Khamis, 19 Jun 2008

Berjalan, Melihat & Mentafsir


Dengan nama Allah Maha Pemurah, Maha Penyayang

Dengan izinNya semester pertama tahun ini di tempat pengajian di sini secara rasmi akan berakhir pada masa lebih kurang sepuluh hari dari sekarang. Maka telah kedengaran pelbagai perancangan tentang bagaimana untuk menghabiskan cuti sebagai mengisi masa kosong tidak hadir ke kuliah atau yang sewaktu dengannya. Dan sudah menjadi kebiasaan kebanyakan di antara diri di sini akan merancang untuk berjalan keluar dari
kota kecil berjumlah lebih kurang satu juta penduduk ini. Pernah minda ini terfikir, "buat ape belajar jauh-jauh naik flight 10 jam sekadar untuk mendapatkan segulung ijazah, baik belajar di tanah air pun boleh dapat gak".

Dan belajar di sebuah negara yang cukup terkenal dengan keindahan alamnya membuatkan musim cuti di sini akan menjadi lebih bermakna. Tidak kira sama ada ke Cape Reinga Light House di utara, atau ke East Cape Light House di Timur, atau di barat, atau ke Stewart Island di selatan, hatta ke puncak Mt Cook sekalipun, berjalan melihat keindahan alam akan menjanjikan suatu kepuasan buat diri yang berada di sini. Bagi minda ini, pengalaman ini tidak akan serupa sama sekali jika diri berjalan 'road trip' di tanah air. Melihat gunung-gunung yang diliputi salji putih, bukit-bukit kecil dan ladang lembu dan biri-biri yang kehijaun, sungai-sungai dan tasik-tasik yang kebiruan, hutan yang tampak zaman jurassic, dan pelbagai lagi pemandangan indah yang tidak dapat tidak memberikan suatu pengisian kepada diri yang dahagakan ketenangan.

Ya, diulang sekali lagi, pengisian kepada diri yang dahagakan ketenangan daripada hiruk-pikuk kehidupan belajar atau bekerja yang telah menjadi rutin kehidupan seharian diri. Dan, lebih bersifat peribadi, teman serumah minda ini yang berasal dari California juga (bukan muslim la kan) mempunyai ciri-ciri yang sama. Cuba untuk meneroka alam sepuas hatinya. Dalam masa lima bulan ini sahaja, sudah dua kali dia ke Queenstown meneroka wilayah selatan yang sungguh luar biasa pada pandangan manusia. Malah, di tempatnya, El Capitan atau Yosemite National Park menjadi tempat kunjungannya saban tahun. Tidak jemu katanya. Ini hanyalah kes terpencil, dan jika diri perhatikan di penginapan backpackers dan yang seiring dengannya, ramai di antara mereka yang gemar berjalan-jalan, malah jika ada 'baby' sekalipun, sanggup di bawa di beg sandang yang dikhaskan untuk membawa bayi. Hebat bukan?


Di sini, minda ini ingin menyingkap suatu pandangan yang mana diharapkan dapat membawa suatu perkara yang sama-sama boleh direnung dan dijadikan 'mindset' diri. Telah menjadi kebiasaan minda ini untuk melihat dan cuba membuat perbandingan di antara gaya dan cara muslim Malaysia di sini dan non-Muslim dalam melaksanakan aktiviti mengisi waktu cuti ini. Lantaran tidak percayakan tuhan atau percaya dengan agama lain selain islam, minda ini melihat mereka melaksanakan aktiviti hanyalah sekadar menghilangkan tekanan dan menenangkan jiwa. Bagi mereka alam ini telah wujud dengan sendirinya, pokok-pokok tumbuh dengan sendirinya berdasarkan faktor-faktor genetik, sumber nutrien dan tenaga, dan 'survival' pokok-pokok itu sendiri. Maka hal ini adalah biasa melainkan pokok itu boleh terbang.

Maka bagaimana pula dengan diri yang muslim dalam melaksanakan aktiviti ini. Jika diri melaksanakannya bertujuan untuk melepaskan tekanan daripada pelajaran dan kehidupan seharian, maka rasanya tidak salah jika minda ini meletakkan bahawa tiada bezanya matlamat ini apabila dibandingkan dengan golongan yang dicoretkan di atas. Mungkin ada diri yang berpendapat, "Ala, diorang minum wine, kitorang mana buat tu". Dijelaskan di sini, minda ini sedang membicarakan perkara asas iaitu matlamat utama aktiviti ini dijalankan. Sekiranya matlamat utama aktiviti ini telah jelas, dirasakan sudah memadai untuk tidak mencoretkan tentang bab perlaksanaan lantaran hal ini menyebabkan coretan kali ini bertambah panjang.

Oleh itu, diseru diri untuk berfikir. Apakah tujuan utama diri untuk berjalan-jalan? Maka minda ini lebih suka untuk meletakkan garis panduan yang diberikan oleh pencipta diri ini. Jika diri merujuk di dalam kalamNya, banyak ayat yang menyeru manusia untuk merenung kejadian alam. Sebagai contoh:-

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (sambil berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka. "
(Surah 3: Ayat 190-191)

Dan banyak lagi ayat-ayat yang membawa maksud yang sedemikian. (Minda ini menyeru diri untuk merenung kalamNya saban hari) Dalam hal ini, diri bukan sekadar diseru untuk berjalan dan melihat, tetapi juga diseru untuk berfikir dan mentafsir tentang kehebatan dan kestabilan alam raya yang tersergam indah. Dan natijah akhirnya adalah untuk mengenal pencipta diri. Mungkin ada diri yang merasakan mereka sudah tahu hal ini. Maka minda ini ingin menyeru diri untuk melakukan hal ini secara berulang-ulang lantaran walaupun bola itu bulat dan misinya hanyalah memasukkannya ke dalam jaring atau gol, minda ini melihat bahawa diri tidak pernah terfikir untuk bosan menonton atau melakukannya.

Sebagai contoh, jika selepas ini diri bertemu dengan salji, renungkan bagaimana keseimbangan suhu, tekanan, angin, jirim, dan pelbagai faktor yang boleh menyebabkan 'salji' terbentuk. Banyak sumber-sumber ilmu yang bertaburan di dunia ini tentang hal ini. Sama ada hendak tahu atau tidak sahaja, tepuk dada, tanya diri. Dan kemudian berfikirlah, berdasarkan faktor-faktor yang pelbagai itu, pencipta 'salji' ini pasti lebih hebat lantaran memanipulasikan pelbagai faktor untuk menghasilkan suatu perkara. Maka inilah yang membuatkan diri ini 'istimewa' sebagai muslim berbanding golongan lain. Dan adalah lebih mengkagumkan jika 'proses penciptaan' daripada 'tiada' kepada 'ada'. Jika hal ini masih lagi belum terbentuk, maka sama-sama diri fikirkan untuk melaksanakan hal ini. Sebagai permulaan, renung-renungkan contoh-contoh lain.

Sebagai kesimpulan, marilah sama-sama menjadikan cuti winter diri kali ini adalah yang paling bermakna untuk membentuk dan memantapkan iman, bukan sekadar hendak menyihatkan badan atau apa-apa sahaja yang hanya sekadar memenuhkan kehendak peribadi tanpa memberikan sumbangan kepada kehidupan yang abadi. Berjalan, Melihat, dan Mentafsir..........

Wallahu'alam.

~SELAMAT BERCUTI~

1 comments:

rashiD berkata...

salam,
piuding..

buke blog juge ye. bnyk nasihat..
bagus2..

aku letak link kat page aku ye..