Rabu, 30 April 2008

Perhatikanlah disekeliling kita


Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Maha Penyayang

Minda ini ingin berkongsi tentang suatu projek mega yang lebih gah daripada KLCC yang terpacak di tanah air. Dikenali sebagai Bandar Budaya Galicia, projek ini sedang dijalankan di sebuah pekan kecil Santiago de Compostela, Sepanyol. Maklumat boleh diperolehi melalui link-link berikut:-
  1. Maklumat 1
  2. Maklumat 2
  3. Maklumat 3
  4. Maklumat 4
  5. Maklumat 5
Minda ini mendapat maklumat ini melalui "Discovery Channel" dibawah rancangan "Extreme Engineering". Jelas bahawa, menonton kotak empat segi itu, biarlah bermanfaat. Lagi-lagi minda ini cenderung kepada dunia kejuruteraan. Apa yang unik tentang projek mega 10 tahun (jangkaan) di atas tapak Monte Gaiás seluas 173 ekar ini ialah setiap bentuk yang dirancang memerlukan komponen-komponen yang unik. Pendek kata, komponen sebelah menyebelah mempunyai bentuk atau saiz dimensi yang berbeza. Malah, rakan serumah yang berasal dari California menganggap bahawa kerja-kerja ini adalah 'crazy'
Berbalik kepada keadaan kita di perantauan, terutamanya yang berada di hemisfera selatan. Kita abaikan tentang keunikan manusia seketika. Tidakkah kita berasa kagum apabila melihat daun-daun berguguran pada musim luruh ini? Setiap bentuk daun tersebut adalah berbeza! Dan proses pembentukan daun yang tidak terkira ini pasti mengambil masa kurang daripada setahun! Hebat sungguh pencipta daun-daun itu.
Pendek kata, dalam jalan-jalan kita ke universiti, atau ke mana sahaja, bukalah mata kita, perhatikanlah alam ini. Renungkanlah kehebatan alam raya ini. Semoga hubungan kita dengan pencipta bertambah kenal. Wallahu'alam. ~~Autumn in My Heart~~

p/s Terima kasih kepada senikehidupan.com dan pautan maklumat tentang Bandar Budaya Galicia.

Selasa, 29 April 2008

Setiap kelebihan yang hebat, terselit suatu tanggungjawab yang hebat


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang...
Kadang-kadang minda ini dihujani dengan kata-kata sahabat yang merasakan diri ini tidak mampu untuk menjalankan amanah kerja menyampaikan risalah islam dan membangunkan umat islam.

Kemudian, tiba-tiba minda ini tersingkap kepada suatu sejarah para sahabat yang Agung. Kadang-kadang diri mereka bermonolog, "Alangkah baiknya jika diri menjadi lalang, hidup dan kemudian terbang hilang ditiup angin," atau "Alangkah baiknya jika diri menjadi rumput, hidup di padang ragut, kemudian habis diragut binatang". Monolog ini menandakan diri merasa gempar dan cuak dengan tanggungjawab hidup sebagai insan. Namun, ini tidak bermakna mereka berundur daripada menjalankan tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka.

Melihat kepada situasi diri di perantauan yang jauh dari Malaysia, diri dirasakan tidak layak untuk menjalankan tanggungjawab. "Datang ke sini, bukannya untuk belajar jurusan syariah, usuluddin, atau pelbagai lagi, macam mane nak kembangkan islam??".

Namun, sedarlah diri, islam itu mudah. Kadang-kadang diri yang tertipu bahawa menjalankan kerja ini payah. Kadang-kadang kita tertipu yang kita tidak layak untuk menjalankan tanggungjawab ini. Padahal, kelayakan kita untuk belajar sebegini jauh merupakan petanda dari Yang Maha Memberi Petunjuk. Takkanlah diri hendak mengharapkan pemuda yang tidak lepas sekolah atau ustaz ustazah sahaja yang menjalankan kerja ini.

Diri sewajibnya bergandingan menjalankan tugas yang diamanahkan ini dengan menggunakan segala kelebihan diri yang dipinjamkan oleh Yang Maha Memberi Pinjam. Segalanya bermula daripada diri sendiri.


Wallahu'alam

Rabu, 23 April 2008

Di sini 'langkah' bermula



Assalamu'alaikum atau Selamat Sejahtera diucapkan,
Dengan video ringkas ini, saya mulakan coretan yang dengan izinNya akan berpanjangan. Mungkin diri akan tertanya-tanya, mengapa tidak dibentangkan dalam Bahasa Inggeris yang bersifat lebih global. Suka ingin diberitakan yang Minda Insan ini masih lagi menggunakan bahasa Melayu sebagai medium utama untuk berputar. Namun bahasa Inggeris kadang-kadang terlekat juga. Al-maklum, pembelajaran di universiti menggunakannya.

Sebagai muqaddimah kepada suatu coretan minda yang akan berpanjangan, adalah terlebih dahulu minda insan memohon maaf kepada diri atas kesedaran bahawa Insan ini tidak pernah sunyi daripada melakukan kesilapan. Oleh itu, sebarang perkongsian oleh diri kepada Minda Insan ini yang berlandaskan kebenaran adalah amat digalakkan demi membetulkan kesalahan.

Suka juga diberitahu bahawa perkongsian ini adalah bersifat peribadi dan tidak menggambarkan mana-mana pihak yang diwakili. Ini adalah suatu hasil pengalaman unik yang dikurniakan olehNya kepada setiap makhlukNya. Dan sudah pastilah apa yang dikongsi di sini tidak akan selalunya menggambarkan pemikiran Minda Insan ini keseluruhannya kerana Minda Insan ini cenderung untuk menapis apa yang dirasakan sesuai untuk dikongsikan bersama.

Semoga segala perkongsian Minda Insan ini dengan diri akan membuahkan hasil yang bermanfaat bukan sahaja kehidupan selepas kematian, tetapi juga hidup di dunia ini. Sekian, wallahu'alam.