Khamis, 24 September 2009

Mesra Desa


Dengan nama ALlah, Maha Pemurah, Maha Penyayang.

ALlah Maha Besar bergema empat kali,
Tiada Ilah selain ALlah, ALlah Maha Besar,
ALlah Maha Besar, Dan kepada ALlah sahajalah segala pujian....

Tempoh 24 jam 1 Syawal pasti dipenuhi dengan kalimah-kalimah di atas di segenap ruang masjid-masjid, surau-surau, rumah-rumah, radio, malahan juga di layar televisyen. Pada yang memahami kalimah tersebut yang bukan sekadar alunan sayu, dengan rasa rendah kehambaan pasti melafazkan takbir dengan penuh rasa kesyukuran kepada ALlah yang telah mengurniakan perayaan pada 1 Syawal ini. Indahnya islam, sehinggakan sambutan perayaan sedunia telah dikurniakan oleh Pemilik alam raya ini, mengatasi mana-mana perayaan yang sekadar ciptaan atau firasat manusia yang merupakan satu makhluk daripada banyak-banyak ciptaan-Nya. Sambutan ini pasti lebih bermakna sekiranya kehadiran Ramadhan pada kali ini digunakan sebaik semampu mungkin untuk menghadirkan ketaqwaan atau meningkatkan ketaqwaan sedia ada.

Bagi minda ini yang telah beberapa tahun menyambut AidilFitri sejauh 8500 km di perantauan, sambutan AidilFitri pada kali ini pasti memberikan suatu kelainan. Di tambah pula sambutan kali ini berlaku di kediaman baru di kampung halaman.

Beberapa tahun terdahulu, sambutan AidilFitri diraikan bersama sahabat-handai dan kenalan di perantauan bersama juadah dan kuih-muih kiriman, dan buatan sendiri. Ditunggu penuh debaran pada malam ke-29 Ramadhan di ruang solat universiti sama ada anak bulan telah menampakkan dirinya atau belum (Tiada pengumuman di media massa...). Disambut takbir bersama 'brothers and sisters' daripada merata tempat di seluruh dunia.
Ditunaikan solat sunat AidilFitri dalam meraikan kepelbagaian mazhab ahli Sunnah wal Jama'ah. Didengar khutbah AidilFitri yang cuba difahami lafaznya (Bahasa Arab laa, ya'ni kaza wakaza...). Diiringi dengan musim peperiksaaan (atau ujian), kuliah, atau kelas 'tutorial'. Segala yang dicoretkan kini sudah menjadi kenangan indah dalam menggarapkan islam sebagai suatu cara hidup yang menepati fitrah hidup manusia di seluruh dunia. Paling dikenang apabila ada tenaga pengajar atau teman sekuliah yang menegur minda ini lantaran melihat kelainan cara berpakaian pada hari tersebut. Moga menjadi satu cara mendekatkan insan kepada ALlah.

Kenangan tahun 2007

Wahai diri,
Tahun ini dirasakan begitu berbeza sekali. Saat-saatnya dirasakan seawal 2-3 hari sebelum 1 Syawal menjelma apabila anak perantau mula memenuhi jalan raya menuju ke kampung halaman. Walaupun tekanan bersesak begitu dirasakan di jalanan, hati minda ini berasa begitu unik sekali melihatkan sambutan di tanah air dengan budaya balik kampung bertemu ayahanda bonda, dan saudara-mara untuk sama-sama merayakan AidilFitri. Malah, urusan dan operasi loji di tempat bekerja minda ini berada pada tahap seminimum yang boleh, lantaran operasi loji bergerak 24/7 dan akan menanggung kos yang besar sekiranya diberhentikan walaupun seketika. Sunyi untuk tempoh seminggu........... Mujurlah ada segelintir kakitangan bukan muslim dan beberapa kakitangan yang berkorban (dikorbankan?? harapnya tidak...) untuk memerhatikan urusan dan operasi loji. Terima kasih diucapkan.

Melangkah ke 1 Syawal, dirasakan begitu unik. Solat sunat dan khutbah AidilFitri diadakan di surau berdekatan rumah keluarga dengan kehadiran ahli keluarga yang pulang beraya dan jiran tetangga.
Tautan kekeluargaan dan kejiranan begitu dirasakan. Seusai khutbah dan bersalaman, juadah dihidangkan. Juadahnya seakan sama semasa di perantauan, namun penjamahnya begitu berbeza sekali. Kemesraan dapat dijalinkan dengan jiran dan sanak-saudara yang jarang sekali bersua muka. Malah, kad raya dan panggilan telefon menjadi penghubung dengan adik beradik yang berada di perantauan dan tidak berkesempatan untuk merayakan bersama pada AidilFitri kali ini.

Kehidupan di perantauan selama beberapa tahun berturut-turut dan kesibukan urusan apabila pulang bercuti membuatkan minda ini kaku seketika, bila melihatkan gerombolan sanak-saudara yang entah ke berapa 'pupu' bertandang ke rumah...... Yang dikenali hanya nenek saudara dan sepupu bonda dan ayahanda, sedangkan dua pupu dengan tiga pupu susah dikenali, inikan pula ipar duai mereka. Malah, apabila turut serta berziarah sanak saudara, keadaan menjadi kaku seketika, mencari mana-mana buah bicara yang sesuai untuk memulakan perbualan. Sekiranya dahulu kecil, sekarang sudah besar panjang. Sekiranya dahulu tiada, sekarang ada. Memang macam 'Chipsmore' , cuma versi terbalik.

Peluang kali ini sahajalah yang ada untuk digunakan bagi memulakan dan mengeratkan ikatan persaudaraan kekeluargaan. Maklumlah, bilakah lagi masa sanak saudara pulang ke kampung serentak? Tidak dilupakan juga apabila ada saudara mara yang mengajak minda ini untuk menziarahi perkuburan ahli keluarga yang telah meninggal dunia (Isu ziarah ke kubur atau tidak diletakkan di sisi sebentar) Indah sungguh... Sekiranya dahulu sibuk dengan urusan mendapatkan duit raya, situasi kini berbeza apabila minda ini pula yang sibuk memilih si cilik untuk diberikan duit raya. Terkenang apabila ayahanda terseloroh mencadangkan untuk membuat perkumpulan keluarga besar di bawah payung moyang minda ini di suatu tempat yang dapat memuatkan kesemua sanak saudara.
Sesungguhnya, ketahuilah diri bahawa kesemua coretan ini tidak akan wujud sekiranya ikatan darah kekeluargaan tidak diutamakan di dalam kehidupan masyarakat tanah air diri.

Depan teratak ayahanda bonda pada tahun 2008

Wahai diri sekalian,
Musim-musim cuti sebegini juga cuba digunakan minda ini untuk cuba menghabiskan pembacaan yang dirancang tetapi tertunggak lantaran komitmen lain dan kelemahan minda ini. Subtopik yang dibaca bertajuk, "Rupabangsa Muslim dan 'Aqidahnya", hasil buah pemikiran Sayyid Qutb. Terjemahan sebanyak 25 muka surat ini telah memberikan suatu kesan yang membuatkan minda ini berfikir mengenangkan sambutan AidilFitri pada kali ini. Penulis mempersembahkan beberapa contoh seperti kisah sahabat nabi s.a.w., AbduLlah bin AbduLlah bin Ubai bin Salul dan bapa beliau, Nabi Nuh a.s. dan anak baginda, Nabi Ibrahim a.s. dan bapa beserta kaum keluarga baginda, Nabi Lut a.s dan Nabi Nuh a.s. dan isteri masing-masing, Firaun laknatuLlah dan isterinya, dan peristiwa semasa Guzwah Badr al-Kubro.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kesemua pasangan khusus yang dicoretkan di atas mempunyai pertalian darah atau ikatan perkahwinan yang sah, namun setiap peristiwa yang berlaku di antara mereka semua telah menunjukkan ikatan manakah yang paling utama. Lumrah insan, tiada siapa di antara diri yang ingin berjauhan dengan sanak-saudara atau pasangan sah masing-masing tersayang, apatah lagi memerangi saudara-mara sendiri. Tanyakan diri, sanggupkah diri membunuh ayah diri? Atau menghukum pasangan yang telah diikatkan dengan diri berdasarkan ikatan cinta kasih sayang yang sah? Namun, bagi mereka yang terdahulu, apabila telah jelas tautan manakah yang utama, maka kedudukan mereka telah dipandang mulia oleh ALlah s.w.t. melalui kalamuLlah yang dibaca oleh diri saban masa, sama ada diri mentadabbur bacaan tersebut atau tidak.

Sebagai tambahan, apabila berlakunya Ghuzwah Badr al-Kubro, kumpulan Muhajirin (dari Mekah bersama kumpulan Ansor) telah bertempur dengan puak Quraisy (juga dari Mekah). Siapakah Muhajirin? Siapakah Quraisy? Mungkin diri sukar memahaminya. Bagaimana sekiranya hari ini diri menggambarkan keadaan dengan bangsa Melayu tinggal di perantauan, dan juga bangsa Melayu tinggal di Malaysia. Berbeza sangatkah dua golongan ini? Mungkin ada di antara kedua golongan ini mempunyai tali persaudaraan atau perkahwinan. Pendek kata, dapatkah diri bayangkan sekiranya kedua golongan ini saling bertempur cuba menamatkan riwayat hidup?
Setelah beberapa lama Ghuzwah Badar al-Kubro berlaku, Abu Bakar as-Siddiq r.a. telah menyatakan kepada anak kandungnya yang telah memeluk islam, "Sekiranya aku bertemu denganmu semasa di Badar, aku tidak akan berpaling daripada bersemuka denganmu, tidak sebagaimana apa yang telah engkau lakukan". Lagi, hayatilah kisah Mus'ab bin Umair apabila melihat saudara se'biological'nya yang menjadi tawanan pihak muslimin. Begitulah hakikat yang berlaku semasa Ghuzwah Badar al-Kubro.

Pendek kata, contoh yang pernah berlaku tersebut menampakkan suatu hakikat kefahaman islam yang sebenarnya. Semangat kebangsaan bangsa 'Arab adalah jauh lebih menebal daripada diri. Namun, kefahaman bahawa ikatan 'Aqidah adalah penghubung yang terbaik telah menyebabkan kesemua ikatan lain hanya bertindak sebagai pengokong atau sebaliknya. Inilah hakikat yang menyebabkan minda ini termenung seketika. Lumrah insan, pasti diri meminta agar dijauhkan keadaan sedemikian. Persoalannya kini, setahap manakah kedudukan pemahaman dan pengamalan diri terhadap 'Aqidah yang dipegang diri sejak sekian lama?

"Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan daripadanya ALlah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya ALlah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada ALlah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya ALlah selalu menjaga dan mengawasi kamu."
(An Nisaa';4:1)


"Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman pada ALlah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang ALlah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. ALlah redha terhadap mereka, dan merekapun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. Mereka itulah golongan ALlah. Ketahuilah, bahwa sesungguhnya golongan ALlah (hizbullah) itu adalah golongan yang beruntung.
(Al Mujaadilah;58:22)


Wahai diri,
Akhirul kalam, sesungguhnya golongan yang telah diceritakan di atas tidak akan memiliki keyakinan dan kesanggupan yang tidak terbayangkan melainkan mereka telah melalui suatu proses pembentukan diri yang sempurna. Program pembentukan diri tersebut bukan sahaja menyentuh soal kerohanian sahaja atau mengambil mana-mana bahagian yang dirasakan perlu, tetapi merangkumi seluruh aspek kehidupan. Oleh itu, minda ini menyeru diri untuk mula menyediakan diri dan menyertai suatu program pembentukan diri yang menyeluruh agar diri berjaya menjadi insan yang dipandang mulia di sisi ALlah s.w.t.

WALlahu'alam...

P.s Maaflah sekiranya dirasakan coretan pada kali agak panjang.