Sabtu, 18 Oktober 2008

Matanya kelabu asap...


Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Maha Penyayang...
Sedar tidak sedar, minggu ini adalah minggu terakhir untuk para pelajar yang mengikuti Semester kedua tahun 2008 di Universiti Auckland. Cepat sungguh masa berlalu. Ada seorang sahabat tahun pertama minda ini berkongsi, "Macam baru semalam je sampai Auckland". Manakala pada hujung minggu ini akan bermula 'study leave' sebelum kebanyakan pelajar di universiti ini akan 'berjihad' (terms and conditions apply) mengharungi peperiksaan. 'All the best' diucapkan. Semoga 'perjuangan' pelajar-pelajar ini (termasuk minda ini) dikira sebagai sebahagian daripada jalan-jalan atau sebab-sebab untuk ke syurga atau lebih utama lagi untuk mendapat keredhaanNya. Ganbatte!!

Sumber: Dakwah.info

Dalam kesempatan kali ini, minda ini ingin berkongsi dengan diri tentang suatu perkara yang diri selalu leka dalam menunaikannya. Hal ini terdetik apabila minda ini melihat insan kebanyakannya begitu berusaha dan berjuang bersunggu-sungguh bermatian dalam mendapatkan apa yang hendak dicapai. Fenomena ini mampu menular ke segenap lapisan insan tidak kira sama ada yang hidup melarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang sehinggalah kepada seorang pemerintah atau ketua yang kebanyakan masanya perlu digunakan untuk membuat keputusan dalam sesuatu tindakan.

Bagi memudahkan pemahaman kepada diri yang masih menuntut, dibentangkan analogi kehidupan insan bergelar pelajar sepenuh masa. Memang tidak dinafikan bahawa dalam ajaran islam diperintahkan untuk menuntut ilmu lebih-lebih lagi ilmu fardhu 'ain. Namun sejauh manakah di antara diri pada setiap kali bermulanya kuliah, tutorial, atau 'lab', memulakannya dengan niat untuk menegakkan islam dalam diri? Secara umumnya, kebanyakan diri akan memulakan hal-hal tersebut supaya mendapat ilmu. Kenapa hendakkan ilmu? Sebab akan menghadapi peperiksaan... Kenapa peperiksaan? Sebab hendakkan keputusan cemerlang... Kenapa keputusan cemerlang? Cukup setakat ini dahulu..... Cuba diri fikirkan, kenapa diri inginkan keputusan yang cemerlang? Adakah hendakkan penghargaan anugerah akademik semata lalu menjadi kebanggaan dan reputasi milik diri sepenuhnya? Atau lebih jauh lagi untuk mendapat keuntungan material yang banyak pada masa depan semata seperti yang selalu diwar-warkan dalam media massa perdana? Wahai diri, bukankah hal ini sama sahaja seperti orang lain yang tidak mahu tunduk kepada islam sepenuhnya? Atau atas sebab lain? Bersama diri fikirkan.....

Hidup di dalam kekaburan dunia dengan sebab-sebab yang kurang jelas menyebabkan kebanyakan diri tidak dapat melihat dengan jelas tentang sebab-sebab perlakuan diri yang berlaku sepanjang 24 jam sehari. Natijahnya, kebanyakan diri hanya akan bertindak menurut pengaruh persekitaran. Bagaikan lalang. Bahkan lebih teruk lagi lantaran liang-liuk lalang adalah kerana patuhnya si lalang dengan sunnah alam untuk mengikut arah angin. Mengapakah begitu? Sebagai insan, diri dikurniakan hati, penglihatan, dan pendengaran untuk bertindak mengikut kebebasan diri berdasarkan garis-garis hidup yang sempurna. [Rujuk surah 7: ayat 179] Pendek kata, apabila individu di sekitar diri meminati sesuatu perkara (sukan, teknologi, politik, ekonomi, dll.), maka diri akan mengikutinya dengan sedalam-dalamnya, dikaji teori konspirasi, dipelajari dan diusahakan sepenuh hati, biar puas... Inikah cara yang sepatutnya?

Maka minda ini ingin berkongsi sebab mengapa hal ini berlaku... Sekadar apa yang berlegar-legar dalam minda... Hal ini berlaku kerana diri tiada niat yang jelas dalam setiap perbuatan yang dilakukan. Berikut disertakan video tentang perihal niat sebagai kunci setiap amalan:-

video
Sumber: Youtube

Minda ini tidak menafikan yang majoriti diri sudah biasa mendengar atau pernah terdengar tentang hadis ini. Pendek kata, biarlah kesungguhan perbuatan diri itu tertegak di atas asas yang teguh. Namun mengapa diri masih kabur atau terlalai dalam mengamalkan hadis ini sebagai seorang muslim. Maka adalah tepat sekali apabila Imam Nawawi membentangkan hadis kedua di dalam kompilasi hadisnya sebagai hadis membetulkan fahaman islam, iman, dan ihsan sebagai asas yang penting dalam pembentukan niat dalam diri:-

video
Sumber: Youtube

Sesungguhnya minda ini begitu bersetuju sekali dengan apa yang telah dipilih dalam penyusunan 42 hadis-hadis terpilih daripada beribu-ribu hadis yang datang daripada kata-kata Rasulullah s.a.w.

Wahai diri,
Setelah jelas dengan nilai-nilai yang dibawa oleh hadis-hadis di atas, maka barulah minda ini ingin mengatakan pentingnya untuk diri menuntut dan mencari ilmu pengetahuan berdasarkan kefahaman dan keikhlasan yang sahih. Oleh itu, apabila jelas perkara ini, diri yang bergelar muslim sepatutnya sedar tanpa ragu-ragu, mengapa diri perlu menutup aurat (tiada istilah tutup aurat tidak sempurna), atau mengapa diri perlu begitu menjaga amal-amal fardhu.. dan juga mengapa diri perlu berkejar melakukan amalan sunat... Selain itu, berdasarkan perkara asas ini jugalah, diri sepatutnya sedar untuk meninggalkan mana-mana perkara yang tidak menjadi prioriti yang utama dalam pembentukan peribadi muslim seterusnya membentuk ummah yang cemerlang menurut al-Quran...

Sumber: Senikehidupan.com

Cukup sekadar ini sahajalah coretan pada kali ini, sebagai penutup minda ini ingin berkongsi tentang suatu kata-kata penguat semangat dan janji yang pasti akan ditunaikan jika diri menunaikan apa yang disyaratkan:-

"Orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh, kelak akan Kami masukkan ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah telah membuat suatu JANJI yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?" (an-Nisa';4:122)

Semoga diri yang pernah mengalami perasaan dimungkiri janji berasa lebih terjamin dengan janji ini lalu menghilangkan kekaburan dalam kehidupan di dunia yang bakal musnah atau berakhir ini. Penuhilah terma dan syarat janji di atas dan minda ini berani untuk menjadi penjamin kepada janji yang bakal dipenuhi itu. Sebaliknya, jika kriteria-kriteria itu tidak dipenuhi, maka siapakah lagi yang sanggup untuk menjanjikan syurga buat diri......

Wallahu'alam

Sumber: Outlandish

2 comments:

zaki johari berkata...

Salam sahabatku. Bekas rakan sekelas Jaya di menengah rendah, apa khabar? Masih ingatkah dikau padaku? Jemput-jemputlah jenguk di blog aku, emzek.blogspot.com.

-zaki-

rough_U_deen berkata...

Salam,
Of course masih ingat.
Idungmu tetap menjadi pojaan hatiku... huhu
iAllah akan slalu melawat blog rakan-rakan.. nak tgk perkembangan masing-masing... Hehe

-rafi-