Isnin, 11 Oktober 2010

Anda adalah Apa yang Anda Hendakkan

Dengan Nama ALlah Maha Pemurah Maha Penyayang,

Pepatah Inggeris ade menyatakan, "You are what you eat". Kadang-kadang diri secara tidak menyedari bahawa persekitaran yang dirasakan begitu selesa sebenarnya merupakan suatu medan pembentukan diri. Sekiranya diri membesar di dalam suasana yang tidak stabil, dan diri tidak berusaha untuk mengelakkan diri daripada dipengaruhi dengan suasana tersebut, maka percayalah diri pasti akan membentuk ciri yang begitu sebati dalam diri.

Pernahkah diri terfikir mengapakah diri begitu sukar untuk menerima kesan penyucian jiwa sedangkan jelas jauh di dalam sudut hati diri begitu menginginkan tazkiyyah atau penyucian rohani? Atau dirasakan mengapakah begitu payah sekali untuk duduk seketika melafazkan bait-bait suci ayat al-Quran?


Wahai diri,
Hayati renungan mudah daripada minda ini. Bagaimanakah diri hendak membentuk peribadi mulia sekiranya saban hari di dada tabloid berbahasa Melayu gah menceritakan kebejatan masyarakat tanah air? Bagaimanakah diri hendak menenangkan jiwa yang dahaga sekiranya layar televisyen dan panggung wayang membawa adegan penglipur lara yang kering dan kosong nilainya?

Namun, agak sedikit kecewa apabila minda ini melihat pemimpin negara yang dipandang bertanggungjawab hanya melihat dan mencontohi bangsa yang telah kering nilai kerohaniannya dalam menangani kebejatan sosial tanah air.

Minda ini hanya sekadar mampu berkongsi ratapan pada kali ini apabila melihat ada anak bangsa yang sedang rakus ditelan kepantasan keruntuhan akhlaq sedunia.

"Maka datanglah setelah mereka
generasi yang yang lemah,
Yang meninggalkan sholat dan
mengikuti syahwat, maka mereka
Akan menemukan jalan kesesatan "

(Maryam;19:59)


إن ربّك ليعجب للشّاب لا صبوة له - رواه الروياني عن عقبة

"Tuhanmu kagum dengan pemuda yang tidak mengikut keinginan hawa nafsunya."

(Hadis riwayat Ahmad)


Akhirul kalam, hiasilah dan teguhkan kehidupan diri dengan nilai-nilai pembentukan akhlaq islamiyah bertunjangkan ilmu seperti mentadabbur al-Quran, mempelajari hadis dan lain-lain lagi ruang yang ada, bukan sekadar untuk fasih di bibir, malah diterjemahkan dalam amal perbuatan seharian.

WALlahu'alam

0 comments: