Ahad, 24 Oktober 2010

Kusoroti Ayat-ayat Cinta


Doaku
Dengan nama ALlah, Maha Pemurah, Maha Penyayang

Atas permintaan yang tidak boleh ditolak, minda ini akhirnya menelusuri liku-liku hidup Fahri di dalam karya Habiburahman El Shirazy di kota perjuangan Kinanah, lewat beberapa tahun daripada arus perdana semasa kehangatan novel ini diperkatakan di pasaran. Biarpun agak terlewat, minda ini tetap berasa bertuah kerana berkesempatan untuk menghabiskan sedikit masa membaca karya santai ini tetapi masih lagi sarat dengan pemikiran-pemikiran islami. Tahniah diucapkan kepada Habiburahman El Shirazy (HES).

Sekiranya hanya diberi satu perkataan untuk mewakilkan karya ini, minda ini memilih perkataan 'ideal' sebagai pilihan peribadi. Diri sudah tentu memiliki pendapat yang berlainan. Mungkin perkataan 'ideal atau terlalu sempurna' agak keterlaluan memandangkan HES telah meletakkan plot-plot suasana bumi Mesir yang sebenar. Tetapi minda ini berasa agak idealistik atau tidak realistik dengan keadaan yang dialami oleh Fahri. Bukanlah minda ini ingin mengatakan bahawa kisah tersebut mustahil berlaku kerana ALlah s.w.t. mampu untuk menjadikan cerita yang sedemikian berlaku dalam kehidupan manusia dengan keagunganNya dan kekuasaanNya, tetapi lebih kepada bagaimanakah kisah tersebut akan dapat dihidupkan membawa kemurnian pemikiran karya HES ke layar panggung wayang seterusnya ke televisyen di rumah-rumah.


Seusai pembacaan, minda ini lebih gemar sekiranya kisah Fahri tidak dilakonkan untuk tatapan semasa kerana apa yang telah dilalui adalah sukar untuk dimuatkan ke dalam seni visual 2-3 jam. Bukanlah mustahil, tetapi sudah pasti pemikiran yang ingin disampaikan, pasti ada yang keciciran. Bergugus-gugus sajak, kata-kata pemikir islam yang agung, hadis-hadis dan potongan suci ayat-ayat al-Quran yang menjadi nadi kepada 'indahnya' ayat-ayat cinta pasti tidak dapat diketengahkan. Minda ini sebenarnya begitu tertanya-tanya bagaimanakah gaya pembacaan seseorang yang mahir dengan gaya bacaan al-Quran yang dipelajari secara talaqqi. Bagaimanakah hendak menggambarkan suasana apabila bertemu dengan AbduLlah ibn Mas'ud seorang yang tersangat mulia dengan keilmuan dan kefahaman al-Quran? Mustahil untuk menayangkan bagaimana Maria melihat pintu-pintu syurga dan juga Maryam a.s.? Dan pelbagai lagi perkara yang membawa pemikiran islami yang pasti tidak dapat diketengahkan dengan berkesan.

Namun begitu, jika dilihat daripada sudut positif, adalah lebih baik untuk mengetengahkan watak Fahri yang idealistik untuk menjadi suatu tanda aras untuk dicapai buat diri pada masa kini yang menghadapi cabaran serangan identiti yang sangat dahsyat. Bukankah watak Fahri yang dikatakan oleh sesetengah pengkritis menaikkan ciri-ciri yang telah ditunjukkan oleh RasuluLlah s.a.w. adalah tersangat jauh lebih baik daripada watak-watak filem daripada novel barat seperti siri filem Bourne, siri filem Harry Porter dan banyak lagi? Secara tidak langsung, diri dapat membentuk gambaran yang dibawa oleh RasuluLlah s.a.w. dalam suasana kontemporari dengan berkesan dan tepat.


Wahai diri,
Minda ini sekali lagi ingin meletakkan di manakah letaknya hati karya 'ayat-ayat cinta' ini bertakhta dan menjadi salah satu daripada titik-titik penting di dalam menghuraikan konflik simpulan plot yang berlaku iaitu:-

"Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa."
(Az-Zukhruf;43:67)

Akhirul kalam, dalam menghadapi dunia yang serba mencabar, usaha untuk menceburkan diri di dalam program-program pembentukan diri yang menyeluruh hendaklah diperhebatkan. Semoga akan lahir lebih ramai jejaka yang mempunyai kehebatan seperti Fahri yang menjadi dambaan para bidadari dunia.

WALlahu'alam

P.s. Pembacaan novel berbanding filem akan membawa penekanan yang berbeza dan sudah pasti membawa kesan yang berlainan.

0 comments: