Jumaat, 6 Mac 2009

Make the most of now


Dengan nama ALlah, Maha Pemurah, Maha Penyayang

Hari ini adalah hari minggu ke-2 semenjak minda ini mula masuk ke kilang. Walaupun masih bertatih mengenali kilang melalui manual-manual yang disediakan, usaha perlu diteruskan agar mampu untuk 'berlari' pada kemudian hari.

Pada masa yang sama, minda ini menyedari bahawa semester pertama bagi tahun 2009 di universiti minda ini menamatkan pengajian baru sahaja bermula. Maka secara tidak langsung minda ini terkenang kisah lama selama lebih tiga tahun permukiman di bumi orang. Daripada dileteri oleh tutor sehinggalah kepada pengalaman pertama memasak. Daripada pengalaman tidak tidur malam kerana menyiapkan kerja universiti dan
menyediakan pembentangan untuk sesi perkongsian sehinggalah ber'adventure'an bersama meneroka keindahan alam ciptaan Yang Maha Pencipta.

Sumber: CollegeCandy.com

Pelbagai lagi pengalaman yang sebenarnya sedikit jika dibandingkan dengan diri yang lebih berusia daripada minda ini. Mungkin juga lebih sedikit berbanding diri yang lebih muda. Namun bagi minda ini, segala pengalaman yang diterima hendaklah diambil 'lesson-learnt' untuk kehidupan yang lebih utama.

Dalam coretan yang ringkas ini, minda ini mendapat ilham untuk berkongsi tentang satu kenangan semasa menonton iklan televisyen yang digunakan oleh vodafone NZ untuk tujuan komersialnya. Sama-sama diri menontonnya~~


Sumber: Vodafone NZ

Yup.... 'Make the most of now'....

Teringat minda ini semasa mengikuti suatu kursus. Fasilitator dengan yakin menyatakan bahawa dalam kehidupan, diri hanya dikurniakan dengan tiga hari. Hari semalam, (Yesterday) yang telah menjadi sejarah (History), Hari esok, (Tomorrow) yang penuh ketidakpastian (Mystery), dan juga hari ini (Today), yang dikenali sebagai hadiah (Present). Maka pergunakanlah hari ini dengan sepenuhnya sebagai suatu anugerah yang tidak terhingga seperti di dalam iklan Vodafone NZ tersebut.

Begitulah juga dalam kehidupan. Ada sesetengah diri yang masih belajar sepenuh masa (sarjana muda dan lebih muda) beranggapan bahawa kehidupan berkarier adalah kehidupan yang penuh ideal. Gaji dapat. Tidak perlu buat 'assignment', projek, dan pelbagai lagi. Maka akan ada yang beranggapan bahawa dengan kesibukan belajar, maka sebarang aktiviti atau program tersusun yang cuba untuk meningkat pemahaman dalam islam seterusnya memancarkan iman melalui perbuatan perlulah ditangguhkan sehingga tamat belajar dan dimulakan apabila diri mula melibatkan diri dalam dunia berkarier.

Sumber: abcnews.com

Wahai diri,
Hari esok adalah penuh dengan ketidakpastian (Mystery). Maka minda ini ingin menyeru kepada diri terutamanya yang masih di dalam dunia 'student' untuk dengan sedaya upaya cuba memanfaatkan sebarang aktiviti kerohanian dan kefahaman islam yang membentuk diri untuk menjadi muslim yang sejati sebelum tiba pada suatu masa diri TERhanyut di dalam arus mengejar kehidupan dunia berkarier semata. Bagi minda ini, dunia 'student' adalah dunia yang paling ideal apabila dibanding dengan fasa kehidupan lain yang penuh dugaan untuk dimanfaatkan peluang untuk meningkatkan kemampuan diri dalam pemahaman terhadap islam untuk dipancarkan dalam penghayatan kehidupan menurut 'acuan ALlah' dalam fasa-fasa kehidupan seterusnya.

Dari Ibn 'Umar r.a.huma katanya, RasuluLlah s.a.w. memegang bahuku lalu baginda bersabda, "Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olahnya engkau orang berdagang, atau orang yang sedang melalui di jalan (pengembara)." Dan adalah Ibn 'Umar r.a.huma berkata, "Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi; dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu petang. Dan gunakanlah daripada sihat engkau sebelum masa sakit engkau dan daripada kehidupan engkau sebelum masa mati engkau."
(Sahih Bukhari)

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik."

(al-Hasyr; 59: 18-19)

Pesanan terutama kepada minda ini dan juga diri,
'Live the current life to the fullest'.
Berusahalah selagi diberi peluang pada hari ini.

Wallahu'alam

0 comments: