam dunia berkarier dan terikat dengan komitmen lain, meletakkan satu masa untuk menyumbangkan satu perkongsian yang berisi dan 'original' adalah merupakan suatu yang agak sulit. Namun, dengan kemurahan Yang Maha Pemurah, minda ini masih lagi diberi peluang untuk berkongsi, dan dido'akan amat sangat agar sentiasa diberikan peluang dan ruang untuk terus mencoretkan perkongsian minda ini di dalam ruang yang serba ringkas ini. Video berikut merupakan sebuah iklan korporat tentang bagaimana idea didapati. Terimalah...



CORPORATE VIDEO: Courtesy of SHELL plc.

Sungguh tidak disangka. Sesungguhnya ilmu yang ada padaNya adalah amat hebat. Dan tidak dapat diduga bilakah ilham akan dikurniakanNya kepada makhlukNya, walaupun seorang yang berbangsa Belanda.

"Dan pada sisi ALlahlah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir bijipun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)"
(Al An'aam;6:59)

"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: "Sebutkanlah kepadaKu nama benda-benda itu jika kamu memang benar orang-orang yang benar!" Mereka menjawab: "Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain daripada apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."
(Al Baqarah;2:30-32)

WALlahu'alam...

P.s. Selamat menyambut kehadiran 10 hari terawal Zulhijjah 1430H dan Eidul Adha 1430H. Semoga erti pengorbanan dapat dihayati dan diamalkan....

0 comments: