Khamis, 7 Januari 2010

Ruangan pada celahan



Sekadar Hiasan: Merenung

Dengan nama ALlah, Maha Pemurah, Maha Penyayang,

Ketika mula mencoretkan perkongsian pada kali ini, minda ini teringat tentang kisah berikut:-

Seperti biasa Rasulullah dan para sahabat akan berkumpul selepas solat berjemaah di masjid. Rasulullah melontarkan pertanyaan :

1) Siapakah di antara kamu yang berpuasa pada hari ini?
2) Siapakah antara kamu yang sudah menziarahi orang sakit pada hari ini?
3) Siapakah antara kamu yang sudah bersedekah pada hari ini?

Tidak ada orang yang menjawab “Ya” bagi ketiga-tiga soalan ini kerana masing-masing khusyuk beribadah di masjid sahaja sepanjang hari itu dan belum lagi keluar dari masjid untuk melakukan kebaikan seperti yang disebutkan Nabi. Tiba-tiba Abu Bakar menjawab, “Wahai Rasulullah. Saya berpuasa pada hari ini. Sebelum datang ke masjid pagi tadi, saya singgah di rumah Abdul Rahman bin Auf yang sakit. Semasa berjalan ke masjid tadi, saya terjumpa seorang peminta sedekah lalu saya berikan sekeping roti.” Rasulullah SAW sangat gembira mendengarnya dan bersabda kepada Abu Bakar, “Bergembiralah kamu dengan syurga. Bergembiralah kamu dengan syurga.”

Olahan Sumber : Abu Bakar: Sahabat Sejati oleh Abdul Latip Talib

Bagi sesetengah daripada diri, kisah ini dijadikan sebagai contoh untuk menumpukan tentang keutamaan bersedekah, berziarah, dan berpuasa untuk mencapai ganjaran syurga. Walaupun minda ini belum menjumpai sumber sahih kisah ini, (semasa perkongsian ini disiapkan) namun minda ini ingin berkongsi tentang pandangan daripada sudut yang lain, selain daripada pandangan sedia ada.

Sekadar Hiasan: Jabal Nur (Gua Hira') ke arah Mekah

Sebenarnya minda ini amat kagum dengan kecekapan (terjemahan untuk 'efficiency') seorang muslim contoh. Inilah contoh ikutan yang sepatutnya dilihat oleh diri. Minda ini mengakui bahawa kecekapan minda ini amat jauh sekali jika dibandingkan dengan beliau, namun minda ini tetap menaruh perasaan untuk mendekati kecekapan yang sedemikian rupa. Ketika individu lain masih lagi belum melangkah keluar daripada masjid untuk memulakan rutin harian, insan bernama Abdullah bin Abu Quhafah telah melakukan bukan sahaja satu, malah tiga kebaktian yang menjadikan beliau calon tunggal syurga pada waktu tersebut. Semoga diri bercita-cita menjadikan kecekapan sehingga ke tahap tersebut.

Wahai diri,
Kadang-kadang dirasakan bahawa masa 24 jam yang diberi pinjam ini amat sesak lagi menyesakkan. Putaran waktu dirasakan begitu pantas. Rupa-rupanya sudah petang. Rupa-rupanya sudah seminggu. Rupa-rupanya sudah sebulan. Dirasakan setahun bagaikan semalaman berlalu. Sungguh pantas masa berlalu. Adakah perlu masa kecederaan sebagai tambahan kepada masa sedia ada? Secara zahirnya, mustahil perkara ini akan berlaku. Namun, minda ini dilirikkan pandangan kepada kisah berikut:-

“Pernah pada suatu ketika, saat Saidina Umar r.a. baru hendak melelapkan mata (Qailulah), tiba-tiba muncul seorang utusan mengetuk pintu rumah baginda. Lantas beliau bangkit daripada pembaringan dan segera bertemu dengan utusan tersebut seraya berkata : “Bagaimanakah aku boleh tidur, sedangkan ada hak yang perlu aku tunaikan? Dan bagaimana aku boleh tidur di waktu malam sedangkan aku perlu menunaikan hak Allah?”


Satu lagi contoh sebenar seorang insan yang memiliki kecekapan yang amat tinggi. Sebenarnya, sudah menjadi sunnatuLlah bahawa dengan bertambahnya usia dan kemampuan, bebanan dan tanggungjawab akan bertambah selari dengan keadaan diri. Kadang-kadang, dirasakan begitu terhad pada kemampuan, apabila dilihat dengan jasad yang satu, sumbangan tenaga hanya dapat dikerahkan secara fizikal pada satu-satu tempat, pada satu-satu masa, sedangkan insan di tempat lain juga mendambakan khidmat daripada jasad yang satu tersebut. Sungguh terhad kemampuan diri dalam menyampaikan khidmat...

Sekadar Hiasan: Pandangan dekat Masjidil Haram dari Jabal Nuur

Selain itu, minda ini diilhamkan tentang satu perbandingan (analogi) ringkas. Kisahnya adalah seperti berikut:-

Di suatu daerah yang permai, tinggal seorang ketua kepada sepasukan tukang rumah. Beliau digelar Pak Mat. Sememangnya dia seorang yang amat pakar dengan rekabentuk rumah banglo satu tingkat. Kehebatannya terbukti kerana dia dapat menghasilkankan binaan yang unik tanpa melihat
binaan di luar yang lain. Pada satu hari, seorang tauke kayu balak berpangkat dato' telah berjaya meyakinkan Pak Mat sepasukan untuk membina sebuah rumah banglo bukan sahaja dua, malah tiga setengah tingkat dengan bayaran yang sangat lumayan. Walaupun Pak Mat dan pasukannya tidak pernah membina rumah yang sedemikian rupa, namun dia dan pasukannya telah bertekad untuk membina tanpa merujuk kepada kepakaran mana-mana pihak yang lain.

Pak Mat merasakan bahawa dengan pengalaman dan kemampuannya yang amat luas dalam binaan sebelum ini mampu untuk menyiapkan binaan yang telah dipersetujui bersama tauke balak tersebut. Bantuan daripada luar hanya diperlukan untuk penyediaan bahan binaan dan yang berkaitan. Dipendekkan cerita, natijahnya binaan tersebut telah tidak dapat menepati cita rasa yang telah dipinta oleh tauke balak tersebut~~
*Watak-watak hanyalah rekaan semata-mata, tidak berkenaan sama ada yang masih hidup, bakal hidup, atau yang telah meninggal dunia.

Walaupun perbandingan di atas adalah agak keterlaluan dan singkat, perkongsian yang cuba diberi ialah kadang-kadang diri perlu melihat keadaan diri daripada padangan sudut orang ketiga. Pandanglah keadaan diri daripada sudut pandangan Abu Bakar r.a. atau daripada Umar r.a. Atau hanya bayangkan diri melihat keadaan diri daripada sudut pandangan insan lain yang melihat karenah diri. Adakah diri sudah benar-benar sibuk? Elakkanlah daripada menjadi seperti kisah perbandingan di atas yang akhirnya hanya memakan diri.

"Dan berdoalah,"Ya Tuhanku, tempatkanlah aku pada tempat yang diberkati, dan Engkau adalah sebaik-baik Yang memberi tempat."
(Al Mu'minuun;23:29)


"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran."

(Al 'Ashr;103:1-3)

Sekadar Hiasan: Matahari Kota Mekah

Akhirul kalam, minda ini ingin mengetengahkan tentang satu konsep bahawa kadang-kadang diri perlu memberikan sedikit ruang waktu untuk merenung kehidupan diri daripada luar kehidupan diri. Jika seharian diri hidup sebagai seorang suami, cubalah melihat keadaan diri daripada pandangan seorang isteri. Jika seharian diri bergelumang sebagai ketua, cubalah merenung keadaan diri daripada pandangan seorang anak buah. Ataupun, jika diri melihat diri begitu sibuk sekali, cubalah diri memandang keadaan diri daripada sudut pandangan seorang yang lebih besar tanggungjawabnya. Atau mungkinkah pandangan keadaan diri daripada sudut multazam dan hijr ismail mampu merungkai kekusutan? Teguran ini hanyalah dihadapkan kepada diri yang mampu memahami perkongsian yang ingin disampaikan.

WALlahu'alam


Sekadar Hiasan: Lokasi Multazam & Hijr Ismail