Jumaat, 18 Julai 2008

Tips untuk menjadi pandai dan cemerlang....


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang,

In sya Allah, minggu ini adalah minggu terakhir untuk percutian musim sejuk di bandar kapal layar ini. Kedua-dua universiti di bandar ini akan memulakan semester kedua pengajian bagi tahun 2008 pada hari Isnin minggu hadapan (21hb Julai 2008). Buat minda ini, masa dirasakan terlalu pantas bagaikan baru sahaja memulakan pengajian di sini. Sempena dengan semester yang akan bermula ini, minda ini ingin berkongsi sedikit bersama diri semua tentang kepentingan meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Coretan pada kali ini adalah hasil cetusan apabila minda ini melihat diri mula sibuk menyiapkan diri untuk menghadapi semester yang akan datang. Secara mudah, ada diri yang mula sibuk mencari bahan rujukan untuk semester yang akan datang seperti buku teks, nota-nota senior, hasil tugasan senior yang telah ditanda dan pelbagai lagi. Semua bahan ini dipilih lantaran diri merasakan adalah penting untuk bersikap pro-aktif untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Tidak kurang juga ada di antara diri yang telah mula membuka buku untuk menelaah a.k.a. 'study' subjek yang akan diambil pada semester depan. Ada juga yang mula menghadirkan diri kelas-kelas tambahan sebagai persediaan untuk subjek yang akan diambil. Ada juga yang telah mula memikirkan penyelesaian-penyelesaian tajuk projek yang bakal diambil berdasarkan maklumat daripada senior lantaran tiadanya kepelbagaian dalam 'course outline' pada setiap tahun. Secara kasarnya, minda ini berasa cukup kagum dengan diri yang telah mula menyiapkan diri. Secara tidak langsung menunjukkan bahawa diri tidak mengabaikan pelajaran yang sedang dilalui lebih-lebih lagi subjek yang memerlukan pemahaman yang tinggi.


Dan bukanlah suatu benda pelik apabila diri melihat setiap individu bertungkus-lumus menyediakan diri bagi memahami pelajaran yang dihadapi. Setiap diri faham bahawa, untuk berjaya dalam pelajaran, diri perlulah berusaha untuk memahami pelajaran yang dipelajari. Dan untuk itu, setiap diri tahu bahawa diri kenalah memperuntukkan suatu masa untuk meningkatkan pemahaman dalam subjek tersebut. Tidak kira jika diri melihat sahabat-sahabat diri yang 'genius' atau tidak, semuanya akan berusaha untuk itu dengan matlamat untuk berjaya dengan cemerlang. Ya, diri berasa tidak pelik walaupun di kalangan yang rajin belajar adalah diri-diri yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan sebelumnya.

Sekarang, minda ini ingin mengajak diri untuk menyingkap suatu dimensi lain berdasarkan konsep yang telah dicoret. Pernahkah diri terfikir mengapa individu yang sudah sedia cemerlang di dalam pelajaran masih lagi rajin untuk menjalani latihan pemahaman bagi menambahkan pengetahuan dalam subjek yang dipelajari? Atau mungkin diri merasakan yang hal ini adalah tidak pelik kerana sememangnya individu yang 'genius' sudah sedia maklum dengan komitmennya dalam pelajaran. Bagaimana pula dengan diri yang tidak sedia cemerlang di dalam pelajaran, tetapi masih lagi bertungkus-lumus dalam mencapai pemahaman?

Pada pandangan minda yang terhad ini, sememangnya tidak pelik untuk setiap individu berusaha sehabis baik bagi mencapai kecemerlangan walaupun keputusan yang cemerlang (termasuk Anugerah Dekan) tidak akan memihak kepada semua. Mungkin hal ini sudah menjadi suatu kebiasaan. Jika ditanya kepada diri yang tidak pernah mendapat keputusan cemerlang sekalipun, diri masih lagi optimis untuk berusaha sehabis baik untuk mendapatkannya walaupun jaminan itu masih belum ada. Kesimpulan yang dapat diberi, usaha untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang harus diteruskan walaupun keputusan yang cemerlang itu masih belum pasti.

Baiklah, sekarang minda ini ingin membawa kepada suatu senario yang agak berlainan tetapi masih berpegang pada konsep yang sama. Saban hari, ada di kalangan sahabat-sahabat diri yang nampak baik dan sentiasa berusaha membentuk peribadi yang baik. Diri menyaksikan sahabat-sahabat diri itu sentiasa menghadirkan diri ke dalam majlis-majlis yang menggalakkan untuk membentuk peribadi muslim sejati. Maka secara tidak langsung, mungkin ada di antara diri akan mengatakan yang sahabat-sahabat diri ini sudah memang terdiri daripada orang yang baik-baik. Melihatkan hal ini, maka mungkin ada di antara diri yang berpendapat bahawa hanya individu-individu yang sudah sedia baik sahaja yang layak untuk mengikuti program-program yang menggalakkan ke arah kebaikan.

Jika hal ini berlaku, maka tidak salah rasanya minda ini menyatakan bahawa diri telah meletakkan suatu persepsi yang salah dalam kehidupan. Salah pada tempatnya bererti diri telah menzalimi diri. Diri yang belum tentu cemerlang dalam pelajaran tetapi tetap berusaha untuk mencapai kecemerlangan dengan menggunakan pelbagai taktik dikatakan patut, tetapi diri yang dilabel 'nakal' berusaha untuk ke arah kebaikan dipandang sinis dan pelik.


Wahai diri, sedarlah bahawa terdapat suatu persamaan di sini. Diri yang sedia cemerlang dalam pelajaran tahu bahawa diri harus terus berusaha untuk kekal cemerlang lantaran tiada jaminan tentang masa depan berdasarkan keputusan peperiksaan yang lepas. Begitu juga dengan diri yang sedia tampak 'baik', diri tetap berusaha untuk kekal dalam kebaikan lantaran tiada jaminan untuk terus kekal dalam kebaikan pada masa hadapan berdasarkan kebaikan yang telah berlalu.

Namun terdapat suatu perbezaan jelas di sini. Kecemerlangan di dalam pelajaran hanya ditentukan pada waktu-waktu tertentu sahaja seperti 'assignment', 'test', peperiksaan, dan pelbagai lagi. Namun, ingatlah penentuan kepada diri yang baik atau sebaliknya adalah tidak diketahui seperti kalamNya yang berikut:-

"Maha Suci Allah Yang di tanganNyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu, Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun" (al-Mulk;67:1-2)

Ya, penentunya adalah bila-bila. Mungkin baru sahaja tadi seronok bergurau senda, tetapi sekarang, tubuh diri sudah terbujur kaku.

Sebagai kesimpulan, jika diri begitu berusaha untuk semerlang dalam pelajaran yang masih belum terjamin, maka, adalah lebih wajar lagi diri untuk berusaha menjadi insan yang lebih baik setiap saat. Wallahu'alam