Ahad, 3 Mei 2009

Katakan Apa Yang Diimpikan

Dengan nama ALlah, Maha Pemurah, Maha Penyayang

"KERANA MU MALAYSIA MAJU", tema ini sememangnya berkait rapat dengan minda ini yang buat kali pertama dalam sejarah hidup di dunia ini menyambut Hari Pekerja sebagai seorang buruh. Terima kasih dipersembahkan kepada yang terlibat secara langsung. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa jerih perih dan keringat para pekerja di tanah air termasuk para pekerja asing (termasuk 'expatriate') semestinya diberikan pengiktirafan kerana sumbangan yang diberikan dalam menjana pembangunan negara. Terima kasih tidak terhingga kepada 'subordinates', 'superiors', dan juga 'colleagues' kerana bersama-sama berusaha menyiapkan tugasan dan mencapai matlamat yang direncanakan.

Dalam coretan kali ini, minda ini ingin berkongsi tentang pemerhatian dan pemikiran yang dibuat berdasarkan kepada kehidupan sehari-hari berinteraksi dengan individu-individu di sekeliling yang sudah berkarier. Berlatarbelakangkan karier industri gas dan petroleum, minda ini berasa begitu tertambat dengan dunia materialistik semata-mata yang sentiasa menjadi butir bicara kebanyakan individu-individu yang gemar berkongsi.


Bagi yang sudah berada, bicaranya adalah tentang dilema ke manakah hendak dibelanjakan material yang diberi pinjam tersebut. Pendapatan sekitar lima angka sebulan menjadi tambatan kepada diri tentang ke manakah hendak dibelanjakan. Membeli kereta, atau rumah, atau tanah yang entah untuk koleksi yang keberapa... Atau tentang skim pelaburan manakah yang membawa pulangan keuntungan material yang paling banyak. Begitulah lagak diri yang sudah berada. Bagi yang kurang berada, lagaknya lebih kurang sama. Cuma perbelanjaannya tidaklah sebesar golongan yang disebutkan sebelumnya.

Realitinya kerana telah menjadi suatu penggarapan umum dalam kehidupan kini bahawa dengan kekayaan yang didapati dapat memuaskan keinginan yang didambakan. Jika tiada kereta, hendak kereta. Jika sudah berkereta, hendakkan yang lebih berkualiti, dan seterusnya sehingga tiada kesudahan. Teringat minda ini pada suatu masa apabila memiliki sebuah alat elektronik. Apabila sudah mahir dengan alat elektronik yang dimiliki, maka telah timbul rasa tidak puas hati dengan apa yang ada dan ingin memiliki alat elektronik yang lebih berkualiti dan canggih lantaran apa yang ada tidak dapat memuaskan kehendak yang diimpikan.

Duhai diri,
Ke manakah hendak dibawa segala kekayaan yang didambakan? Sejarah telah membuktikan tentang individu seperti Qarun, Fir'aun, Namrud, dan lain-lain lagi yang memiliki kekayaan yang jauh lebih hebat daripada billionwan mutakhir seperti Bill Gates, Ananda Krishnan, mahupun tauke gula tebu tanah air, Robert Kuok. Dan diri sudah tahu ke manakah kesudahan yang diterima oleh individu yang diceritakan dalam sejarah tersebut.

Namun begitu, sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kekayaan merupakan perkara yang penting lantaran RasuluLlah s.a.w. pernah berpesan tentang bahayanya berada di dalam kefakiran yang diletakkan dekat dengan pintu kekufuran. Oleh itu, adalah menjadi suatu keharusan kepada diri untuk memiliki kekuatan material dalam menghadapi kehidupan duniawi ini.

Wahai diri,
Suka minda ini memberikan analogi tentang keperluan kepada sesebuah kapal untuk bergerak dari titik A ke titik B dengan menggunakan air sebagai bahan perantara untuk terapung dan berlayar. Namun, sebuah kapal yang telah dipenuhi dengan air di dalam perutnya adalah mustahil untuk tiba ke destinasi yang dikehendaki (kapal selam tidak kira ok). Begitulah minda ini memandang kekayaan material di dunia ini. Sejarah juga telah membuktikan tentang individu-individu seperti Nabi Sulaiman a.s., Nabi Yusuf a.s., Saidina Abdul Rahman ibn Auf r.a., dan lain-lain lagi yang telah memanipulasikan kekayaan yang diberi pinjam pada jalan yang benar. Minda ini teringat tentang suatu pepatah yang berbunyi, "Sesungguhnya kehendak nafsu anak Adam tidak akan dapat dipenuhi sehinggalah perutnya dapat diisi dengan tanah".

"Barangsiapa menghendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami segerakan baginya di dunia itu apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki dan Kami tentukan baginya neraka jahannam; ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir. Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang ia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik. Kepada masing-masing golongan baik golongan ini maupun golongan itu, Kami berikan bantuan dari kemurahan Tuhanmu. Dan kemurahan Tuhanmu tidak dapat dihalangi."
(Al-Israa';17:18-20)

Akhirul kalam, minda ini tidak menafikan adalah menjadi suatu keperluan buat diri untuk memiliki kekuatan material pada sekadar keperluan untuk menghadapi kehidupan duniawi yang ber'sunnatullah'kan material. Mungkin diri mengatakan bahawa minda ini bercoret kosong lantaran minda ini belum perna
h dihamburkan dengan material yang membatasi tahap rasional pemikiran insan, maka minda ini hanyalah menghadapkan permohonan do'a kepada Yang Maha Memiliki Segala Kekayaan untuk mendapat perlindungan daripada hanyut kesan hempasan badai kekayaan duniawi yang boleh menenggelamkan sebesar-besar kapal 220,000 ton kelas Genesis. Maka dalam menghadapi kehidupan duniawi yang begitu mendambakan material sebagai asbab, adalah menjadi tuntutan kepada diri untuk mengikuti suatu proses didikan diri yang tersusun dan holistik dengan harapan agar diri menjadi seorang insan yang bukan sahaja mampu berwaspada dan menghadapi badai duniawi malah menjadi agen perubah dalam ummah yang begitu tenggelam lemas dalam duniawi material semata.

WALlahu'alam