Rabu, 18 Mac 2009

Warna putih dan spektrum warna

Dengan nama ALlah, Maha Pemurah, Maha Penyayang,

Sedar atau tidak, sudah hampir sebulan minda ini memulakan hidup sebagai individu yang berkarier. Dan dalam tempoh itu, pelbagai pengalaman sudah ditempa. Proses penyesuaian diri perlulah berlaku dengan cepat agar khidmat dapat diberikan dengan sebaik mungkin. Lebih-lebih lagi tanggungjawab yang bakal dipikul adalah untuk menjaga kilang yang agak berusia dan beroperasi 24/7 dengan kapasiti yang besar.

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah peristiwa semasa pergi-balik kerja. Suatu pengalaman yang boleh dijadikan analisis dan pengajaran yang bermakna. Sudah menjadi perkara biasa apabila bekerja di tempat yang mana pengangkutan awam tidak menjadi 'medium' pergerakan utama, maka pengangkutan peribadi akan menjadi 'medium' utama untuk diharapkan.

Bagi minda ini yang baru memulakan karier dengan keadaan kewangan yang masih baru mencari tapak kestabilan, maka kenderaan sekadar boleh membawa pergi-balik kerja sudah memadai. Segala puji kepada Yang Maha Memberi. Maka secara tidak langsung, minda ini akan terdedah kepada masalah yang bakal ditimbulkan oleh kenderaan, lebih-lebih lagi sekiranya kenderaan tersebut juga agak berusia.

Sumber: Maybach Exelero

Dipendekkan coretan, minda ini mengalami beberapa keadaan yang mana kenderaan yang dinaiki menghadapi masalah. Lantaran minda ini yang masih mentah dengan kenderaan yang digunakan, maka terpaksalah kenderaan tersebut dibawa ke bengkel. Setelah dijelaskan simptom-simptom atau sindrom yang dialami, maka encik mekanik (si pomen) pun mula memeriksa kenderaan minda ini. Berbekalkan pengalaman yang dimiliki, kurang lima minit, kenderaan minda ini telah pulih seperti biasa tanpa membuka/menukar/menambah/membuang komponen kenderaan, hasil usaha dan pemikiran si pomen yang tampak lebih muda tersebut.

Ya, diri tidak perlu terkejut lantaran pengalaman setiap hari (kecuali hari cuti) bergelumang dengan kenderaan membuatkan si pomen begitu kompeten dalam kerja yang dilakukan. Bagi minda ini bagaikan agak terpaku, bukan kerana hasilnya yang memuaskan hati, tetapi lantaran ilmu yang dipelajari selama tempoh lebih tiga tahun semasa di universiti tidak menyentuh langsung tentang kaedah membaiki masalah kenderaan yang dihadapi. Mahu atau tidak, si pomen muda itu jualah tempat mengadu masalah yang dihadapi oleh kenderaan. Tampak lebih muda daripada minda ini.

Pada masa yang sama, sudah menjadi resam hidup, erti menyesuaikan diri di tempat baru bukan sahaja berlaku dalam ruang lingkup karier sahaja, malah dengan jiran dan masyarakat di sekitar. Malah, hal ini merupakan suatu tuntutan untuk menjadi seorang muslim melalui 'celupan' yang sebenar. Bukan setakat hidup di dalam 'silo' atau dunia yang dirasakan sesuai untuk kepentingan peribadi diri semata sahaja.

Jika di zaman pengajian dahulu, minda ini pada kebanyakan masa di kelilingi dengan golongan intelek, maka kini dunia dilihat semakin meluas. Daripada pakcik yang selalu tampak duduk di kedai makan sehinggalah kepada muda-mudi yang 'bersantai' di pantai. Daripada makcik-makcik yang selalu pergi surau sehinggalah kepada pakcik-pakcik yang begitu 'obses' dengan aktiviti kegemaran masing-masing. Daripada keluarga yang hidup di rumah kayu yang kecil jika dengan jumlah anak-pinak yang ramai, sehinggalah kepada golongan yang memiliki rumah besar yang kosong. Daripada si nelayan yang ke laut sehinggalah kepada kanak-kanak setahun jagung yang berkeliaran pada malam hari.

Sumber: Utusan Melayu

Wahai diri... Inilah REALITI.
Realiti masyarakat yang disulam melalui proses yang panjang dan kompleks, jauh lebih mendalam daripada isu bahasa manakah yang paling sesuai untuk pendidikan minda golongan masa depan negara. Di sini, minda ini menyuarakan pandangan bukan untuk memperkecilkan mana-mana isu. Bagi minda ini, semua isu adalah penting selagi mana isu tersebut berkaitan dengan kaedah pembangunan tamadun insan terutamanya umat islam.
Ditekankan di sini bahawa perkongsian ini berlaku dalam ruang lingkup fizikal (spatial dimension) tempat permukiman minda ini berkarier pada masa ini.

Oleh itu, dalam menyatukan kedua-dua subjek yang dikongsikan ini, minda ini telah mendapat beberapa kesimpulan. Bagi memendekkan coretan ini, kesimpulan utama yang ingin dikongsikan bersama diri adalah dalam warna putih, tersimpan seluruh spektum warna yang mewarnakan alam ini. Memang terbukti secara saintifik bahawa kesemua warna yang wujud (kecuali warna putih la eyh), jika disatukan akan memberikan warna putih. Begitulah sebaliknya.

Wahai diri yang berfikir,
Islam itu sangat luas. Membatasi segala batasan yang kadang-kadang diri tidak sedar memberikan pemahaman yang terhad terhadap islam yang dianuti Begitu jugalah kesan atau peranan yang boleh dimainkan oleh setiap diri yang mengaku sebagai pengamal islam (sepenuh masa) atau muslim. Contoh yang mudah adalah ada diri yang masih mendefinisikan ciri-ciri pendakwah islam adalah insan yang pandai berceramah tentang islam semata. Bagi minda ini, ciri paling utama diri untuk digelar pendakwah (da'ie) adalah mudah, iaitu sebaik sahaja diri mengaku sebagai seorang muslim dan beriman dengan penuh iltizam tentang rukun-rukun iman.

Seorang si pomen sepatutnya adalah seorang da'ie. Seorang pakcik atau makcik sepatutnya menjadi da'ie. Seorang pembuat roti canai atau pemandu sepatutnya menjadi da'ie. Dan sepatutnya mana-mana diri yang meyakini kalimah syahadah sepatutnya menjadi seorang da'ie. Inikan pula seorang eksekutif yang mendapat kelulusan universiti luar negara.

Sumber: verslalumiere.com

Aduhai diri,
Adakah apabila sudah pandai berceramah tentang islam semata baru layak untuk digelar sebagai da'ie? Sungguh tidak adil kerana minda ini begitu meyakini tidak semua diri dikurniakan dengan kepetahan berkata-kata di hadapan khalayak ramai. Namun, jika berkemampuan, kenapa tidak disalurkan kepada bidang tersebut daripada digunakan untuk menimbulkan fitnah kekeliruan di dalam masyarakat?

Mungkin ada diri yang mengaku tidak layak untuk menjadi seorang da'ie. Namun, bagi minda ini, seorang si pomen adalah jauh lebih berpotensi dalam mendekati 'mat rempit' dalam menyampaikan maklumat tentang islam yang sebenar berbanding tuan penceramah di masjid atau di surau. Mungkin seorang doktor adalah jauh lebih berpengaruh menasihati sesetengah golongan yang sukar didekati oleh tuan penceramah. Juga seorang guru mungkin lebih berpengaruh dalam memberikan kefahaman tentang islam kepada sesetengah golongan yang kurang menyenangi tuan penceramah. Dan pelbagai lagi golongan daripada pelbagai latarbelakang yang hanya akan memanjangkan coretan ini. Tuan penceramah mungkin dihormati lantaran budaya Melayu-islam yang begitu menghormati orang 'alim dalam islam, namun adakah ini matlamat akhir dalam menyampaikan maklumat islam berbanding pemahaman tentang islam itu sendiri? Mungkin juga dengan penghormatan itu membawa kepada pemahaman tentang islam. Terserahlah kepada diri untuk hanya ingin berdebat tidak berkesudahan semata atau mula bergerak melakukan sesuatu yang REALITI sekarang.

Pendek kata, setiap lapisan masyarakat yang mengaku dan meyakini kalimah syahadah sepatutnya menyampaikan maklumat islam yang sebenar dalam cara atau kaedah atau ruang lingkup yang paling dikuasainya. Tidak perlu menuntut ilmu agama islam sehingga sijil atau ijazah berjela-jela, barulah diri hendak mula menjadi da'ie. Namun tidak dinafikan bahawa diri yang mendalami ilmu agama islam ke peringkat yang tinggi mendapat perhatian yang khusus dalam islam dan menjadi tulang belakang kepada diri, keluarga, masyarakat, negara, rantau, benua, dan dunia.

Katakanlah: "Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik."
(Yusuf; 12: 108)

"Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot. Dan sungguh (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat, kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah; dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia. (al-Baqarah; 2: 143)

Akhirul kalam, sebagai langkah permulaan, marilah bersama-sama memahami islam yang sebenar dalam ruang lingkupnya yang menyeluruh, melalui pembinaan diri yang disusun, tidak kira sama ada diri merupakan seorang lulusan kejuruteraan, perakaunan, mahupun tidak mencapai tahap kelulusan institusi pengajian tinggi. Dan pada masa yang sama, bersama-sama menerapkannya dalam ruang lingkup hidup masing-masing dalam menjalankan tugas sebagai da'ie menyampaikan maklumat islam yang sebenar kepada semua. Marilah diri bersama-sama satukan warna hidup diri yang pelbagai demi mendaulatkan warna putih yang bakal memberikan kesejahteraan kepada insan keseluruhannya. Wahai diri, sesungguhnya, islam memerlukan diri daripada pelbagai latarbelakang untuk menegakkannya di muka bumi ini. Buktikanlah diri bahawa diri adalah sebahagian daripada da'ie!!

Wallahu'alam.

Sumber: www.cs.utk.edu

0 comments: