Ahad, 2 November 2008

Ikut ske ati la~~


Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Maha Penyayang,

Sedar atau tidak, tempoh pembelajaran bagi tahun 2008, Universiti nombor satu New Zealand di Bandar Kapal Layar ini akan berakhir dalam kurang daripada 3 minggu lagi. Ruang lingkup masa setahun termasuk 24 minggu tempoh kuliah, lebih kurang 5 hingga 6 minggu tempoh peperiksaan dan selebihnya adalah cuti bergerak dengan begitu pantas sekali. Sebagai pengenalan coretan pada kali ini, minda ini ingin membawa diri untuk berfikir sejenak. Sejauh manakah diri telah berubah dalam tempoh yang singkat ini? Atau lebih khusus lagi, perubahan positif yang meningkatkan peribadi dan kelebihan diri kepada kehidupan yang abadi. Semoga dengan tempoh penilaian diri dalam beberapa saat ini boleh menjadi garis panduan kepada diri untuk meletakkan sasaran realistik yang lebih tepat pada masa depan untuk berubah kepada yang lebih bagus.

Dalam kesempatan yang singkat ini, minda ini ingin berkongsi suatu pandangan yang jarang disedari oleh diri tetapi telah menjadi intipati dalam hampir setiap keputusan yang dibuat oleh diri saban waktu. Lebih tepat lagi coretan kali ini tercetus di kala dua pilihan raya umum berlangsung pada minggu ini iaitu di US dan juga di New Zealand sendiri. Suatu keadaan di mana pengundi perlu berfikir tentang masa depan dan memilih mana-mana individu atau parti yang dirasakan paling layak untuk disandarkan masa depan pengundi.

Sumber: ElectionNZ

Mungkin diri menyedari bahawa saban hari, keputusan yang dibuat disandarkan kepada kepercayaan kepada sesuatu. Analoginya mudah, dalam membuat keputusan untuk mengundi (walaupun secara realitinya tidak 'applicable' untuk diri sekarang), diri akan memilih seseorang atau individu yang memberikan janji yang paling meyakinkan atau realistik. Pandangan mata diri akan memilih seseorang yang memiliki imej keterampilan yang mantap dan boleh dijadikan rujukan atau sandaran.

Begitu juga dalam kehidupan seharian, diri akan secara tidak langsung akan mengenakan gaya hidup bersandarkan individu atau kumpulan yang dikenali. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ini adalah suatu fitrah insan. Pendek kata, jika diri meminati seseorang kerana kebolehannya di dalam sesuatu bidang yang kena dengan diri, maka diri akan begitu meminatinya, cuba mengenalinya, ingat tarikh lahirnya, cuba mengikuti setiap perkembangannya, keluarganya dan pelbagai lagi (the list goes on...)

Sumber: Wikipedia

Dalam menjelaskan hal ini, sudah pasti diri akan mencontohi seseorang yang diri begitu mengenalinya. Adalah menjadi suatu yang pelik jika diri yang berada di tanah air dan mengikuti rapat perkembangan bola sepak Liga Perdana Inggeris tiba-tiba meminati dan mencontohi Richie McCaw. Pendek kata, pepatah ada mengatakan, tidak kenal maka tidak cinta.

Namun bagi sesetengah daripada diri, akan sampai suatu ketika diri akan mula bosan dengan imej yang ditampilkan oleh individu atau sesiapa yang menjadi rujukan jika tidak kena dengan kehendak atau citarasa diri. Akan sampai suatu masa diri akan mula bosan dengan penampilannya dan mencari yang lain. Malah lebih mendalam lagi kesannya jika diri menyimpan perasaan benci dan menyampah dengan bekas individu yang dihormati. Ini juga adalah suatu realiti.....

Namun akan ada juga diri yang akan sentiasa setia dengan yang diminati, tidak kira apa sahaja imej atau kelakuan yang ditampilkan. Sanggup diikuti. Semua yang dikatakan oleh yang diminati diri itu benar dan bagus walaupun tidak kena dengan realiti diri. Keadaan ini jarang berlaku, namun, keadaan ini tetap berlaku, Dalam keadaan ini, minda ini terfikir, ke manakah perginya kewarasan akal dan minda yang berada dalam diri? Jika individu tersebut membawa diri kepada kebenaran, mujurlah. Jika tidak, sungguh malang sekali buat diri apabile mengikuti yang diminati secara membabi-buta (taklid) dan jalan yang dibawa adalah ke arah kesesatan, mabuk dalam nafsu kehidupan dunia.

Dalam menjelaskan hakikat ini, maka minda ini ingin berkongsi. Siapakah yang sepatutnya menjadi individu kegemaran dan yang diminati diri? Jawapan tipikal ialah Rasulullah s.a.w. Namun akan ada suara-suara yang mengatakan adalah mustahil untuk mengikuti seorang insan yang ma'sum (Walaupun ini hanyalah alasan dan boleh dipersoalkan semula, namun bukanlah pada coretan kali ini). Maka minda ini mencadangkan untuk diri merujuk kembali kepada individu-individu biasa yang terdedah melakukan kesilapan di kalangan baginda s.a.w. Rujuklah mereka... Kenalilah mereka...

Sumber: Blog Orang

Memang benar, jika asyik kenal Lewis Hamilton, Kobe Bryant, Barack Obama, Christina Aguilera, Avril Lavigne, Norman Hakim, Ali Williams, atau Cristiano Ronaldo dan ramai lagi (diri boleh senaraikan sendiri), maka diri akan bukan sahaja mengenali mereka, bahkan akan cuba mengikuti gaya hidup mereka. Dan jika hidup diri sudah dipenuhi dengan mereka ini, bagaimana diri hendak mengenali insan-insan yang pasti dan pasti menjamin masa depan diri? Masa depan hidup yang abadi...

Oleh itu, berikut diketengahkan beberapa figure-figure yang boleh diri ambil sebagai rujukan (SUMBER) :-
  1. Sepuluh orang sahabat yang dijamin syurga seperti Abu Bakar r.a., Umar al-Khattab r.a. dan lain-lain (Rujuk playlist imeem di atas)
  2. Tiga ratus tiga belas orang yang menyertai pertempuran di Badar. (Sedarkah diri tidak akan tahu jumlah setepat 313 orang jika nama-nama mereka tidak direkodkan)
  3. Ahli anggota yang bersumpah dalam peristiwa Bi'ah Ridhwan seramai lebih kurang 1500 orang untuk menuntut bela atas Uthman ibn Affan r.a. (Rujuk al-Fath;48:18)
  4. Isteri-isteri baginda s.a.w. yang diberi gelaran 'ibu-ibu orang-orang beriman' (Ummahatul Mu'minin)
Dalam menjelaskan maklumat di atas, cubalah diri kenali mereka kerana mereka juga insan biasa. Carilah mana-mana individu yang menepati citarasa diri atau realiti keadaan diri kerana mereka juga terdiri daripada pelbagai keadaan ciri-ciri tersendiri, kaya, muda, miskin, 'businessperson', golongan bangsawan (anak-beranak Dato' dalam kes diri), golongan rakyat biasa, dan pelbagai lagi. Kenali bagaimana mereka menjalani kehidupan dan contohilah mereka lantaran mereka adalah golongan yang Allah s.w.t. telah redha dengan mereka semasa mereka hidup berjalan di muka bumi ini. Pendek kata dalam dunia maya yang tidak terbatas ini, segala maklumat hanyalah di hujung jari diri.

Perubahan menuntut komitmen yang tidak berbelah bahagi lagi-lagi apabila sudah bertahun-tahun diri meminati seorang artis atau personaliti sukan/politik. Namun, percayalah sesuatu yang berharga tidak datang dengan harga yang murah. Sunnah alam. Hendakkan gaji atau pendapatan yang lumayan, terpaksa bertahun-tahun cuba dan terus mencuba walaupun penat dan mungkin terpaksa menghadapi kegagalan dalam melangkah. Percayalah hasil perubahan diri adalah lebih bernilai dan berharga berbanding menunggu orang lain untuk berubah atau menantikan orang lain untuk membuat perubahan. Rujuklah individu-individu yang sepatutnya sebagai 'idola' diri.

Sumber: Obama08

Akhirul kalam berubahlah ke arah kebaikan lantaran perubahan ke arah tersebut adalah untuk kebaikan diri, dan Allah s.w.t. tidak memerlukan kepada perubahan diri, bahkan dirilah yang memerlukannya. Jika nak jugak ikut ske ati, ingatlah bahawa minda ini tidak bertanggungjawab atas apa yang ada di dalam hati diri....

".....Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri...." (ar-Ra'd;13:11)

Wallahu'alam

0 comments: