Jumaat, 11 Disember 2009

Hidup ini mencabar, Usahlah hanyut



Dengan nama ALlah, Maha Pemurah, Maha Penyayang

F-14: TomCat-Longhorn

Segala kesyukuran sentiasa dirafa'kan kepada yang Maha Pemberi Rahmat untuk diri terus hidup menjalani kehidupan yang sementara ini. Semoga setiap langkah-langkah yang disulam kepenatan berikutnya akan sentiasa berada di dalam panduan dan petunjuk yang Maha Menguasai Segala Sesuatu. Sejak kebelakangan ini, minda ini agak ketandusan ilham untuk dibawa dan berkongsi bersama dengan diri. (Gambar di atas tu sebagai petandanya) Mungkin kerana apabila saban waktu disibukkan dengan urusan pekerjaan sehari-hari yang dirasakan tidak perlu untuk dicoretkan di sini. Semoga coretan ringkas pada kali ini memberikan sedikit kebaikan kepada diri.

Perkongsian kali ini dicoretkan apabila minda ini melihat dan melalui detik-detik peristiwa yang berlaku di sekeliling saban hari. Apabila diri ditanya tentang matlamat hidup, diri pasti mempunyai matlamat hidup yang tersendiri. Namun, sebagai seorang muslim, matlamat hidup pasti dan pasti hanyalah SATU. Sekiranya diri masih lagi belum jelas tentang ini, maka menjadi suatu kemestian buat diri untuk mencari sumber yang sahih untuk dirujuk lantas memberikan suatu kepastian tentang matlamat hidup yang hakiki.

Wahai diri,
Walaupun ada di antara diri yang telah jelas dengan matlamat hidup hakiki, namun, dalam
kepelbagaian ragam arus hidup yang ditongkahi, diri pasti akan melalui detik demi detik dalam kehidupan yang pasti meruntun diri untuk merenung kembali tentang matlamat hidup. Minda ini bukanlah hendak mempersoalkan tentang kebenaran matlamat hidup yang telah diri difahami, namun minda ini ingin menyoroti suatu perkara yang dengannya diri akan lebih teguh dalam menyusun langkah menuju matlamat hidup hakiki.

Saban hari, tidak kira di universiti, sekolah, tempat kerja, mahupun di rumah, diri akan menghadapi dan melalui detik-detik kejadian yang menuntut diri untuk menumpukan kemampuan yang ada pada diri untuk menyelesaikannya. Kadang-kadang, kejadian yang berlaku berlalu tanpa diri menyedarinya. Namun, pada kejadian lain, diri menghadapi detik-detik tersebut dengan kerahan sepenuh sepenuh kekentalan dan kebolehan yang ada pada diri. Segala kekuatan yang ada pada diri digunakan termasuk fizikal, mental, emosi, dan juga kerohanian.

Di antara detik-detik yang mencemaskan namun dengan izinNya dapat diatasi tanpa disedari oleh diri ialah apabila tersesat di bumi yang asing. Secara tidak langsung, diri akan memberi tindakbalas untuk mencari jalan yang betul melalui pelbagai cara yang boleh difikirkan sendiri oleh diri. Atau, diri telah diberi tugasan oleh pihak atasan sama ada pensyarah atau penyelia untuk menyiapkan tugasan yang tidak pernah dilakukan dan banyak, maka diri akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan bahawa tugasan yang diberikan dapat disiapkan dalam batas-batas yang telah ditetapkan. Keadaan dan detik sebegini sentiasa berlaku dalam kehidupan diri, namun dalam usaha untuk menetapkan keselarian dengan matlamat asas kehidupan yang telah jelas digariskan, tidaklah menjadi masalah atau bebanan yang begitu besar.

Pendek kata, dalam urusan mencari jalan pulang setelah kesesatan atau idea untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan, diri akan sentiasa mendapati ruang-ruang untuk menetapkan asas dan matlamat hidup yang hakiki. Pendek kata, tahap ini biasanya dihadapi oleh kebanyakan insan.

Sekadar Hiasan: Satu-satunya Starbucks yang tidak diboikot

Namun, bagaimanakah sekiranya diri menghadapi dugaan berat atau 'mehnah' yang tidak pernah diduga di dalam kehidupan? Seperti kisah ini. (KLIK DI SINI) Atau kisah ini. (KLIK DI SINI) Atau kisah ini (KLIK DI SINI) Takziah diucapkan kepada semua. Sesungguhnya setiap di antara diri pasti akan menghadapi detik atau kejadian yang merentap segala kekuatan fizikal, mental, emosi, dan kerohanian yang ada pada diri walaupun tidak serupa dengan contoh-contoh yang telah diutarakan. Tidak perlu dicoretkan dengan lebih panjang lebar kerana diri lebih memahami apa yang minda ini cuba sampaikan. Tidak ada orang lain yang lebih memahami pengalaman unik tersebut melainkan daripada pencipta diri dan juga diri sendiri.

Wahai diri,
Tidak kira setahap mana kekuatan sentapan yang diterima, sememangnya diri pasti berada di dalam satu situasi serba tidak kena. Dalam erti kata lain, setelah didedahkan dengan hakikat tujuan kehidupan, pahit getir detik-detik yang dihadapi pasti sedikit sebanyak menggentarkan kefahaman dan menguji keyakinan diri. Sekiranya sebelum ini, matlamat hidup hakiki adalah hanya basah di bibir, kini perkara ini hadir dalam realiti diri mendambakan hak seperti yang diakui diri.

Oleh itu, dalam resah gelisah menghadapi detik-detik getir ini, hasilnya secara teori hanya DUA, sama ada diri akan bangkit menjadi seorang yang lebih meyakini dan menyerap segala intisari matlamat hidup yang hakiki ATAU diri akan rebah tersungkur hanyut dalam arus detik-detik yang membelit kehidupan diri. Semoga diri dan minda ini dijauhkan daripada natijah yang kedua lantaran, hanyut diri adalah berlaku di luar pemikiran bawah sedar diri. Lebih jelas lagi, diri yang mendayung di tengah sungai atau laut tidak akan menyedari lokasi sebenar melainkan diri memberikan rujukan pada tanah daratan atau pada sesiapa yang di daratan. Wa na'uzubiLlahi min zalik...

Namun, dalam menghadapi jerih perih detik-detik yang mencemaskan ini, kepelbagaian tahap jelas tampak berbeza di antara diri dengan insan lain. Adakah ini menunjukkan bahawa pencipta diri tidak adil dan meletakkan diri dijui dengan detik-detik yang sebegitu sukar bagai tidak mampu dihadapi, sedangkan insan lain dilihat menghadapi keadaan yang tidak segetir diri? Usahlah bersalah sangka dengan pencipta diri yang Maha Mengetahui tentang diri lebih daripada segala yang diciptakan oleh yang Maha Mencipta. Moga diri bersangka baik dan berusaha untuk menghadapi detik-detik yang mencemaskan itu demi meneguhkan keyakinan diri tentang matlamat hidup yang hakiki. Bukankah setiap pensyarah, guru, pengurus, mahu pun presiden akan menguji anak-anak buah demi mendapatkan hanya individu yang layak untuk memperjuangkan pemikiran dan matlamat masing-masing?

"Dan sungguh akan Kami memberikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar."
(al Baqarah;2:155)

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."
(al-Baqarah;2:286)

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran"
(al-Baqarah;2:186)

Oleh itu, dalam menghadapi detik-detik yang mendebarkan, kuatkanlah pergantungan diri kepada yang Maha Menguasai atas segala sesuatu, agar matlamat hidup yang hakiki dapat diperteguhkan demi masa depan yang lebih cemerlang, gemilang, dan terbilang. Hal ini akan lebih mudah dibentuk apabila diri bersungguh-sungguh dalam menggabungkan diri dengan program yang membina pembentukan peribadi muslim dan pemahaman tentang hakikat islam yang menyeluruh dan lengkap secara berterusan.

WALlahu'alam

Sekadar Hiasan: Senyum Sokmo

P.s. Takziah kepada saudari Teh Afifah dan keluarga. Perkenalan hanya melalui lokasi pengajian di institusi pengajian tinggi yang sama (Merujuk contoh keadaan ke-3 di atas)

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU, SEMOGA TAHUN YANG MENDATANG LEBIH BAIK DARIPADA YANG SEBELUMNYA!


0 comments: