Ahad, 14 Jun 2009

Renungkan pandangan


Dengan nama ALlah, Maha Pemurah, Maha Penyayang.

Segala pujian dirafa'kan kepada-Nya kerana dalam suasana yang mula menampakkan kecelaruan dalam kehidupan yang semakin menambat kini, minda ini masih dapat mencoretkan perkongsian yang singkat ini. Dalam kesempatan kali ini, minda ini ingin mengajak diri untuk sama-sama menonton petikan sebuah dokumentari yang diterbitkan oleh sebuah stesen televisyen ternama di dunia.

Daripada jumlah masa tontonan selama satu jam 30 minit, minda ini telah memetik sedikit masa selama lebih kurang lima minit untuk mengelakkan masa yang terlalu lama. Mungkin diri memerlukan masa tersebut untuk aktiviti-aktiviti lain yang lebih bermakna. Dalam sedutan dokumentari ini, minda ini ingin menyeru diri untuk menonton melalui mata hati melalui penghayatan iman yang didapati di dalam diri. Cuba letakkan di tepi segala pemikiran yang inginkan hiburan atau pengetahuan am semata.

Sukacita dipersembahkan...


Sumber: Earth 2007 BBC*
*Maaf atas resolusi video yang agak kabur. Versi HD boleh didapati daripada pusat komersial yang utama.

Wahai diri,
'Crane' yang berhijrah itu sejauh beribu-ribu batu itu telah melakukan suatu perkara yang dirasakan hampir mustahil. Malah, mungkin ada di antara kawanan itu yang buat kali pertama menghadapi halangan yang sedemikian rupa. Diri secara umum meyakini bahawa 'crane' tidak memiliki otak atau akal yang sebijak insan, namun 'crane' tersebut mampu untuk melakukannya. Kemampuan atau kebijaksanaan kawanan 'crane' ini wujud atau hadir adalah tidak lain dan tidak bukan merupakan kurniaan Yang Maha Mencipta 'crane' tersebut.

Sama ada sedar atau tidak, pencipta 'crane' Yang Maha Agung merupakan 'Deity' yang sama mencipta diri ini. Dalam konteks ini, pencipta diri menyeru diri agar memerhatikan dan memikirkan bahawa betapa hebatnya ciptaan yang wujud di muka bumi ini. Maka diri akan terpanggil secara tidak langsung untuk merenung betapa kerdil dan lemahnya diri ini.

"Dan apakah mereka tidak memerhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu." (al-Mulk; 67: 19)*
*Juga boleh rujuk an-Nahl; 16: 79, dan juga an-Nuur; 24: 41.

Akhirul kalam, semoga coretan pendek yang disertakan dengan sedikit paparan grafik ini membangkitkan dan menyegarkan hati dan iman diri tentang betapa agungnya pencipta diri dan betapa kerdilnya diri. Maka adalah suatu yang mustahil dan tidak patut berlaku bagi seorang hamba yang kerdil untuk melakukan sesuatu yang menyanggahi sempadan larangan Tuan Pencipta. Bersama diri renungkan dan berusaha untuk menzahirkan dalam perlakuan seharian.

WALlahu'alam.

p.s. Minda ini baru sahaja mendapat tahu bahawa seorang mujahid islam yang dikenali, ustaz fathi yakan baru sahaja kembali ke rahmatuLlah. Sama-samalah diri mendo'akan keampunan dan kesejahteraan beliau lantaran terlalu banyak sumbangan yang diberikan oleh beliau dalam menyebarkan arus kebangkitan islam.


0 comments: