Sabtu, 15 November 2008

Tiada siapa ingin bersendirian...


Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Maha Penyayang

Masa berlalu begitu pantas, bagaikan mata padang, jika diri tidak mengawal dengan baik maka, diri akan terkorban menjadi mangsa. Tanggal 17 November kali ini menandakan tirai pengajian bagi universiti-universiti di New Zealand akan dilabuhkan. Suatu jangka masa yang dirasakan singkat, namun akan membawa begitu banyak erti kepada diri yang mengambil manfaat daripadanya.

Dalam coretan kali ini, minda ini sengaja ingin berkongsi tentang hakikat kehidupan insan yang mempunyai fitrah untuk tidak mahu hidup keseorangan. Mungkin ada kedengaran diri yang tidak suka bersosial dengan insan lain di sekitar, namun pada hakikatnya, diri akan berteman dengan makhluq Allah yang lain selain insan daripada insan. Inginkan contoh?? Suka minda ini menyebut tentang watak-watak fantasi di dalam dongengan anime, komik, novel, tayangan gambar bergerak,
alam maya (seperti buku-muka [facebook]), malah logam yang bergelar kenderaan (dan perkara lain yang boleh dibayangkan diri). Maka, adalah jelas bahawa fitrah insan dalam diri bahawa diri akan ingin hidup berteman. Sedangkan Adam kesunyian di dalam syurga walaupun dikelilingi dengan pelbagai nikmat.

Sumber: All4humor.com

Wahai diri,
Mengapa diri ingin berteman?
Minda ini menyaksikan bahawa kebanyakan diri, apabila berteman dengan insan lain, diri akan mempunyai hajat tertentu dengan insan tersebut. Tidak kira sama ada daripada segi materialistik mahupun daripada segi naluri perasaan kasih-sayang yang didambakan daripada insan lain yang dijadikan teman rapat. Dalam kursus di universiti yang diharungi, ada di kalangan diri yang akan dipasangkan dengan insan-insan lain untuk melaksanakan sesuatu kerja projek atau tugasan. Secara kasarnya, tanpa teman yang dipilih tersebut di sisi, maka projek atau tugasan yang diberi tidak akan dapat diselesaikan dengan baik.

Oleh itu, sememangnya tidak dapat dinafikan, teman yang memenuhi kehendak diri adalah amat penting kepada diri dalam meneruskan kehidupan. Namun begitu, pernahkah diri terfikir untuk mencari teman yang sebenar-benar teman?? Pepatah ada menyatakan, "Berkawan biar seribu, berteman biar seorang", iaitu teman yang bukan sekadar berjumpa di jalanan lalu disertakan dengan sekadar bertanya "Assalamu'alaikum, how are you brother/sister?". Tetapi teman yang dimaksudkan adalah teman yang sanggup mengharungi senang susah bersama-sama. Memahami kehendak atau keadaan diri. Insan yang lebih memahami keadaan diri tanpa diri sempat menzahirkan keadaan diri. Insan yang sanggup memenuhi segala kekurangan diri. Malah, sanggup menerima kelemahan diri kemudian disertakan dengan cuba sedaya upaya membantu meningkatkan kekuatan diri terutama dalam pembentukan peribadi terpuji. Sungguh idealistik bunyinya, kan kan?....

Sumber: BusinessWeek

Sememangnya diri dapat melihat bagaimana kisah-kisah dongengan mahupun 'based on the true story' menggarap betapa hebatnya persahabatan/percintaan yang wujud di antara watak-watak. Namun begitu, minda ingin bertanya, adakah persahabatan/percintaan itu adalah nilai persahabatan/percintaan yang terhebat di dunia?? Mungkin nilainya hebat kerana dapat menyentuh perasaan diri lalu berderai air mata kerana terharu atas nilai persahabatan/percintaan yang dillihat atau didengar.... Atau mungkin nilainya hebat kerana membawa para penonton atau pendengar untuk berfikir dan menganugerahkan kisah tersebut dengan anugerah-anugerah yang diselitkan dengan babak karpet merah. Mungkin ada juga di antara diri yang menganggap persahabatan/percintaan yang wujud dengan kukuh berdasarkan kenangan/keserasian masa lepas adalah yang terbaik. Maka disandarkan pada kenangan. Pendek kata, diri menganggap persahabatan/percintaan itu kukuh lantaran pernah mengalami zaman yang menuntut diri untuk saling mengenali...

Mungkin ada di antara diri yang berfikir bahawa nilai berteman di dalam konsep kekeluargaan adalah yang terhebat. Mana tidaknya, berpuluh-puluh tahun digunakan untuk membina kenangan bersama dan pada masa yang sama diperkukuhkan dengan ikatan darah (biologically) pasti akan membentuk suatu ikatan persaudaraan yang teramat kukuh. Malah dikatakan si ibu mampu merasakan keadaan anak-anaknya walaupun setiap di antara diri adalah berjauhan. Manakala si ayah pula telah mengorbankan segala penat lelah bertahun-tahun demi mengumpul 'capital' atau dana untuk membesarkan anak-anak.

Oleh itu, minda ini tidak dapat menafikan bahawa ikatan persahabatan atau persaudaraan yang diceritakan adalah sesuatu yang tampak hebat, menyentap perasaan, dan mendidik jiwa. Namun begitu, sedarkah diri bahawa kesemua hubungan yang tampak mulia dan tinggi di atas boleh menjadi suatu yang paling merugikan/menyesalkan jika tidak disandarkan pada tempat yang betul?? Bersama diri memetik kalam yang benar dan terpelihara sejak beribu tahun di bawah :-

"Teman-teman karib pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh kepada sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang bertakwa." [Az Zukhruf; 43:67]

"Hai orang-orang mukmin, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cubaan (bagimu), dan di sisi Allahlah pahala yang besar. "
[At Taghaabun; 64:14-15]

Petikan ayat-ayat yang sungguh pendek namun sudah cukup untuk menyentap perasaan minda ini. Bagaimana pula dengan diri? Jika diri masih lagi tidak merasakan apa-apa, renungilah kembali ayat-ayat atau rajin-rajinlah mendalami tafsir ayat-ayat tersebut....

Sumber: Old photos

Oleh itu, tidak dapat dinafikan hanyalah satu sahaja ikatan persaudaraan/persahabatan/percintaan yang paling hebat di dunia, tidak memerlukan pengiktirafan sesiapapun (grammy awards atau guinness record sekalipun) lantaran nilai ini telah mendapat sokongan daripada yang Maha Besar iaitu hubungan yang disandarkan hanya kepada yang menjadi sandaran segala makhluq. Pendek kata, hubungan tersebut hanya wujud atas dasar ketauhidan yang diri miliki di dalam diri.

Oleh itu wahai diri,
Semaikanlah rasa persahabatan sesama sahabat diri, semaikanlah rasa cinta kepada insan di sekitar diri, teruskanlah hubungan kemesraan dengan kerabat keluarga walaupun telah terputus atau diputuskan... KERANA... kerana kesemua nilai ini hanya disandarkan kepadaNya.. kerana semua hubungan yang tampak mulia dan hebat itu adalah di dalam melaksanakan perintahNya.

Seterusnya, keadaan ini akan menjadi jelas dan terperinci kerana apabila kesemua hubungan yang wujud adalah dalam melaksanakan perintahNya, maka segala gejala negatif (pergaulan bebas, khalwat [dalam definisi Melayu] dan lain-lain lagi) akan terhindar daripada diri. Segalanya adalah bersandarkan kepadaNya. Dalam pada itu, adalah suatu kesilapan jika ada di antara diri yang tidak memberikan ruang kemaafan kepada insan-insan lain yang cuba untuk belajar menyandarkan hubungan hanya kepadaNya. Insan adalah terdedah kepada kesilapan dan hanya panduan dan sokongan sahaja diperlukan untuk mencapai nilai hubungan yang paling hebat di dunia ini lantaran hal ini tidak mudah semudah menghasilkan coretan pada kali ini.

Akhirul kalam, minda ini ingin mengatakan kepada teman-teman yang dikenali dengan rapat di bumi Auckland ini bahawa minda ini hanya menyandarkan segala hubungan persahabatan yang hadir hanya keranaNya. Terima kasih atas segala 'kenangan' tidak kira pahit atau manis, kerana segalanya adalah merupakan didikan daripadaNya lantaran minda ini menyandarkan hal-hal tersebut kepadaNya bukan atas nama kejuruteraan mekanikal, atau UoA mahupun atas nama pemberi pinjam boleh-ubah minda ini dll.

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk." [Ali 'Imran; 3:103]

Dengan ini dipersembahkan pantun ringkas yang diadaptasi daripada sumber berikut (KLIK DI SINI). Hayatilah.....

Apabila diri ingin berteman,

Janganlah kerana kelebihannya,

Kerana mungkin dengan satu kelemahan,

Diri mungkin akan menjauhinya….


Andai diri ingin berteman,

Janganlah kerana kebaikannya,

Kerana mungkin dengan satu keburukan,

Diri akan membencinya…..


Andai diri inginkan sahabat yang satu,

Janganlah kerana ilmunya,

Kerana apabila dia buntu,

Diri mungkin akan memfitnahnya….


Andai diri inginkan seorang teman,

Janganlah kerana sifat cerianya,

Kerana andai dia tidak pandai meceriakan,

Diri mungkin akan menyalahkannya….


Andai diri ingin bersahabat,

Terimalah dia seadanya,

Kerana dia seorang sahabat,

Yang hanya manusia biasa…


Jangan diharapkan sempurna,

Kerana diri juga tidak sempurna,

Kesempurnaan milik mutlakNya,

Dikurnia hubungan sempurna….



Sumber: Old photos


Wallahu'alam....

p/s All the best kepada semua dan yakinlah tiada hubungan yang kekal abadi no matter how 'SOoooo SWEET' it is melainkan hubungan yang hadir kerana disandarkan kepadaNya.. Sehingga ketemu lagi~~

Ahad, 2 November 2008

Ikut ske ati la~~


Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Maha Penyayang,

Sedar atau tidak, tempoh pembelajaran bagi tahun 2008, Universiti nombor satu New Zealand di Bandar Kapal Layar ini akan berakhir dalam kurang daripada 3 minggu lagi. Ruang lingkup masa setahun termasuk 24 minggu tempoh kuliah, lebih kurang 5 hingga 6 minggu tempoh peperiksaan dan selebihnya adalah cuti bergerak dengan begitu pantas sekali. Sebagai pengenalan coretan pada kali ini, minda ini ingin membawa diri untuk berfikir sejenak. Sejauh manakah diri telah berubah dalam tempoh yang singkat ini? Atau lebih khusus lagi, perubahan positif yang meningkatkan peribadi dan kelebihan diri kepada kehidupan yang abadi. Semoga dengan tempoh penilaian diri dalam beberapa saat ini boleh menjadi garis panduan kepada diri untuk meletakkan sasaran realistik yang lebih tepat pada masa depan untuk berubah kepada yang lebih bagus.

Dalam kesempatan yang singkat ini, minda ini ingin berkongsi suatu pandangan yang jarang disedari oleh diri tetapi telah menjadi intipati dalam hampir setiap keputusan yang dibuat oleh diri saban waktu. Lebih tepat lagi coretan kali ini tercetus di kala dua pilihan raya umum berlangsung pada minggu ini iaitu di US dan juga di New Zealand sendiri. Suatu keadaan di mana pengundi perlu berfikir tentang masa depan dan memilih mana-mana individu atau parti yang dirasakan paling layak untuk disandarkan masa depan pengundi.

Sumber: ElectionNZ

Mungkin diri menyedari bahawa saban hari, keputusan yang dibuat disandarkan kepada kepercayaan kepada sesuatu. Analoginya mudah, dalam membuat keputusan untuk mengundi (walaupun secara realitinya tidak 'applicable' untuk diri sekarang), diri akan memilih seseorang atau individu yang memberikan janji yang paling meyakinkan atau realistik. Pandangan mata diri akan memilih seseorang yang memiliki imej keterampilan yang mantap dan boleh dijadikan rujukan atau sandaran.

Begitu juga dalam kehidupan seharian, diri akan secara tidak langsung akan mengenakan gaya hidup bersandarkan individu atau kumpulan yang dikenali. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ini adalah suatu fitrah insan. Pendek kata, jika diri meminati seseorang kerana kebolehannya di dalam sesuatu bidang yang kena dengan diri, maka diri akan begitu meminatinya, cuba mengenalinya, ingat tarikh lahirnya, cuba mengikuti setiap perkembangannya, keluarganya dan pelbagai lagi (the list goes on...)

Sumber: Wikipedia

Dalam menjelaskan hal ini, sudah pasti diri akan mencontohi seseorang yang diri begitu mengenalinya. Adalah menjadi suatu yang pelik jika diri yang berada di tanah air dan mengikuti rapat perkembangan bola sepak Liga Perdana Inggeris tiba-tiba meminati dan mencontohi Richie McCaw. Pendek kata, pepatah ada mengatakan, tidak kenal maka tidak cinta.

Namun bagi sesetengah daripada diri, akan sampai suatu ketika diri akan mula bosan dengan imej yang ditampilkan oleh individu atau sesiapa yang menjadi rujukan jika tidak kena dengan kehendak atau citarasa diri. Akan sampai suatu masa diri akan mula bosan dengan penampilannya dan mencari yang lain. Malah lebih mendalam lagi kesannya jika diri menyimpan perasaan benci dan menyampah dengan bekas individu yang dihormati. Ini juga adalah suatu realiti.....

Namun akan ada juga diri yang akan sentiasa setia dengan yang diminati, tidak kira apa sahaja imej atau kelakuan yang ditampilkan. Sanggup diikuti. Semua yang dikatakan oleh yang diminati diri itu benar dan bagus walaupun tidak kena dengan realiti diri. Keadaan ini jarang berlaku, namun, keadaan ini tetap berlaku, Dalam keadaan ini, minda ini terfikir, ke manakah perginya kewarasan akal dan minda yang berada dalam diri? Jika individu tersebut membawa diri kepada kebenaran, mujurlah. Jika tidak, sungguh malang sekali buat diri apabile mengikuti yang diminati secara membabi-buta (taklid) dan jalan yang dibawa adalah ke arah kesesatan, mabuk dalam nafsu kehidupan dunia.

Dalam menjelaskan hakikat ini, maka minda ini ingin berkongsi. Siapakah yang sepatutnya menjadi individu kegemaran dan yang diminati diri? Jawapan tipikal ialah Rasulullah s.a.w. Namun akan ada suara-suara yang mengatakan adalah mustahil untuk mengikuti seorang insan yang ma'sum (Walaupun ini hanyalah alasan dan boleh dipersoalkan semula, namun bukanlah pada coretan kali ini). Maka minda ini mencadangkan untuk diri merujuk kembali kepada individu-individu biasa yang terdedah melakukan kesilapan di kalangan baginda s.a.w. Rujuklah mereka... Kenalilah mereka...

Sumber: Blog Orang

Memang benar, jika asyik kenal Lewis Hamilton, Kobe Bryant, Barack Obama, Christina Aguilera, Avril Lavigne, Norman Hakim, Ali Williams, atau Cristiano Ronaldo dan ramai lagi (diri boleh senaraikan sendiri), maka diri akan bukan sahaja mengenali mereka, bahkan akan cuba mengikuti gaya hidup mereka. Dan jika hidup diri sudah dipenuhi dengan mereka ini, bagaimana diri hendak mengenali insan-insan yang pasti dan pasti menjamin masa depan diri? Masa depan hidup yang abadi...

Oleh itu, berikut diketengahkan beberapa figure-figure yang boleh diri ambil sebagai rujukan (SUMBER) :-
  1. Sepuluh orang sahabat yang dijamin syurga seperti Abu Bakar r.a., Umar al-Khattab r.a. dan lain-lain (Rujuk playlist imeem di atas)
  2. Tiga ratus tiga belas orang yang menyertai pertempuran di Badar. (Sedarkah diri tidak akan tahu jumlah setepat 313 orang jika nama-nama mereka tidak direkodkan)
  3. Ahli anggota yang bersumpah dalam peristiwa Bi'ah Ridhwan seramai lebih kurang 1500 orang untuk menuntut bela atas Uthman ibn Affan r.a. (Rujuk al-Fath;48:18)
  4. Isteri-isteri baginda s.a.w. yang diberi gelaran 'ibu-ibu orang-orang beriman' (Ummahatul Mu'minin)
Dalam menjelaskan maklumat di atas, cubalah diri kenali mereka kerana mereka juga insan biasa. Carilah mana-mana individu yang menepati citarasa diri atau realiti keadaan diri kerana mereka juga terdiri daripada pelbagai keadaan ciri-ciri tersendiri, kaya, muda, miskin, 'businessperson', golongan bangsawan (anak-beranak Dato' dalam kes diri), golongan rakyat biasa, dan pelbagai lagi. Kenali bagaimana mereka menjalani kehidupan dan contohilah mereka lantaran mereka adalah golongan yang Allah s.w.t. telah redha dengan mereka semasa mereka hidup berjalan di muka bumi ini. Pendek kata dalam dunia maya yang tidak terbatas ini, segala maklumat hanyalah di hujung jari diri.

Perubahan menuntut komitmen yang tidak berbelah bahagi lagi-lagi apabila sudah bertahun-tahun diri meminati seorang artis atau personaliti sukan/politik. Namun, percayalah sesuatu yang berharga tidak datang dengan harga yang murah. Sunnah alam. Hendakkan gaji atau pendapatan yang lumayan, terpaksa bertahun-tahun cuba dan terus mencuba walaupun penat dan mungkin terpaksa menghadapi kegagalan dalam melangkah. Percayalah hasil perubahan diri adalah lebih bernilai dan berharga berbanding menunggu orang lain untuk berubah atau menantikan orang lain untuk membuat perubahan. Rujuklah individu-individu yang sepatutnya sebagai 'idola' diri.

Sumber: Obama08

Akhirul kalam berubahlah ke arah kebaikan lantaran perubahan ke arah tersebut adalah untuk kebaikan diri, dan Allah s.w.t. tidak memerlukan kepada perubahan diri, bahkan dirilah yang memerlukannya. Jika nak jugak ikut ske ati, ingatlah bahawa minda ini tidak bertanggungjawab atas apa yang ada di dalam hati diri....

".....Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri...." (ar-Ra'd;13:11)

Wallahu'alam