Rabu, 12 Ogos 2009

Semarakkan kemerdekaan itu!!!


Dengan nama ALlah, Maha Pemurah, Maha Penyayang...

Segala puji bagi ALlah yang tidak putus-putus memberikan nikmat kehidupan kepada diri setiap hari walaupun diri mungkin tidak menyedarinya. Setiap helaan nafas yang diri rasakan sama ada sedar atau tidak adalah merupakan suatu anugerah yang tidak ternilai. Bukankah diri mengetahui bahawa tanpa oksigen (lagikan udara), diri boleh 'expired' dalam tempoh kurang beberapa minit? Namun, Yang Maha Memberi tidak pernah menghantar kepada diri bil-bil atau invois menuntut bayaran tertunggak keperluan asas hidup tersebut. Itu tidak dikira nikmat-nikmat pancaindera yang lain lagi. Oleh itu, bersyukurlah wahai diri tanpa jemu... Bersyukurlah...

Pada kesempatan kali ini, minda ini ingin mengucapkan selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan Tanah Melayu yang ke-52. Buat diri yang begitu mencintai tanah air kelahiran ini, nikmat kebebasan daripada penjajahan berbentuk fizikal di bawah penjajahan kuasa besar silih berganti selama
lebih 446 tahun merupakan suatu yang tidak dapat dikira dengan sebarang nilai fizikal. Walaupun sebilangan besar masyarakat tanah air kini tidak dapat merasakan suasana hidup di bawah penjajahan, namun diri yang cuba atau dapat menghayati nikmat kemerdekaan tanah air melalui sumber-sumber sejarah pasti dapat sedikit sebanyak mencernakan nilai sebuah kemerdekaan. Selamat menyambut ulangtahun 31 Ogos yang ke-52 dengan tampuk pemerintahan tanah air bebas daripada campur tangan terus pihak penjajah!

Kibarkan jalur Gemilang: Auckland, NZ (31 Ogos 2008)

Wahai diri,
Minda ini pada kali ini berasa sangat bersyukur kerana buat pertama kali dalam menghela nafas menghadapi kehidupan ini, minda ini berpeluang menyambut hari merdeka dalam erti kata yang lebih mendalam. Pada tahun lepas (2008), walaupun minda ini berada di perantauan, 1 Ramadhan 1429H disambut selepas tanggal 31 Ogos 2008. Namun, kesekian kalinya pada tahun ini, ulangtahun kemerdekaan tanah air disambut dengan penuh keindahan bulan Ramadhan. Bukankah detik kemerdekaan kali ini adalah suatu simbol yang lebih bermakna?

Seringkali diri ditanyakan tentang pengertian kemerdekaan yang sebenar. Merdekakah diri sebenarnya? Dan pelbagai lagi persoalan yang disertakan dengan nilai-nilai mulia. Nah, bagi minda ini, kehadiran Ramadhan kali ini pasti menjadikan nilai kemerdekaan itu lebih bererti dan realiti. Minda ini merasakan tidak perlu lagi untuk meleretkan betapa mengapa nilai kemerdekaan tanah air itu penting, tetapi pada kesempatan kali ini, minda ini lebih suka untuk berkongsi dengan diri tentang betapa bernilai kehadiran Ramadhan dalam menghuraikan erti kemerdekaan.

Sekadar hiasan: Kebebasan kemerdekaan

Apabila menyebut tentang nilai kemerdekaan, minda ini diilhamkan untuk mengimbau semula petikan karya Muhammad Ahmad ar-Rasyid di dalam bab ke-2 buku al-Muntholaq. Terjemahannya adalah lebih kurang seperti berikut:-

Sujud itu menundukkan dahi, tetapi
Memuliakan muslim yang bertakbir kepada Allah dan bertasbih padaNya

Si jahil menyangkanya belenggu ke atas hamba

tetapi sujudlah yang memusnahkan segala belenggu
Di dalam kemuliaan sujud, semua akan tunduk kepada muslim yang sujud

Seluruh alam takut kepada kata-kata dan perbuatannya

Wajah dan seluruh anggotanya diletakkan di bumi

Tetapi dia menggoncangkan gunung-ganang

Meruntuhkan syirik, was-was di dalam diri si jahil

tetapi membangunkan segala generasi dalam ketenangan

kerana hati ada perjalanan yang menundukkan bumi

lantaran kehebatan dan kebesaranNya

Sujud kepada Allah dan mengesakanNya, lalu mantap dan kuat

Terhapuslah setiap penzalim yang sombong

Barangsiapa menghayati sujud ini,

dia menikmati
kepimpinan dan ketuanan

di muka bumi, dengan keagungannya, rahmat dan keindahannya....


Dalam erti kata lain, ketundukan dan sujud kepada ALlah ini secara tidak langsung memberikan diri suatu nilai kebebasan yang terhebat. Diri akan bebas daripada belenggu nafsu yang meruntun jiwa, adat istiadat nenek moyang yang terpesong, dan perhambaan kepada sesama manusia. Inilah nilai 'sujud kemerdekaan'!

Oleh itu wahai diri,
Kehadiran Ramadhan yang ke-1429 ini merupakan suatu anugerah untuk merealisasikan nikmat dan nilai kemerdekaan yang sebenar. Bersamalah memanfaatkan kehadiran Ramadhan dengan kaedah dan cara yang telah ditunjukkan oleh RasuluLlah s.a.w., para sahabat r.anhum, dan sesiapa sahaja yang mencontohi mereka. Semoga Ulangtahun Ramadhan dan Ulangtahun Kemerdekaan serentak pada kali ini lebih bermakna buat diri.

"...(iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah perbuatan yang mungkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan."
(Al-Hajj;22:41)


“Sesungguhnya Kami telah telah menurunkan al Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab). (Kami menurunkan al Quran pada malam tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada Malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmah serta tetap berlaku (tidak berubah atau bertukar).”
(Ad Dukhaan;44:3-4)

Akhirul kalam, bersama diri menyusun suatu perancangan untuk memastikan Ramadhan kali ini bukan sahaja pemangkin untuk menyelami erti kemerdekaan yang sebenar, malah menjadi suatu kekuatan untuk menegakkan realiti islam di dalam kehidupan.

Marhaban ya Romadhon Mubarok, semoga Romadhon kali ini adalah yang terbaik sehingga ke detik ini...

WALlahua'alam

p.s. Layari weBlog berikut untuk rakaman solat malam di Haramain:-
weBlog 1
weBlog 2

Sekadar hiasan