Rabu, 15 Julai 2009

Robot-robot sekalian, berubah!!!

Dengan nama ALlah, Maha Pemurah, Maha Penyayang.

Segala pujian dirafa'kan tanpa jemu atas belas ar-Rahman kerana melapangkan masa untuk untuk coretan pada kali ini. Sesungguhnya kesibukan hidup yang semakin menambat atau mencengkam hidup akan menjadi bagai debu ditiup angin pada hari pembalasan kelak apabila tidak dapat dikaitkan atau dihubungkan dengan zat Yang Maha Besar mentadbir alam yang tersangat luas ini.

Sebelum perkongsian pada kali ini dicoretkan, minda ini dengan perasaan bercampur baur amat sekali ingin berkongsi dengan diri tentang kisah Marwa El-Sherbini, seorang muslimah di Jerman yang kisahnya tenggelam dalam lautan liputan media kes kematian Raja Pop dan pelbagai kisah lain. Memandangkan perkongsian dilakukan oleh
Ibrahim El-Houdaiby, sila klik gambar untuk liputan lanjut. Semoga perkongsian tersebut membuktikan bahawa diri masih sensitif dengan isu umat islam secara umumnya.


Wahai diri,
Baru-baru ini, dunia telah digegarkan dengan fenomena perubahan hasil wacana media Hollywood. Perubahan yang dimaksudkan adalah perubahan daripada jentera bermesin kepada sebuah robot yang lincah dan bijak. Diri mungkin telah menyaksikan (paling tidak tayangan 'trailer') bagaimana proses perubahan tersebut berlaku. Tampak begitu mudah sekali. Malah mungkin ada di antara diri yang berasa bahawa kejadian tersebut adalah begitu 'cool' sekali. Secara jujur, sehingga saat ini, minda ini masih belum berkesempatan menonton 'sequel' khayalan hasil teknologi Hollywood tersebut.


Namun begitu, realitinya, adakah proses perubahan diri boleh berlaku dengan begitu mudah? Semudah menyebut, "Autobots, berubahlah!!"? Semestinya tidak. Sesungguhnya diri hendaklah meyakini bahawa proses perubahan adalah suatu proses yang memerlukan kesungguhan, dan pelbagai ciri-ciri lain lagi. Malah perubahan tersebut hendaklah ke arah pembentukan tamadun kemanusiaan yang lebih mantap dan mulia. Bukannya perubahan seperti gerakan putaran roda di mana titik-titik pada roda akan kembali semula pada titik asal permulaan selepas mengalami perubahan (putaran).

Oleh itu, pada kesempatan kali ini, minda ini ingin berkongsi dengan diri sebuah analogi yang dipetik daripada sebuah karya Hollywood tentang nilai-nilai dan hasil usaha untuk mengubah keadaan. Walaupun watak yang dicipta hanyalah khayalan, namun nilai-nilai murni yang telah digarap (walaupun terselit nilai-nilai yang merosakkan) bolehlah dijadikan iktibar dan pengajaran. Semoga petikan ringkas yang dikongsikan ini menjadi bekalan untuk diri mendapat kekuatan untuk berubah demi pembentukan peribadi muslim diri yang mulia dan mantap. Terimalah:-


Berdasarkan petikan video tersebut, diri telah menyaksikan bahawa Si Alex Raja New York telah melakukan tindakan nekad demi memberikan perubahan kepada komunitinya. walaupun Si Alex dibayangi dengan kisau lampau ditangkap oleh Si Pemburu, tetap digagahinya dengan penuh nekad untuk keluar daripada zon selesa kehidupan. Malah pelbagai lagi pengajaran yang boleh digarap oleh diri hasil perkongsian singkat ini.

"Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia"
(Ar-Ra'd;13:11)

Akhirul kalam, semoga perkongsian ringkas pada kali ini dapat membuka ruang lingkup makna perubahan pada bukan sekadar perubahan fizikal seperti berubah daripada kereta kepada robot, malah perubahan yang menyeluruh meliputi segala aspek penting kehidupan. Sebagai tambahan, perubahan kepada yang lebih baik amat memerlukan segala aspek keperluan seperti ilmu, teman, suasana persekitaran, dan lain-lain lagi. Dan yang paling penting ialah kesungguhan nekad atau dalam erti kata lain 'istiqamah' dalam merencanakan agenda perubahan diri. Oleh itu, adalah menjadi satu keperluan kepada diri untuk mengikuti suatu perancangan atau program yang menyeluruh dan teratur bagi menjayakan agenda perubahan diri kepada yang lebih baik

WALlahu'alam

p.s. Bersama diri mendo'akan kesejahteraan saudara seakidah diri di Turkestan Timur (wilayah XinJiang, China Barat)

1 comments:

Ihsan Abas berkata...

Masha Allah, tulisan yang sangat baik mengenai perubahan, memang kita perlu berubah; Allah takkan ubah nasib kita selagi mana kita x ubah diri kita sendiri, selamat berubah semuanya menjadi lebih baik... Ya!! Andalah Yang akan menjadi Agen Perubahan!!