Jumaat, 13 November 2009

Rupa-rupanya masih lagi dikawal...


Dengan nama ALlah, Maha Pemurah, Maha Penyayang....

Segala pujian dan keagungan hanya dihadapkan kepada pencipta alam semesta ini. Dan juga kesempurnaan-Nya dalam mengekalkan kestabilan sistem alam ini sewajarnya dikagumi dan diterima dengan rasa rendah hati penuh kehambaan. Bagi minda ini yang baru sahaja melangkau ke alam pekerjaan menjaga kestabilan dan keutuhan loji, perasaan kehambaan begitu terasa apabila melihat alam begitu stabil sekali bergerak dan berputar pada kedudukannya tanpa malapetaka kehancuran alam raya. Rasa begitu kerdil sekali lantaran minda ini terlibat bertungkus-lumus menyusun rancangan seawal 16 bulan sehingga enam bulan untuk urusan pembaikan loji dengan harapan kesempurnaan semasa kerja-kerja pembaikan berlangsung. Namun, pasti ada cacat-celanya. Kekurangan ini secara tidak langsung menunjukkan kelemahan insan sebagai seorang hamba yang yang serba dhaif dan lemah. Semoga rasa insaf dapat dibentuk dengan penuh rasa kehambaan kepadaNya.

Sekadar Hiasan: Pemandangan loji-loji pemprosesan hidrokarbon
Sumber: Anynomous

Wahai diri,
Pada kali ini, minda ini ingin berkongsi tentang suatu kisah yang telah direka semata-mata untuk direnung dan dijadikan pengajaran dalam kehidupan beramal. Kisahnya seperti berikut:-

Pada zaman dahulu, ketika sistem feudal masih lagi diamalkan di kalangan masyarakat secara umumnya. Tinggal seorang pemerintah. Di bawah beliau bernaung beberapa orang pembesar yang menguasai wilayah masing-masing. Pendek kata, kesemua pembesar tersebut perlu melaporkan sebarang perkembangan wilayah masing-masing kepada pemerintah ini. Saban tahun, pembesar-pembesar tersebut bukan setakat perlu menyampaikan laporan tentang wilayah masing-masing, malah mereka perlu mempersembahkan ufti menurut kadar yang dikehendaki kepada pemerintah ini. Anehnya, pembesar-pembesar tersebut tidak pernah bersemuka dengan pemerintah ini. Segala urusan hanya diselesaikan menerusi wakil-wakil pemerintah ini.

Sebenarnya, sistem ini telah berkuatkuasa semenjak berabad-abad lamanya. Pada masa yang sama,
tidak pernah kedengaran lebih daripada setengah abad kebelakangan ini bahawa berlaku pertukaran takhta pemerintahan. Keadaan ini secara tidak langsung menggambarkan bahawa usia pemerintah ini sudah mencapai ke penghujungnya. Barangkali esok lusa pasti akan berlaku. Di kalangan pembesar-pembesar tersebut, ada seorang yang mula mengambil tindakan yang tidak terduga. Gelaran beliau, 'Gen-Y'.

Bagi Gen-Y, pemerintah ini tentu sudah tidak lama lagi akan hidup. Anggapan diperkuatkan lagi dengan tempoh pemerintahan yang lama dan juga majlis laporan tahunan yang diadakan tanpa pertembungan empat mata. Oleh itu, Gen-Y mula merancang komplot untuk menjatuhkan pemerintah ini dan merampas tampuk pemerintahan. Gen-Y secara senyap-senyap mula memperkuatkan ketumbukan tentera wilayah dengan pelbagai kelengkapan ketenteraan. Gerakan bawah tanah ini kelihatan begitu sempurna sekali lantaran Gen-Y memegang sendiri jawatan jeneral dan menyusun-atur segala perancangan dengan teliti. Perancangan ini telah memakan masa yang lama untuk memberikan latihan, motivasi, dan juga dalam proses menjaga kerahsiaan.

Keyakinan Gen-Y semakin terserlah apabila Gen-Y tidak pernah menyaksikan kepahlawanan tentera istana yang berjaga di kawasan pemerintah ini. Tambahan pula, Gen-Y secara senyap-senyap telah melakukan perjanjian sulit (laksana perjanjian Balfour 1917) dengan pembesar-pembesar yang lain sama ada memilih untuk berdiam diri atau bersama menyertai beliau melakukan penggulingan kuasa. Segalanya kelihatan sempurna sekali. Unit risikan wilayah Gen-Y melaporkan bahawa tiada sebarang tindak balas daripada pihak pemerintah ini terhadap rancangan tersebut.

Sekadar Hiasan: Sejarah Pemerintahan di China
Sumber: Wikipedia

Tarikh serangan telah disepakati. Lampu hijau daripada perisik yang meninjau di istana pemerintah ini telah diterima. "Inilah saat yang dinantikan", detik Gen-Y. Batalion tentera wilayahnya digerakkan secara tersusun dan sempurna. Dalam keadaan unit-unit yang terasing dan akan berkumpul dekat dengan istana pemerintah ini untuk memulakan serangan rampasan kuasa.

Saat yang ditunggu telah tiba. Batalion tentera telah berkumpul dan bersedia melakukan serangan. "Serangggggg, pogi soranggggggg", arah Gen-Y terhadap tenteranya dengan penuh bersemangat pada saat subuh yang hening itu. "Mulai subuh esok, kita akan menyaksikan seorang pemerintah yang baru!! Hahahah", impi Gen-Y yang dilaungkan kepada tenteranya.

Tiba-tiba, sebelum sempat tenteranya menyentuh gerbang istana, letupan berlaku menggegarkan bumi. Letupan-letupan tersebut dengan rakus menghancur dan melayangkan tentera-tentera Gen-Y. Walaupun agak terkejut, Gen-Y masih meletakkan harapan kepada barisan kedua tentera setia beliau. Tidak diduga, sebelum sempat barisan tentera tersebut mencapai singgahsana istana, mereka tumbang di bawah hujan anak panah yang memenuhi langit dinihari. "Lancarkan pelontar (catapult)!" perintah Gen-Y yang mula menampakkan tanda keresahan.

Kebabommm! Sebelum sempat pelontar dilancarkan, alat pelontar itu yang musnah terlebih dahulu. Lebih mengejutkan Gen-Y ialah serangan itu tidak datang dari arah istana, tetapi dari arah belakang dan tepi. Daripada tentera pembesar-pembesar yang telah melakukan perjanjian untuk bersama melakukan rampasan kuasa. "Apakah!!?", Gen-Y kaget.

Akhirnya tentera pengawal istana muncul daripada arah yang tidak disangka-sangka. Jumlah yang disangka sikit telah meningkat berkali ganda. Mulai saat itu, barisan tentera Gen-Y terus dimamah oleh barisan lawan yang muncul bukan sahaja daripada depan, tetapi dari segenap penjuru. Dipendekkan cerita, Gen-Y telah ditangkap dan telah dimasukkan ke dalam penjara istana untuk menantikan hukuman selanjutnya atas tindakan khianat tersebut.

Di dalam penjara, Gen-Y masih termenung atas kegagalan tersebut dan memikirkan balasan yang bakal diterima beliau. Tiba-tiba, Gen-Y terdengar derapan tapak kaki menuju ke arah kurungannya. Rupa-rupanya para pembesar yang telah menyatakan perjanjian untuk menyokong tindakannya atau berdiam diri. Kata wakil mereka kepada Gen-Y, "Sebenarnya, kami telah menerima kunjungan pihak pemerintah ini seawal sebelum tuan hamba meminta janji rahsia kami lagi. Janji rahsia kami kepada wakil pemerintah ini adalah untuk melakukan apa yang telah tuan hamba saksikan berlaku" Gen-Y terpaku tidak berkata apa-apa. Tidak lama kemudian, perisik-perisik Gen-Y pula datang berkunjung. Terang wakilnya, "Kami telah menjadi perisik pemerintah ini lama terlebih dahulu sebelum menyertai pasukan perisik tuan hamba". Sekali lagi Gen-Y kaku, tidak mampu berkata apa-apa. Akhir sekali, penjaga penjara memberitahu, "Untuk makluman tuan hamba, walaupun patik adalah orang dalam istana, patik hanya mengetahui bahawa pemerintah ini memiliki tentera simpanan pengawal istana yang begitu setia dengan pemerintah ini. Namun patik tidak mengetahui berapakah saiz sebenar ketumbukan tentera simpanan pengawal istana tersebut. Patik hanya tahu yang jumlahnya amat besar". Kali ini, baru Gen-Y sedar bahawa dengan siapa dia telah memilih untuk bersemuka.................

Sekadar Hiasan: ihsan ImageShack

Duhai diri,
Usah difikirkan rupa fizikal pemerintah ini. Namun, fikirkanlah tentang kehebatan pemerintah ini. Walaupun rupanya tidak diketahui, namun sepatutnya digeruni terhadap kekuatan yang ditunjukkan. Sudah pasti pemerintah ini teramat hebat kerana mampu memendam tindak balas sehingga ke saat terakhir. Sedangkan, pada peringkat awal, seolah-olah segala perancangan Gen-Y pasti akan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Kehebatan pemerintah ini adalah lebih ketara lagi kerana gerakan balas pemerintah ini hanya dilaksanakan oleh wakil pemerintah ini sahaja. Seolah-olah Gen-Y bebas bertindak dan pemerintah ini tidak mampu bertindak walaupun yang sebenarnya adalah sebaliknya.

Sebenarnya, ada di antara insan yang menganggap dengan harta, kedudukan, mahupun pengetahuan telah membolehkan insan berkuasa di muka bumi ini dengan sewenang-wenangnya. Kedudukan untuk menindas insan lain secara halus atau tersembunyi dianggap sebagai suatu tindakan yang tidak akan dibongkar buat selama-lamanya. Ataupun, dengan kepandaian, penyelewengan ilmu pengetahuan untuk membentuk teori hidup tidak bertuhan pasti akan bebas bertapak selama-lamanya. Disangkakan, dengan kepandaian, insan lain akan dapat ditipu dan tidak akan dibalas buat selama-lamanya. Ada juga insan yang menganggap, dengan harta atau kelebihan, segalanya boleh disalahgunakan dan tidak akan dibongkar dan disoal buat selama-lamanya. Sesekali hal ini tidak akan berlaku. Ingatlah diri bahawa, segala nikmat yang diterima walaupun sekadar air kosong untuk menghilangkan dahaga, pasti tidak akan dilepaskan daripada pemerhatian untuk ditanya pada hari pembalasan kelak.

Daripada sudut pandangan lain, pasti ada di antara diri yang menganggap bahawa insan hari ini dapat berbuat zalim/maksiat berdasarkan
kedudukan, kuasa, harta dan lain-lain dengan sewenang-wenangnya di muka bumi ini, seolah-olah ALlah tidak mampu mengawal kezaliman tersebut. Maka, suka minda ini merujuk kembali kisah si Gen-Y yang telah digarapkan di atas. Biarlah insan tersebut memiliki kedudukan, kekuasaan dan kesihatan sehebat firaun la'natuLlah, kekayaan sehebat Qarun la'natuLlah, dan kemegahan sehebat kaum Tsamud la'natuLlah, yang membolehkan kezaliman bermaharajalela kerana yakinlah bahawa kesemuanya tidak akan bebas walaupun sedetik daripada pemerhatian ALlah s.w.t.

"Orang-orang kafir itu membuat tipu daya, dan Allah membalas tipu daya mereka itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya."
(Ali 'Imran;3:54)

"Sesungguhnya orang kafir itu merencanakan tipu daya yang jahat dengan sebenar-benarnya. Dan Akupun membuat rencana (pula) dengan sebenar-benarnya. Kerana itu beri tangguhlah orang-orang kafir itu iaitu beri tangguhlah mereka itu untuk sebentar."
(Ath Thaariq;86:15-17)

Akhirul kalam, walaupun semuanya masih berada dalam pemerhatian dan kekuasaan ALlah s.w.t., hal ini tidak bermakna bahawa diri hanya perlu menunggu, dan menanti sehingga turun ketentuan ALlah untuk menghapuskan kezaliman atau kemaksiatan yang berleluasa. Sudah menjadi hukum alam, jika diri hendak berharta, hendaklah diri berusaha mencari harta. Sesungguhnya analogi yang dicoretkan di atas adalah semata-mata untuk menambahkan keyakinan diri bahawa kebenaran pasti akan tegak pada suatu hari nanti. Oleh itu, minda ini menyeru kepada diri untuk sama-sama menyertai suatu program pembentukan diri menyeluruh yang disusun agar diri dapat menjalani proses pembentukan untuk menjadi seorang muslim yang sebenarnya, bagi membolehkan diri mengatasi kezaliman dan kemaksiatan yang berleluasa kini.

WAllahu'alam

0 comments: