Selasa, 30 Disember 2008

Minority Report

Dengan nama ALlah, Maha Pemurah, Maha Penyayang..

Sumber: http://www.globalresearch.ca

Tika ini, pemergian seorang insan di Malaysia sedang mendapat liputan meluas media tempatan. Apa tidaknya, kedudukan yang dipandang tinggi pada pandangan masyarakat tanah air memang secara fitrah akan disanjung. Namun begitu, di sudut lain dunia, lebih 300 insan-insan yang sama akidahnya juga telah sama-sama pergi menghadap ILahi. Namun begitu, pada hakikat yang sebenarnya, hanya Dia Yang Mengetahui siapakah sebenarnya yang lebih baik amalannya. Namun, pada pandangan minda yang serba terhad ini, pergi menemuinya dalam keadaan sedang berjuang menegakkan kalimahNya adalah penutup yang terbaik untuk menamatkan hidup di alam fana' ini.

Pada kali ini, minda ini ingin berkongsi suatu informasi ringkas yang jarang didapati di dalam saluran media perdana tanah air. Baru-baru ini, minda ini berpeluang untuk duduk bersama-sama dengan beberapa orang istimewa yang mendapat bonus kurang perkiraan apabila di akhirat kelak. Mereka ini adalah golongan pekak-bisu. Terdapat suatu fenomena yang mengejutkan minda ini apabila berpeluang mendengar perkongsian daripada mereka.

Sumber: http://www.globalresearch.ca

Wahai diri,
Pernahkah diri terfikir bagaimanakah hidup apabila kehidupan di dunia ini menjadi terhad apabila tidak dapat berkomunikasi dengan sekeliling dalam bentuk pendengaran telinga dan percakapan lidah? Hanya nampak gerakan dan warna-warna sahaja tanpa mengetahui apakah namanya... Dalam masa yang sejenak ini, cuba diri bayangkan apakah yang diri dapat lakukan dalam keadaan sedemikian rupa? Namun, terdapat sesetengah golongan manusia yang memandang rendah terhadap golongan ini lantaran ketidakmampuan mereka. Sememangnya kekurangan ini menghadkan kebolehan mereka berbanding manusia normal, namun ingatlah bahawa setiap yang berlaku adalah dalam kekuasaanNya dan pasti dan pasti ada hikmah disebalik yang diri masih jahil dalam memahaminya.

Dalam keadaan serba kekurangan ini, media perdana hanya menyatakan bahawa golongan ini mengalami kesukaran untuk menyara hidup. Maka pelbagai usaha diri dapat lihat yang telah dilakukan untuk menangani isu ini. Namun, setelah duduk dengan golongan ini (dengan perantaraan penterjemah), minda ini telah disingkap dengan suatu informasi yang boleh dikatakan mengejutkan.

Sebagai insan yang hanya mampu melihat dan mengerdip mata, hanya penglihatan sahaja menjadi pengantara dengan sekeliling. Hatta apabila ingin berkomunikasi, padamnya lampu yang menzahirkan malam gelap gelita, terhentilah segala hubungan. Sungguh terhad sekali. Suatu kekurangan yang ada tetapi pasti mengandungi hikmah yang amat besar.

Sumber: http://www.globalresearch.ca

Wahai diri yang memiliki pancaindera yang lengkap,
Minda ini telah difahamkan bahawa dunia pekak-bisu telah dibelenggu dengan suatu fahaman yang pasti menggegarkan pegangan akidah seorang muslim. Dan setiap diri tahu bahawa gagalnya dalam fahaman akidah bererti melakukan dosa syirik yang pasti menutup segala peluang mendapat keampunanNya walaupun di akhirat kelak.

Entah bagaimana fenomena ini bermula, mungkin lantaran terhadnya komunikasi di antara manusia normal dengan golongan ini menyebabkan hal ini berlaku. Walaupun ilmu yang asas pun boleh disalahfahami. Ya, secara amnya, kebanyakan di antara mereka, apabila ditanya, Siapakah ALlah s.w.t. ? Telah menjadi suatu kebiasaan di kalangan golongan ini untuk memahami ALlah s.w.t. sebagai lelaki. Lantaran itu, Siapakah pula Muhammad s.a.w.? Sambung mereka pula, apabila ALlah s.w.t. ialah lelaki, maka Muhammad s.a.w. pastilah perempuan. Na'uzubillahi minzalik. Maha Suci ALlah daripada apa yang diperkatakan.

Pada penglihatan yang terhad, hubungan ALlah-Muhammad adalah sama seperti apabila diri melihat pada gambar-gambar YDP Agong-Permaisuri Agong, atau gambar perdana menteri dengan isterinya, atau menteri besar dengan isterinya, atau gambar sultan dengan permaisurinya. Pada mereka, jika pergi masjid atau mana-mana tempat upacara adat islam, perkataan ALlah pasti akan dipasangkan bersama dengan Muhammad. Begitulah analogi yang minda ini dapat gambarkan.

Walaupun coretan kali ini sangat mudah atau 'simple', namun bagi minda ini, apabila menyentuh soal prinsip, soal akidah, soal pokok, maka isu ini adalah isu utama yang perlu diperjelaskan. Biarlah coretan ini tidak se-pening menjelaskan teori-teori sains tulen (fizik-kimia-matematik-biologi) dan sains sosial (politik, ekonomi, dll. lagi banyak!!), namun hal ini adalah perkara pertama yang perlu diutamakan. Mungkin sebab itulah telah diberikan jalan kepada diri untuk mudah memahami perkara asas ini tanpa perlu menyusahkan pemikiran akal sehingga memudaratkan.

Sumber: http://www.globalresearch.ca

Wahai diri,
Oleh itu apakah yang perlu diri lakukan? Wakil golongan mereka yang berkongsi ini telah menyatakan betapa pentingnya untuk golongan islam mempelajari bahasa untuk berkomunikasi dengan mereka. Ya, mempelajari 'bahasa isyarat' dalam erti kata berkaitan dengan islam. Indahnya bahasa ini adalah kerana bahasa ini mempunyai suatu 'standard' yang sama diseluruh dunia. Suatu 'perkataan' adalah difahami oleh golongan ini walaupun berada di eropah, atau benua-benua yang lain. Cuma perlunya untuk diri mengetahui bahasa untuk menyampaikan makna islam yang sebenar.

Minda ini mengaku berminat, tetapi dirasakan sekarang bukanlah masa yang minda ini berkemampuan untuk diinfakkan untuk mempelajarinya. Maka terhasillah coretan pada kali ini, dengan harapan ada di antara diri yang gemar untuk mempelajari bahasa-bahasa lain dengan hasrat untuk menegakkan kalimahNya di muka bumi ini. Bukankah 'bahasa isyarat' adalah sebahagian daripada bahasa? Semoga dengan usaha diri yang sedikit ini mendapat perhatian daripada ALlah s.w.t.

Sumber: http://www.globalresearch.ca

Wahai diri yang boleh membaca,
Sedar atau tidak, pada kali ini, sambutan tahun baru di antara kalendar islam dan kalendar masehi berlaku hampir serentak. Kepada golongan yang bekerja, tarikh berdekatan ini berlaku merupakan suatu peluang untuk mendapat sedikit ruang untuk melepaskan lelah daripada dunia karier yang menyesakkan. Dan, tarikh tahun baru ini dijadikan suatu 'pit-stop' untuk memeriksa diri dan meletakkan matlamat dalam masa setahun lagi. Biasanya dipanggil 'azam tahun baru'.

Bagi minda ini, biarlah dengan bertembungnya tarikh-tarikh ulangtahun peristiwa hijrah dan tahun baru dijadikan sebagai sumber inspirasi 'kombo' dalam menghadapi masa depan yang pasti akan lebih mencabar. Tiada matlamat yang lebih hebat atau agung daripada matlamat untuk menambahkan pengorbanan demi menegakkan kembali kebenaran islam ke tempatnya. Platformnya?... Tidak kiralah, sama ada melalui pelajaran, karier mahupun kehidupan seharian dan lain-lain lagi. Minda ini menganjurkan diri untuk merenung coretan melalui LINK INI.

Sumber: Kerteh (Paka) 2007

Akhirul kalam, minda ini mengucapkan selamat menyambut tahun baru kepada semua yang membaca. Semoga detik-detik masa yang dilalui menjadi lebih berharga sebagai memenuhi kriteria sebagai seorang yang mengaku diri sebagai muslim.

"Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: "Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah bersama kita." Maka Allah menurunkan keterangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Al-Quran menjadikan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana" (At-Taubah;9:40)

Wallahu'alam

p/s Coretan kali ini tidak disertakan dengan sebarang bunyi sebagai penghormatan terhadap golongan istimewa ciptaan Allah yang telah dikongsikan.

Sabtu, 6 Disember 2008

Roda Kehidupan

Dengan nama Allah, Maha Pemurah Maha Penyayang...

Labbaik Allah humma labbaik
Labbaik la sharika laka labbaik
Innal hamda
Wan-ni'mata
Laka walmulk
Laa sharika lak.

O my Lord, here I am at Your service, here I am.
There is no partner with You,
here I am.
Truly the praise
and the provisions are Yours,
and so is the dominion and sovereignty.
There is no partner with You.
[SOURCE]

Bandar kapal layar ini kian sepi apabila kebanyakan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi di sini pulang ke daerah masing-masing untuk percutian musim panas sebelum kembali semula pada awal Mac tahun depan. Hanya pekerja-pekerja kontraktor yang memecahkan kesunyian universiti dengan aktiviti korek mengorek Symonds St yang dibuka hanya tiga lorong berbanding saiz asal empat lorong. Mungkin ada yang akan datang awal pada bulan hadapan untuk memulakan sesi pengajian musim panas (summer school). Tempoh masa yang panjang ini akan menjadi suatu yang amat bermanfaat buat diri yang tahu menilainya atau menjadi suatu yang amat merugikan bahkan boleh menjadi suatu 'bala' buat diri yang tenggelam dalam tipu daya ujian kesabaran dalam kelapangan. Bagi minda ini, masa-masa akhir di bumi yang banyak mengajar erti hidup ini perlu digunakan sebaik mungkin, demi mengharapkan agar saat-saat ini menjadi saksi 'last minute' sebelum meninggalkannya mungkin buat selama-lamanya.

Pada kali ini, minda ini ingin berkongsi dengan diri tentang suatu perkara yang masih terngiang-ngiang di dalam minda ini, lantaran mengenangkan saat-saat akhir dalam mengharungi kehidupan sebagai seorang pelajar ijazah sarjana muda. Juga saat-saat akhir sebagai seorang yang telah melalui tempoh persekolahan formal selama 18 tahun berturut-turut.

Pernah suatu ketika, minda ini diluahkan, "Hidup ni, macam suatu putaran kehidupan. Kalau tengok betul-betul, hidup ni, sejak kecil mak ayah asuh sampai masuk sekolah. Lepas tu, belajar-belajar sampai la dapat 'degree'. Lepas tu cari kerja dan dapatkan pendapatan untuk stabilkan ekonomi sendiri. Dalam masa yang sama, dapat kereta, rumah, kahwin, dan akhirnya dapat anak. Lepas tu, dah tua, anak pun besar, bersaralah diri daripada kerja yang diceburi. Dan akhirnya duduk di atas kerusi malas (yang goyang-goyang tu), melihat cucu-cucu bermain keriangan. Begitulah putaran roda kehidupan manusia, bukankah begitu wahai ****?" bersungguh benar luahannya. (olahan semula) "Ye tak ye" Benak minda ini mengiyakan... (Mungkin diri boleh 'fancy'kan lagi cerita di atas dengan menambahkan lagi 'perisa'nya.)

Setelah beberapa ketika masa berlalu, kemudian minda ini berfikir kembali, "Sekiranya begitulah kehidupan diri, apakah yang dapat membezakan diri daripada mereka yang kufur dengan Allah?" Dalam erti kata lain, putaran kehidupan diri seolah-olah sama sahaja dengan semua manusia yang hidup di dunia ini. Hidup dengan melalui fasa\ demi fasa yang tidak jauh bezanya terutamanya dalam sudut pemikiran dan matlamat hidup. Mujurlah ada beberapa kewajipan harian, mingguan, dan tahunan yang sekurang-kurangnya membezakan hidup seorang yang ingin bergelar Muslim.

Maka setelah difikir-fikirkan, suka minda ini ingin menyeru diri untuk memikirkan kembali matlamat asal dalam setiap amalan dalam kehidupan diri. Ke manakah setiap perbuatan yang diri lakukan itu akan membawa diri? Adakah sekadar memenuhi kehendak diri semata-mata atau sebaliknya? Memang tidak dapat dinafikan bahawa ideologi yang terkandung di dalam islam pasti memenuhi keperluan (bukan kehendak eyh) insan, namun sebarang 'isme-isme' (sosial'isme', anim'isme' dll.) yang bertentangan dengan islam pasti mengundang padah bukan setakat kepada diri, malah kepada insan lain.

Oleh itu, suka minda ini berkongsi dua potong kalam Allah yang mafhumnya:-

"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak daripada jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang terna,k dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)."
(Ali-Imran;3:14)

Katakanlah: "jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad pada jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.
(At-Taubah;9:24)

Oleh itu, sebagai langkah awal, gunakanlah masa percutian musim panas ini untuk mendalami islam dengan sebaik mungkin. Setitis perasaan bahawa diri sudah memiliki pengetahuan islam yang cukup dan memadai dalam diri sesungguhnya mampu mengundang bahaya kepada diri. Hadirkanlah diri dalam majlis-majlis ilmu, bacalah bahan bacaan berilmiah yang bakal menjadi bekal kepada amal diri.
Dan bukanlah bahan bacaan yang tidak pasti sejauh mana faedahnya kepada diri seperti komik, manga, majalah gosip, dan yang sewaktu dengannya. (Boleh fikirkan sendiri kot)

Akhirul kalam, suka minda ini mengucapkan selamat menyambut Eidul Adha 1429H kepada semua yang mengenali dan membaca coretan pada kali ini. Semoga kisah pengorbanan yang terulung 'itu' menjadi garis panduan buat diri. Sebagai penutup kepada edisi coretan di bumi kapal layar ini, minda ini ingin memohon maaf atas segala salah silap, dan halalkan makan minum (dll.) sepanjang tempoh bermukim di sini. Semoga segala yang baik dijadikan pengajaran, diikuti untuk hasil yang lebih baik dan yang buruk dijadikan sempadan untuk dijauhkan. Tidak dapat dinyatakan individu-individu secara khusus di dalam coretan ini lantaran minda ini hanyalah seorang insan biasa dan terdedah kepada terlupa kepada semua yang pernah membantu dalam putaran roda kehidupan di bumi kapal layar ini, lalu mengguris seribu rasa dalam jiwa diri. Cheers mate.



Sumber: Pelbagai


Bukanlah ingin dinyatakan perasaan sedih kerana bakal berpisah, namun sebagai seorang yang percaya dengan hari kemudian, jika tidak berjumpa di tanah air nanti, maka insya ALlah bersama bertemu di syurga yang abadi. Sweet as. C U around.

Wallahu'alam