Selasa, 30 Disember 2008

Minority Report

Dengan nama ALlah, Maha Pemurah, Maha Penyayang..

Sumber: http://www.globalresearch.ca

Tika ini, pemergian seorang insan di Malaysia sedang mendapat liputan meluas media tempatan. Apa tidaknya, kedudukan yang dipandang tinggi pada pandangan masyarakat tanah air memang secara fitrah akan disanjung. Namun begitu, di sudut lain dunia, lebih 300 insan-insan yang sama akidahnya juga telah sama-sama pergi menghadap ILahi. Namun begitu, pada hakikat yang sebenarnya, hanya Dia Yang Mengetahui siapakah sebenarnya yang lebih baik amalannya. Namun, pada pandangan minda yang serba terhad ini, pergi menemuinya dalam keadaan sedang berjuang menegakkan kalimahNya adalah penutup yang terbaik untuk menamatkan hidup di alam fana' ini.

Pada kali ini, minda ini ingin berkongsi suatu informasi ringkas yang jarang didapati di dalam saluran media perdana tanah air. Baru-baru ini, minda ini berpeluang untuk duduk bersama-sama dengan beberapa orang istimewa yang mendapat bonus kurang perkiraan apabila di akhirat kelak. Mereka ini adalah golongan pekak-bisu. Terdapat suatu fenomena yang mengejutkan minda ini apabila berpeluang mendengar perkongsian daripada mereka.

Sumber: http://www.globalresearch.ca

Wahai diri,
Pernahkah diri terfikir bagaimanakah hidup apabila kehidupan di dunia ini menjadi terhad apabila tidak dapat berkomunikasi dengan sekeliling dalam bentuk pendengaran telinga dan percakapan lidah? Hanya nampak gerakan dan warna-warna sahaja tanpa mengetahui apakah namanya... Dalam masa yang sejenak ini, cuba diri bayangkan apakah yang diri dapat lakukan dalam keadaan sedemikian rupa? Namun, terdapat sesetengah golongan manusia yang memandang rendah terhadap golongan ini lantaran ketidakmampuan mereka. Sememangnya kekurangan ini menghadkan kebolehan mereka berbanding manusia normal, namun ingatlah bahawa setiap yang berlaku adalah dalam kekuasaanNya dan pasti dan pasti ada hikmah disebalik yang diri masih jahil dalam memahaminya.

Dalam keadaan serba kekurangan ini, media perdana hanya menyatakan bahawa golongan ini mengalami kesukaran untuk menyara hidup. Maka pelbagai usaha diri dapat lihat yang telah dilakukan untuk menangani isu ini. Namun, setelah duduk dengan golongan ini (dengan perantaraan penterjemah), minda ini telah disingkap dengan suatu informasi yang boleh dikatakan mengejutkan.

Sebagai insan yang hanya mampu melihat dan mengerdip mata, hanya penglihatan sahaja menjadi pengantara dengan sekeliling. Hatta apabila ingin berkomunikasi, padamnya lampu yang menzahirkan malam gelap gelita, terhentilah segala hubungan. Sungguh terhad sekali. Suatu kekurangan yang ada tetapi pasti mengandungi hikmah yang amat besar.

Sumber: http://www.globalresearch.ca

Wahai diri yang memiliki pancaindera yang lengkap,
Minda ini telah difahamkan bahawa dunia pekak-bisu telah dibelenggu dengan suatu fahaman yang pasti menggegarkan pegangan akidah seorang muslim. Dan setiap diri tahu bahawa gagalnya dalam fahaman akidah bererti melakukan dosa syirik yang pasti menutup segala peluang mendapat keampunanNya walaupun di akhirat kelak.

Entah bagaimana fenomena ini bermula, mungkin lantaran terhadnya komunikasi di antara manusia normal dengan golongan ini menyebabkan hal ini berlaku. Walaupun ilmu yang asas pun boleh disalahfahami. Ya, secara amnya, kebanyakan di antara mereka, apabila ditanya, Siapakah ALlah s.w.t. ? Telah menjadi suatu kebiasaan di kalangan golongan ini untuk memahami ALlah s.w.t. sebagai lelaki. Lantaran itu, Siapakah pula Muhammad s.a.w.? Sambung mereka pula, apabila ALlah s.w.t. ialah lelaki, maka Muhammad s.a.w. pastilah perempuan. Na'uzubillahi minzalik. Maha Suci ALlah daripada apa yang diperkatakan.

Pada penglihatan yang terhad, hubungan ALlah-Muhammad adalah sama seperti apabila diri melihat pada gambar-gambar YDP Agong-Permaisuri Agong, atau gambar perdana menteri dengan isterinya, atau menteri besar dengan isterinya, atau gambar sultan dengan permaisurinya. Pada mereka, jika pergi masjid atau mana-mana tempat upacara adat islam, perkataan ALlah pasti akan dipasangkan bersama dengan Muhammad. Begitulah analogi yang minda ini dapat gambarkan.

Walaupun coretan kali ini sangat mudah atau 'simple', namun bagi minda ini, apabila menyentuh soal prinsip, soal akidah, soal pokok, maka isu ini adalah isu utama yang perlu diperjelaskan. Biarlah coretan ini tidak se-pening menjelaskan teori-teori sains tulen (fizik-kimia-matematik-biologi) dan sains sosial (politik, ekonomi, dll. lagi banyak!!), namun hal ini adalah perkara pertama yang perlu diutamakan. Mungkin sebab itulah telah diberikan jalan kepada diri untuk mudah memahami perkara asas ini tanpa perlu menyusahkan pemikiran akal sehingga memudaratkan.

Sumber: http://www.globalresearch.ca

Wahai diri,
Oleh itu apakah yang perlu diri lakukan? Wakil golongan mereka yang berkongsi ini telah menyatakan betapa pentingnya untuk golongan islam mempelajari bahasa untuk berkomunikasi dengan mereka. Ya, mempelajari 'bahasa isyarat' dalam erti kata berkaitan dengan islam. Indahnya bahasa ini adalah kerana bahasa ini mempunyai suatu 'standard' yang sama diseluruh dunia. Suatu 'perkataan' adalah difahami oleh golongan ini walaupun berada di eropah, atau benua-benua yang lain. Cuma perlunya untuk diri mengetahui bahasa untuk menyampaikan makna islam yang sebenar.

Minda ini mengaku berminat, tetapi dirasakan sekarang bukanlah masa yang minda ini berkemampuan untuk diinfakkan untuk mempelajarinya. Maka terhasillah coretan pada kali ini, dengan harapan ada di antara diri yang gemar untuk mempelajari bahasa-bahasa lain dengan hasrat untuk menegakkan kalimahNya di muka bumi ini. Bukankah 'bahasa isyarat' adalah sebahagian daripada bahasa? Semoga dengan usaha diri yang sedikit ini mendapat perhatian daripada ALlah s.w.t.

Sumber: http://www.globalresearch.ca

Wahai diri yang boleh membaca,
Sedar atau tidak, pada kali ini, sambutan tahun baru di antara kalendar islam dan kalendar masehi berlaku hampir serentak. Kepada golongan yang bekerja, tarikh berdekatan ini berlaku merupakan suatu peluang untuk mendapat sedikit ruang untuk melepaskan lelah daripada dunia karier yang menyesakkan. Dan, tarikh tahun baru ini dijadikan suatu 'pit-stop' untuk memeriksa diri dan meletakkan matlamat dalam masa setahun lagi. Biasanya dipanggil 'azam tahun baru'.

Bagi minda ini, biarlah dengan bertembungnya tarikh-tarikh ulangtahun peristiwa hijrah dan tahun baru dijadikan sebagai sumber inspirasi 'kombo' dalam menghadapi masa depan yang pasti akan lebih mencabar. Tiada matlamat yang lebih hebat atau agung daripada matlamat untuk menambahkan pengorbanan demi menegakkan kembali kebenaran islam ke tempatnya. Platformnya?... Tidak kiralah, sama ada melalui pelajaran, karier mahupun kehidupan seharian dan lain-lain lagi. Minda ini menganjurkan diri untuk merenung coretan melalui LINK INI.

Sumber: Kerteh (Paka) 2007

Akhirul kalam, minda ini mengucapkan selamat menyambut tahun baru kepada semua yang membaca. Semoga detik-detik masa yang dilalui menjadi lebih berharga sebagai memenuhi kriteria sebagai seorang yang mengaku diri sebagai muslim.

"Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: "Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah bersama kita." Maka Allah menurunkan keterangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Al-Quran menjadikan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana" (At-Taubah;9:40)

Wallahu'alam

p/s Coretan kali ini tidak disertakan dengan sebarang bunyi sebagai penghormatan terhadap golongan istimewa ciptaan Allah yang telah dikongsikan.

Sabtu, 6 Disember 2008

Roda Kehidupan

Dengan nama Allah, Maha Pemurah Maha Penyayang...

Labbaik Allah humma labbaik
Labbaik la sharika laka labbaik
Innal hamda
Wan-ni'mata
Laka walmulk
Laa sharika lak.

O my Lord, here I am at Your service, here I am.
There is no partner with You,
here I am.
Truly the praise
and the provisions are Yours,
and so is the dominion and sovereignty.
There is no partner with You.
[SOURCE]

Bandar kapal layar ini kian sepi apabila kebanyakan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi di sini pulang ke daerah masing-masing untuk percutian musim panas sebelum kembali semula pada awal Mac tahun depan. Hanya pekerja-pekerja kontraktor yang memecahkan kesunyian universiti dengan aktiviti korek mengorek Symonds St yang dibuka hanya tiga lorong berbanding saiz asal empat lorong. Mungkin ada yang akan datang awal pada bulan hadapan untuk memulakan sesi pengajian musim panas (summer school). Tempoh masa yang panjang ini akan menjadi suatu yang amat bermanfaat buat diri yang tahu menilainya atau menjadi suatu yang amat merugikan bahkan boleh menjadi suatu 'bala' buat diri yang tenggelam dalam tipu daya ujian kesabaran dalam kelapangan. Bagi minda ini, masa-masa akhir di bumi yang banyak mengajar erti hidup ini perlu digunakan sebaik mungkin, demi mengharapkan agar saat-saat ini menjadi saksi 'last minute' sebelum meninggalkannya mungkin buat selama-lamanya.

Pada kali ini, minda ini ingin berkongsi dengan diri tentang suatu perkara yang masih terngiang-ngiang di dalam minda ini, lantaran mengenangkan saat-saat akhir dalam mengharungi kehidupan sebagai seorang pelajar ijazah sarjana muda. Juga saat-saat akhir sebagai seorang yang telah melalui tempoh persekolahan formal selama 18 tahun berturut-turut.

Pernah suatu ketika, minda ini diluahkan, "Hidup ni, macam suatu putaran kehidupan. Kalau tengok betul-betul, hidup ni, sejak kecil mak ayah asuh sampai masuk sekolah. Lepas tu, belajar-belajar sampai la dapat 'degree'. Lepas tu cari kerja dan dapatkan pendapatan untuk stabilkan ekonomi sendiri. Dalam masa yang sama, dapat kereta, rumah, kahwin, dan akhirnya dapat anak. Lepas tu, dah tua, anak pun besar, bersaralah diri daripada kerja yang diceburi. Dan akhirnya duduk di atas kerusi malas (yang goyang-goyang tu), melihat cucu-cucu bermain keriangan. Begitulah putaran roda kehidupan manusia, bukankah begitu wahai ****?" bersungguh benar luahannya. (olahan semula) "Ye tak ye" Benak minda ini mengiyakan... (Mungkin diri boleh 'fancy'kan lagi cerita di atas dengan menambahkan lagi 'perisa'nya.)

Setelah beberapa ketika masa berlalu, kemudian minda ini berfikir kembali, "Sekiranya begitulah kehidupan diri, apakah yang dapat membezakan diri daripada mereka yang kufur dengan Allah?" Dalam erti kata lain, putaran kehidupan diri seolah-olah sama sahaja dengan semua manusia yang hidup di dunia ini. Hidup dengan melalui fasa\ demi fasa yang tidak jauh bezanya terutamanya dalam sudut pemikiran dan matlamat hidup. Mujurlah ada beberapa kewajipan harian, mingguan, dan tahunan yang sekurang-kurangnya membezakan hidup seorang yang ingin bergelar Muslim.

Maka setelah difikir-fikirkan, suka minda ini ingin menyeru diri untuk memikirkan kembali matlamat asal dalam setiap amalan dalam kehidupan diri. Ke manakah setiap perbuatan yang diri lakukan itu akan membawa diri? Adakah sekadar memenuhi kehendak diri semata-mata atau sebaliknya? Memang tidak dapat dinafikan bahawa ideologi yang terkandung di dalam islam pasti memenuhi keperluan (bukan kehendak eyh) insan, namun sebarang 'isme-isme' (sosial'isme', anim'isme' dll.) yang bertentangan dengan islam pasti mengundang padah bukan setakat kepada diri, malah kepada insan lain.

Oleh itu, suka minda ini berkongsi dua potong kalam Allah yang mafhumnya:-

"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak daripada jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang terna,k dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)."
(Ali-Imran;3:14)

Katakanlah: "jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad pada jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.
(At-Taubah;9:24)

Oleh itu, sebagai langkah awal, gunakanlah masa percutian musim panas ini untuk mendalami islam dengan sebaik mungkin. Setitis perasaan bahawa diri sudah memiliki pengetahuan islam yang cukup dan memadai dalam diri sesungguhnya mampu mengundang bahaya kepada diri. Hadirkanlah diri dalam majlis-majlis ilmu, bacalah bahan bacaan berilmiah yang bakal menjadi bekal kepada amal diri.
Dan bukanlah bahan bacaan yang tidak pasti sejauh mana faedahnya kepada diri seperti komik, manga, majalah gosip, dan yang sewaktu dengannya. (Boleh fikirkan sendiri kot)

Akhirul kalam, suka minda ini mengucapkan selamat menyambut Eidul Adha 1429H kepada semua yang mengenali dan membaca coretan pada kali ini. Semoga kisah pengorbanan yang terulung 'itu' menjadi garis panduan buat diri. Sebagai penutup kepada edisi coretan di bumi kapal layar ini, minda ini ingin memohon maaf atas segala salah silap, dan halalkan makan minum (dll.) sepanjang tempoh bermukim di sini. Semoga segala yang baik dijadikan pengajaran, diikuti untuk hasil yang lebih baik dan yang buruk dijadikan sempadan untuk dijauhkan. Tidak dapat dinyatakan individu-individu secara khusus di dalam coretan ini lantaran minda ini hanyalah seorang insan biasa dan terdedah kepada terlupa kepada semua yang pernah membantu dalam putaran roda kehidupan di bumi kapal layar ini, lalu mengguris seribu rasa dalam jiwa diri. Cheers mate.



Sumber: Pelbagai


Bukanlah ingin dinyatakan perasaan sedih kerana bakal berpisah, namun sebagai seorang yang percaya dengan hari kemudian, jika tidak berjumpa di tanah air nanti, maka insya ALlah bersama bertemu di syurga yang abadi. Sweet as. C U around.

Wallahu'alam

Sabtu, 15 November 2008

Tiada siapa ingin bersendirian...


Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Maha Penyayang

Masa berlalu begitu pantas, bagaikan mata padang, jika diri tidak mengawal dengan baik maka, diri akan terkorban menjadi mangsa. Tanggal 17 November kali ini menandakan tirai pengajian bagi universiti-universiti di New Zealand akan dilabuhkan. Suatu jangka masa yang dirasakan singkat, namun akan membawa begitu banyak erti kepada diri yang mengambil manfaat daripadanya.

Dalam coretan kali ini, minda ini sengaja ingin berkongsi tentang hakikat kehidupan insan yang mempunyai fitrah untuk tidak mahu hidup keseorangan. Mungkin ada kedengaran diri yang tidak suka bersosial dengan insan lain di sekitar, namun pada hakikatnya, diri akan berteman dengan makhluq Allah yang lain selain insan daripada insan. Inginkan contoh?? Suka minda ini menyebut tentang watak-watak fantasi di dalam dongengan anime, komik, novel, tayangan gambar bergerak,
alam maya (seperti buku-muka [facebook]), malah logam yang bergelar kenderaan (dan perkara lain yang boleh dibayangkan diri). Maka, adalah jelas bahawa fitrah insan dalam diri bahawa diri akan ingin hidup berteman. Sedangkan Adam kesunyian di dalam syurga walaupun dikelilingi dengan pelbagai nikmat.

Sumber: All4humor.com

Wahai diri,
Mengapa diri ingin berteman?
Minda ini menyaksikan bahawa kebanyakan diri, apabila berteman dengan insan lain, diri akan mempunyai hajat tertentu dengan insan tersebut. Tidak kira sama ada daripada segi materialistik mahupun daripada segi naluri perasaan kasih-sayang yang didambakan daripada insan lain yang dijadikan teman rapat. Dalam kursus di universiti yang diharungi, ada di kalangan diri yang akan dipasangkan dengan insan-insan lain untuk melaksanakan sesuatu kerja projek atau tugasan. Secara kasarnya, tanpa teman yang dipilih tersebut di sisi, maka projek atau tugasan yang diberi tidak akan dapat diselesaikan dengan baik.

Oleh itu, sememangnya tidak dapat dinafikan, teman yang memenuhi kehendak diri adalah amat penting kepada diri dalam meneruskan kehidupan. Namun begitu, pernahkah diri terfikir untuk mencari teman yang sebenar-benar teman?? Pepatah ada menyatakan, "Berkawan biar seribu, berteman biar seorang", iaitu teman yang bukan sekadar berjumpa di jalanan lalu disertakan dengan sekadar bertanya "Assalamu'alaikum, how are you brother/sister?". Tetapi teman yang dimaksudkan adalah teman yang sanggup mengharungi senang susah bersama-sama. Memahami kehendak atau keadaan diri. Insan yang lebih memahami keadaan diri tanpa diri sempat menzahirkan keadaan diri. Insan yang sanggup memenuhi segala kekurangan diri. Malah, sanggup menerima kelemahan diri kemudian disertakan dengan cuba sedaya upaya membantu meningkatkan kekuatan diri terutama dalam pembentukan peribadi terpuji. Sungguh idealistik bunyinya, kan kan?....

Sumber: BusinessWeek

Sememangnya diri dapat melihat bagaimana kisah-kisah dongengan mahupun 'based on the true story' menggarap betapa hebatnya persahabatan/percintaan yang wujud di antara watak-watak. Namun begitu, minda ingin bertanya, adakah persahabatan/percintaan itu adalah nilai persahabatan/percintaan yang terhebat di dunia?? Mungkin nilainya hebat kerana dapat menyentuh perasaan diri lalu berderai air mata kerana terharu atas nilai persahabatan/percintaan yang dillihat atau didengar.... Atau mungkin nilainya hebat kerana membawa para penonton atau pendengar untuk berfikir dan menganugerahkan kisah tersebut dengan anugerah-anugerah yang diselitkan dengan babak karpet merah. Mungkin ada juga di antara diri yang menganggap persahabatan/percintaan yang wujud dengan kukuh berdasarkan kenangan/keserasian masa lepas adalah yang terbaik. Maka disandarkan pada kenangan. Pendek kata, diri menganggap persahabatan/percintaan itu kukuh lantaran pernah mengalami zaman yang menuntut diri untuk saling mengenali...

Mungkin ada di antara diri yang berfikir bahawa nilai berteman di dalam konsep kekeluargaan adalah yang terhebat. Mana tidaknya, berpuluh-puluh tahun digunakan untuk membina kenangan bersama dan pada masa yang sama diperkukuhkan dengan ikatan darah (biologically) pasti akan membentuk suatu ikatan persaudaraan yang teramat kukuh. Malah dikatakan si ibu mampu merasakan keadaan anak-anaknya walaupun setiap di antara diri adalah berjauhan. Manakala si ayah pula telah mengorbankan segala penat lelah bertahun-tahun demi mengumpul 'capital' atau dana untuk membesarkan anak-anak.

Oleh itu, minda ini tidak dapat menafikan bahawa ikatan persahabatan atau persaudaraan yang diceritakan adalah sesuatu yang tampak hebat, menyentap perasaan, dan mendidik jiwa. Namun begitu, sedarkah diri bahawa kesemua hubungan yang tampak mulia dan tinggi di atas boleh menjadi suatu yang paling merugikan/menyesalkan jika tidak disandarkan pada tempat yang betul?? Bersama diri memetik kalam yang benar dan terpelihara sejak beribu tahun di bawah :-

"Teman-teman karib pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh kepada sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang bertakwa." [Az Zukhruf; 43:67]

"Hai orang-orang mukmin, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cubaan (bagimu), dan di sisi Allahlah pahala yang besar. "
[At Taghaabun; 64:14-15]

Petikan ayat-ayat yang sungguh pendek namun sudah cukup untuk menyentap perasaan minda ini. Bagaimana pula dengan diri? Jika diri masih lagi tidak merasakan apa-apa, renungilah kembali ayat-ayat atau rajin-rajinlah mendalami tafsir ayat-ayat tersebut....

Sumber: Old photos

Oleh itu, tidak dapat dinafikan hanyalah satu sahaja ikatan persaudaraan/persahabatan/percintaan yang paling hebat di dunia, tidak memerlukan pengiktirafan sesiapapun (grammy awards atau guinness record sekalipun) lantaran nilai ini telah mendapat sokongan daripada yang Maha Besar iaitu hubungan yang disandarkan hanya kepada yang menjadi sandaran segala makhluq. Pendek kata, hubungan tersebut hanya wujud atas dasar ketauhidan yang diri miliki di dalam diri.

Oleh itu wahai diri,
Semaikanlah rasa persahabatan sesama sahabat diri, semaikanlah rasa cinta kepada insan di sekitar diri, teruskanlah hubungan kemesraan dengan kerabat keluarga walaupun telah terputus atau diputuskan... KERANA... kerana kesemua nilai ini hanya disandarkan kepadaNya.. kerana semua hubungan yang tampak mulia dan hebat itu adalah di dalam melaksanakan perintahNya.

Seterusnya, keadaan ini akan menjadi jelas dan terperinci kerana apabila kesemua hubungan yang wujud adalah dalam melaksanakan perintahNya, maka segala gejala negatif (pergaulan bebas, khalwat [dalam definisi Melayu] dan lain-lain lagi) akan terhindar daripada diri. Segalanya adalah bersandarkan kepadaNya. Dalam pada itu, adalah suatu kesilapan jika ada di antara diri yang tidak memberikan ruang kemaafan kepada insan-insan lain yang cuba untuk belajar menyandarkan hubungan hanya kepadaNya. Insan adalah terdedah kepada kesilapan dan hanya panduan dan sokongan sahaja diperlukan untuk mencapai nilai hubungan yang paling hebat di dunia ini lantaran hal ini tidak mudah semudah menghasilkan coretan pada kali ini.

Akhirul kalam, minda ini ingin mengatakan kepada teman-teman yang dikenali dengan rapat di bumi Auckland ini bahawa minda ini hanya menyandarkan segala hubungan persahabatan yang hadir hanya keranaNya. Terima kasih atas segala 'kenangan' tidak kira pahit atau manis, kerana segalanya adalah merupakan didikan daripadaNya lantaran minda ini menyandarkan hal-hal tersebut kepadaNya bukan atas nama kejuruteraan mekanikal, atau UoA mahupun atas nama pemberi pinjam boleh-ubah minda ini dll.

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk." [Ali 'Imran; 3:103]

Dengan ini dipersembahkan pantun ringkas yang diadaptasi daripada sumber berikut (KLIK DI SINI). Hayatilah.....

Apabila diri ingin berteman,

Janganlah kerana kelebihannya,

Kerana mungkin dengan satu kelemahan,

Diri mungkin akan menjauhinya….


Andai diri ingin berteman,

Janganlah kerana kebaikannya,

Kerana mungkin dengan satu keburukan,

Diri akan membencinya…..


Andai diri inginkan sahabat yang satu,

Janganlah kerana ilmunya,

Kerana apabila dia buntu,

Diri mungkin akan memfitnahnya….


Andai diri inginkan seorang teman,

Janganlah kerana sifat cerianya,

Kerana andai dia tidak pandai meceriakan,

Diri mungkin akan menyalahkannya….


Andai diri ingin bersahabat,

Terimalah dia seadanya,

Kerana dia seorang sahabat,

Yang hanya manusia biasa…


Jangan diharapkan sempurna,

Kerana diri juga tidak sempurna,

Kesempurnaan milik mutlakNya,

Dikurnia hubungan sempurna….



Sumber: Old photos


Wallahu'alam....

p/s All the best kepada semua dan yakinlah tiada hubungan yang kekal abadi no matter how 'SOoooo SWEET' it is melainkan hubungan yang hadir kerana disandarkan kepadaNya.. Sehingga ketemu lagi~~

Ahad, 2 November 2008

Ikut ske ati la~~


Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Maha Penyayang,

Sedar atau tidak, tempoh pembelajaran bagi tahun 2008, Universiti nombor satu New Zealand di Bandar Kapal Layar ini akan berakhir dalam kurang daripada 3 minggu lagi. Ruang lingkup masa setahun termasuk 24 minggu tempoh kuliah, lebih kurang 5 hingga 6 minggu tempoh peperiksaan dan selebihnya adalah cuti bergerak dengan begitu pantas sekali. Sebagai pengenalan coretan pada kali ini, minda ini ingin membawa diri untuk berfikir sejenak. Sejauh manakah diri telah berubah dalam tempoh yang singkat ini? Atau lebih khusus lagi, perubahan positif yang meningkatkan peribadi dan kelebihan diri kepada kehidupan yang abadi. Semoga dengan tempoh penilaian diri dalam beberapa saat ini boleh menjadi garis panduan kepada diri untuk meletakkan sasaran realistik yang lebih tepat pada masa depan untuk berubah kepada yang lebih bagus.

Dalam kesempatan yang singkat ini, minda ini ingin berkongsi suatu pandangan yang jarang disedari oleh diri tetapi telah menjadi intipati dalam hampir setiap keputusan yang dibuat oleh diri saban waktu. Lebih tepat lagi coretan kali ini tercetus di kala dua pilihan raya umum berlangsung pada minggu ini iaitu di US dan juga di New Zealand sendiri. Suatu keadaan di mana pengundi perlu berfikir tentang masa depan dan memilih mana-mana individu atau parti yang dirasakan paling layak untuk disandarkan masa depan pengundi.

Sumber: ElectionNZ

Mungkin diri menyedari bahawa saban hari, keputusan yang dibuat disandarkan kepada kepercayaan kepada sesuatu. Analoginya mudah, dalam membuat keputusan untuk mengundi (walaupun secara realitinya tidak 'applicable' untuk diri sekarang), diri akan memilih seseorang atau individu yang memberikan janji yang paling meyakinkan atau realistik. Pandangan mata diri akan memilih seseorang yang memiliki imej keterampilan yang mantap dan boleh dijadikan rujukan atau sandaran.

Begitu juga dalam kehidupan seharian, diri akan secara tidak langsung akan mengenakan gaya hidup bersandarkan individu atau kumpulan yang dikenali. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ini adalah suatu fitrah insan. Pendek kata, jika diri meminati seseorang kerana kebolehannya di dalam sesuatu bidang yang kena dengan diri, maka diri akan begitu meminatinya, cuba mengenalinya, ingat tarikh lahirnya, cuba mengikuti setiap perkembangannya, keluarganya dan pelbagai lagi (the list goes on...)

Sumber: Wikipedia

Dalam menjelaskan hal ini, sudah pasti diri akan mencontohi seseorang yang diri begitu mengenalinya. Adalah menjadi suatu yang pelik jika diri yang berada di tanah air dan mengikuti rapat perkembangan bola sepak Liga Perdana Inggeris tiba-tiba meminati dan mencontohi Richie McCaw. Pendek kata, pepatah ada mengatakan, tidak kenal maka tidak cinta.

Namun bagi sesetengah daripada diri, akan sampai suatu ketika diri akan mula bosan dengan imej yang ditampilkan oleh individu atau sesiapa yang menjadi rujukan jika tidak kena dengan kehendak atau citarasa diri. Akan sampai suatu masa diri akan mula bosan dengan penampilannya dan mencari yang lain. Malah lebih mendalam lagi kesannya jika diri menyimpan perasaan benci dan menyampah dengan bekas individu yang dihormati. Ini juga adalah suatu realiti.....

Namun akan ada juga diri yang akan sentiasa setia dengan yang diminati, tidak kira apa sahaja imej atau kelakuan yang ditampilkan. Sanggup diikuti. Semua yang dikatakan oleh yang diminati diri itu benar dan bagus walaupun tidak kena dengan realiti diri. Keadaan ini jarang berlaku, namun, keadaan ini tetap berlaku, Dalam keadaan ini, minda ini terfikir, ke manakah perginya kewarasan akal dan minda yang berada dalam diri? Jika individu tersebut membawa diri kepada kebenaran, mujurlah. Jika tidak, sungguh malang sekali buat diri apabile mengikuti yang diminati secara membabi-buta (taklid) dan jalan yang dibawa adalah ke arah kesesatan, mabuk dalam nafsu kehidupan dunia.

Dalam menjelaskan hakikat ini, maka minda ini ingin berkongsi. Siapakah yang sepatutnya menjadi individu kegemaran dan yang diminati diri? Jawapan tipikal ialah Rasulullah s.a.w. Namun akan ada suara-suara yang mengatakan adalah mustahil untuk mengikuti seorang insan yang ma'sum (Walaupun ini hanyalah alasan dan boleh dipersoalkan semula, namun bukanlah pada coretan kali ini). Maka minda ini mencadangkan untuk diri merujuk kembali kepada individu-individu biasa yang terdedah melakukan kesilapan di kalangan baginda s.a.w. Rujuklah mereka... Kenalilah mereka...

Sumber: Blog Orang

Memang benar, jika asyik kenal Lewis Hamilton, Kobe Bryant, Barack Obama, Christina Aguilera, Avril Lavigne, Norman Hakim, Ali Williams, atau Cristiano Ronaldo dan ramai lagi (diri boleh senaraikan sendiri), maka diri akan bukan sahaja mengenali mereka, bahkan akan cuba mengikuti gaya hidup mereka. Dan jika hidup diri sudah dipenuhi dengan mereka ini, bagaimana diri hendak mengenali insan-insan yang pasti dan pasti menjamin masa depan diri? Masa depan hidup yang abadi...

Oleh itu, berikut diketengahkan beberapa figure-figure yang boleh diri ambil sebagai rujukan (SUMBER) :-
  1. Sepuluh orang sahabat yang dijamin syurga seperti Abu Bakar r.a., Umar al-Khattab r.a. dan lain-lain (Rujuk playlist imeem di atas)
  2. Tiga ratus tiga belas orang yang menyertai pertempuran di Badar. (Sedarkah diri tidak akan tahu jumlah setepat 313 orang jika nama-nama mereka tidak direkodkan)
  3. Ahli anggota yang bersumpah dalam peristiwa Bi'ah Ridhwan seramai lebih kurang 1500 orang untuk menuntut bela atas Uthman ibn Affan r.a. (Rujuk al-Fath;48:18)
  4. Isteri-isteri baginda s.a.w. yang diberi gelaran 'ibu-ibu orang-orang beriman' (Ummahatul Mu'minin)
Dalam menjelaskan maklumat di atas, cubalah diri kenali mereka kerana mereka juga insan biasa. Carilah mana-mana individu yang menepati citarasa diri atau realiti keadaan diri kerana mereka juga terdiri daripada pelbagai keadaan ciri-ciri tersendiri, kaya, muda, miskin, 'businessperson', golongan bangsawan (anak-beranak Dato' dalam kes diri), golongan rakyat biasa, dan pelbagai lagi. Kenali bagaimana mereka menjalani kehidupan dan contohilah mereka lantaran mereka adalah golongan yang Allah s.w.t. telah redha dengan mereka semasa mereka hidup berjalan di muka bumi ini. Pendek kata dalam dunia maya yang tidak terbatas ini, segala maklumat hanyalah di hujung jari diri.

Perubahan menuntut komitmen yang tidak berbelah bahagi lagi-lagi apabila sudah bertahun-tahun diri meminati seorang artis atau personaliti sukan/politik. Namun, percayalah sesuatu yang berharga tidak datang dengan harga yang murah. Sunnah alam. Hendakkan gaji atau pendapatan yang lumayan, terpaksa bertahun-tahun cuba dan terus mencuba walaupun penat dan mungkin terpaksa menghadapi kegagalan dalam melangkah. Percayalah hasil perubahan diri adalah lebih bernilai dan berharga berbanding menunggu orang lain untuk berubah atau menantikan orang lain untuk membuat perubahan. Rujuklah individu-individu yang sepatutnya sebagai 'idola' diri.

Sumber: Obama08

Akhirul kalam berubahlah ke arah kebaikan lantaran perubahan ke arah tersebut adalah untuk kebaikan diri, dan Allah s.w.t. tidak memerlukan kepada perubahan diri, bahkan dirilah yang memerlukannya. Jika nak jugak ikut ske ati, ingatlah bahawa minda ini tidak bertanggungjawab atas apa yang ada di dalam hati diri....

".....Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri...." (ar-Ra'd;13:11)

Wallahu'alam

Sabtu, 18 Oktober 2008

Matanya kelabu asap...


Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Maha Penyayang...
Sedar tidak sedar, minggu ini adalah minggu terakhir untuk para pelajar yang mengikuti Semester kedua tahun 2008 di Universiti Auckland. Cepat sungguh masa berlalu. Ada seorang sahabat tahun pertama minda ini berkongsi, "Macam baru semalam je sampai Auckland". Manakala pada hujung minggu ini akan bermula 'study leave' sebelum kebanyakan pelajar di universiti ini akan 'berjihad' (terms and conditions apply) mengharungi peperiksaan. 'All the best' diucapkan. Semoga 'perjuangan' pelajar-pelajar ini (termasuk minda ini) dikira sebagai sebahagian daripada jalan-jalan atau sebab-sebab untuk ke syurga atau lebih utama lagi untuk mendapat keredhaanNya. Ganbatte!!

Sumber: Dakwah.info

Dalam kesempatan kali ini, minda ini ingin berkongsi dengan diri tentang suatu perkara yang diri selalu leka dalam menunaikannya. Hal ini terdetik apabila minda ini melihat insan kebanyakannya begitu berusaha dan berjuang bersunggu-sungguh bermatian dalam mendapatkan apa yang hendak dicapai. Fenomena ini mampu menular ke segenap lapisan insan tidak kira sama ada yang hidup melarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang sehinggalah kepada seorang pemerintah atau ketua yang kebanyakan masanya perlu digunakan untuk membuat keputusan dalam sesuatu tindakan.

Bagi memudahkan pemahaman kepada diri yang masih menuntut, dibentangkan analogi kehidupan insan bergelar pelajar sepenuh masa. Memang tidak dinafikan bahawa dalam ajaran islam diperintahkan untuk menuntut ilmu lebih-lebih lagi ilmu fardhu 'ain. Namun sejauh manakah di antara diri pada setiap kali bermulanya kuliah, tutorial, atau 'lab', memulakannya dengan niat untuk menegakkan islam dalam diri? Secara umumnya, kebanyakan diri akan memulakan hal-hal tersebut supaya mendapat ilmu. Kenapa hendakkan ilmu? Sebab akan menghadapi peperiksaan... Kenapa peperiksaan? Sebab hendakkan keputusan cemerlang... Kenapa keputusan cemerlang? Cukup setakat ini dahulu..... Cuba diri fikirkan, kenapa diri inginkan keputusan yang cemerlang? Adakah hendakkan penghargaan anugerah akademik semata lalu menjadi kebanggaan dan reputasi milik diri sepenuhnya? Atau lebih jauh lagi untuk mendapat keuntungan material yang banyak pada masa depan semata seperti yang selalu diwar-warkan dalam media massa perdana? Wahai diri, bukankah hal ini sama sahaja seperti orang lain yang tidak mahu tunduk kepada islam sepenuhnya? Atau atas sebab lain? Bersama diri fikirkan.....

Hidup di dalam kekaburan dunia dengan sebab-sebab yang kurang jelas menyebabkan kebanyakan diri tidak dapat melihat dengan jelas tentang sebab-sebab perlakuan diri yang berlaku sepanjang 24 jam sehari. Natijahnya, kebanyakan diri hanya akan bertindak menurut pengaruh persekitaran. Bagaikan lalang. Bahkan lebih teruk lagi lantaran liang-liuk lalang adalah kerana patuhnya si lalang dengan sunnah alam untuk mengikut arah angin. Mengapakah begitu? Sebagai insan, diri dikurniakan hati, penglihatan, dan pendengaran untuk bertindak mengikut kebebasan diri berdasarkan garis-garis hidup yang sempurna. [Rujuk surah 7: ayat 179] Pendek kata, apabila individu di sekitar diri meminati sesuatu perkara (sukan, teknologi, politik, ekonomi, dll.), maka diri akan mengikutinya dengan sedalam-dalamnya, dikaji teori konspirasi, dipelajari dan diusahakan sepenuh hati, biar puas... Inikah cara yang sepatutnya?

Maka minda ini ingin berkongsi sebab mengapa hal ini berlaku... Sekadar apa yang berlegar-legar dalam minda... Hal ini berlaku kerana diri tiada niat yang jelas dalam setiap perbuatan yang dilakukan. Berikut disertakan video tentang perihal niat sebagai kunci setiap amalan:-


Sumber: Youtube

Minda ini tidak menafikan yang majoriti diri sudah biasa mendengar atau pernah terdengar tentang hadis ini. Pendek kata, biarlah kesungguhan perbuatan diri itu tertegak di atas asas yang teguh. Namun mengapa diri masih kabur atau terlalai dalam mengamalkan hadis ini sebagai seorang muslim. Maka adalah tepat sekali apabila Imam Nawawi membentangkan hadis kedua di dalam kompilasi hadisnya sebagai hadis membetulkan fahaman islam, iman, dan ihsan sebagai asas yang penting dalam pembentukan niat dalam diri:-


Sumber: Youtube

Sesungguhnya minda ini begitu bersetuju sekali dengan apa yang telah dipilih dalam penyusunan 42 hadis-hadis terpilih daripada beribu-ribu hadis yang datang daripada kata-kata Rasulullah s.a.w.

Wahai diri,
Setelah jelas dengan nilai-nilai yang dibawa oleh hadis-hadis di atas, maka barulah minda ini ingin mengatakan pentingnya untuk diri menuntut dan mencari ilmu pengetahuan berdasarkan kefahaman dan keikhlasan yang sahih. Oleh itu, apabila jelas perkara ini, diri yang bergelar muslim sepatutnya sedar tanpa ragu-ragu, mengapa diri perlu menutup aurat (tiada istilah tutup aurat tidak sempurna), atau mengapa diri perlu begitu menjaga amal-amal fardhu.. dan juga mengapa diri perlu berkejar melakukan amalan sunat... Selain itu, berdasarkan perkara asas ini jugalah, diri sepatutnya sedar untuk meninggalkan mana-mana perkara yang tidak menjadi prioriti yang utama dalam pembentukan peribadi muslim seterusnya membentuk ummah yang cemerlang menurut al-Quran...

Sumber: Senikehidupan.com

Cukup sekadar ini sahajalah coretan pada kali ini, sebagai penutup minda ini ingin berkongsi tentang suatu kata-kata penguat semangat dan janji yang pasti akan ditunaikan jika diri menunaikan apa yang disyaratkan:-

"Orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh, kelak akan Kami masukkan ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah telah membuat suatu JANJI yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?" (an-Nisa';4:122)

Semoga diri yang pernah mengalami perasaan dimungkiri janji berasa lebih terjamin dengan janji ini lalu menghilangkan kekaburan dalam kehidupan di dunia yang bakal musnah atau berakhir ini. Penuhilah terma dan syarat janji di atas dan minda ini berani untuk menjadi penjamin kepada janji yang bakal dipenuhi itu. Sebaliknya, jika kriteria-kriteria itu tidak dipenuhi, maka siapakah lagi yang sanggup untuk menjanjikan syurga buat diri......

Wallahu'alam

Sumber: Outlandish

Selasa, 30 September 2008

Adik, kalau x pose, x leh raye tau.....

Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Maha Penyayang,
Segala kesyukuran dirafa'kan kepada Allah yang telah memberikan peluang kepada minda ini untuk mengalami Ramadhan yang ke-1428 (difardhukan puasa pada tahun ke-2 H). Suatu pengalaman yang amat unik, sungguh istimewa dan berbeza. Bagaimana pula dengan diri?

Secara peribadi, pemergian Ramadhan kali ini pasti akan dirindui dengan kenangan-kenangan yang tidak dapat diperolehi dalam mana-mana bulan atau waktu yang lain. Bilakah diri hendak melihat ummah yang sedang tenat ini berlumba-lumba jika tidak sekadar membelek kalamullah lagi? Bilakah lagi diri hendak melihat ummah tenat yang terdiri daripada pelbagai bangsa hendak duduk dalam satu bulatan untuk menjamah makanan bersama? Bilakah lagi diri hendak melihat atau menghayati do'a-do'a yang diluahkan dengan sepenuh hati? Bilakah lagi diri hendak melihat ummah yang tenat ini berkumpul bersama menunaikan solat sunat, menghidupkan malam? Bilakah lagi diri hendak melihat umat yang tenat ini bersama-sama cuba untuk mencapai tahap ketaqwaan yang digariskan dalam islam? Dan bilakah lagi diri hendak melihat atau merasakan yang diri cuba untuk mendekatkan diri dengan Zat yang menjadi pergantungan segala makhluk? Bilakah lagi wahai diri?

Melihat keadaan ini, maka tidak hairanlah jika para sahabat r.anhum membuat persediaan lama sebelum ketibaan Ramadhan... Tidak hairanlah para sahabat r.anhum begitu mengidamkan agar seluruh tahun adalah Ramadhan. Buat diri yang terlepas hikmah Ramadhan pada kali ini, berdo'alah agar dikurniakan suatu Ramadhan yang paling bermakna sebelum roh berpisah daripada badan.


Kembali kepada tajuk asal penulisan, mungkin ramai di antara diri yang pernah mengalami atau mendengar kalimah tersebut. Secara tidak langsung, ayat tersebut merupakan suatu motivasi kepada diri yang masih berhingus untuk berusaha sedaya upaya menyertai golongan orang besar untuk berpuasa. Tidak hairan jika suatu ketika dahulu minda ini pernah dipromosikan oleh kedua orang tua untuk berpuasa dengan ganjaran RM1 sehari puasa yang akan diberikan pada Hari Raya Aidilfitri nanti. Buat seorang yang masih berhingus dan kadar inflasi yang jauh lebih rendah daripada hari ini, pastilah usaha berpuasa adalah suatu 'bargain' yang tidak boleh dilepaskan.

Namun, tahun berganti tahun, usia semakin meningkat. Maka, kadang-kadang minda ini termenung kembali. Sekiranya masa berhingus dahulu, RM1 sehari menjadi motivasi diri untuk berpuasa, maka bila sudah besar panjang ini, apakah motivasinya? Adakah setakat hendak mengikut orang lain agar diri tidak malu? Atau adakah sekadar meneruskan amalan-amalan yang telah dilatih semenjak berhingus lagi? Bersama-sama diri renungkan.

Berkali-kali diri dijelaskan dalam program memeriahkan Ramadhan yang memberitahu kita agar dengan berpuasa ini, peringkat taqwa dapat dicapai. 'Taqwa', menurut seorang penceramah dari Texas yang memeluk islam membawa makna di dalam bahasa Inggeris sebagai 'PARTITION'... Sama-sama diri renungkan.

Tahap 'Taqwa' ini bukanlah sekadar melekat dibibir sahaja malah perlu disampaikan dalam perbuatan kelakuan diri. Minda ini mengaku bahawa bukanlah mudah untuk mencapainya. Namun, sesusah mana untuk mendapatkan segulung ijazah (sampai 6 tahun pun ada), tidak pula diri mengatakan tidak payah atau perlu untuk menarik diri daripada proses berusaha mencapainya. Berusahalah wahai diri untuk mencapainya walau sesusah mana di dalam bulan yang barakah ini.....

Orang Auckland bersesak nak balik @ Symonds st, Auckland

Setelah penat berusaha selama sebulan lamanya, berdiri dalam raka'at yang panjang-panjang, membaca dan mentadabbur al-Quran sebanyak mungkin, meninggalkan kemaksiatan mulut, telinga, mata dll., mengeluarkan sedeqah walaupun keberatan, dan banyak lagi usaha yang tidak tercoret di sini, maka atas Rahmat dan Rahim Allah s.w.t., dikurniakan umat islam dengan sambutan hari kebesaran kembali kepada fitrah. Suatu anugerah yang tidak ternilai buat umat islam yang telah berusaha sedaya-upaya selama sebulan lamanya.

Oleh itu, minda ini memetik kembali tajuk coretan kali dalam bentuk yang lebih matang. Begini bunyinya," Abang, sekiranya tidak berusaha mencapai 'taqwa' dalam bulan pose ni, abang tak leh raye tau,". Sinis bunyinya, tapi itulah hakikat yang minda ini dapat rasakan dan cuba sampaikan. Sesungguhnya dikurniakan Hari Kebesaran ini hanyalah untuk menunjukkan rasa kemenangan diri setelah berusaha sedaya upaya pada bulan Ramadhan. Barulah dapat dirasakan hakikat sebenar kurniaan sambutannya. Bukanlah sekadar membuat kuih raya, memakai baju baru atau sebagainya...

EID 1428H @ Symonds St, Auckland

Akhirul kalam, sambutlah hari kebesaran pada kali ini dengan penuh rasa kesyukuran. Bersama merenungi ayat di bawah ini:-

[Katakanlah: "Dengan kurnia Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmatNya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan."] (Yunus;10:58)

Eid Mubarok..... Taqabbalallahu minna wa minkum...Kullu 'aam wa antum bikhair... Maaf atas salah silap buat yang mengenali minda ini dan juga umat islam yang tenat atas kelalaian minda ini dalam menjalankan tanggungjawab sebagai muslim...


Wallahu'alam

Khamis, 11 September 2008

Izinkanku mencuri khayalan denganMu

Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Maha Penyayang.

Dalam kesibukan ini, entah mengapa, walaupun prinsip asal coretan blog ini bukanlah ingin berkongsi hal-hal peribadi secara khusus, minda ini tiba-tiba teringin berkongsi do'a-do'a yang sama-sama diri boleh lihat dan renungi sekadar yang termampu. Jika berkesempatan, hayati apa yang dipinta. Sama-sama cuba aplikasikan dalam rayuan diri denganNya. Operasi BM ver. 101 juga diterima k.
Terimalah.................




Maafkanlah andai coretan ini mengganggu ruangan hidup diri.

Sebagai penutup, renungi ayat-ayat yang dibacakan ini....D
an jika mata diri menjadi mata yang tidak dapat disentuh oleh api neraka, maka itu adalah jauh lebih baik.



Moga kian hari, saat bersama Ramadhan bertambah baik~~
Wallahu'alam