Isnin, 2 Jun 2008

Belajar dan berusahalah selagi diberi peluang~~

Dengan nama Allah, Maha Pengasih, Maha Penyayang,

Minggu ini adalah minggu terakhir untuk semester pertama pengajian di sini sebelum peperiksaan yang bakal menjelma pada minggu hadapan. Maka, kali ini minda ini ingin berkongsi dengan suatu analogi yang insyaAllah melibatkan setiap diri yang sedang atau pernah bergelar sebagai pelajar institut pengajian tinggi (IPT).

Diri semua pasti menyedari bahawa langkah pertama yang perlu dilakukan adalah memastikan bawah diri bergelar pelajar IPT adalah dengan mendaftar dengan subjek yang hendak dipelajari. Pendek kata, "Nak belajar kene la 'enrol'". Nilai mendaftar ini tidak datang dengan nilai yang murah, jika di tempat pengajian minda ini, kos untuk semester kali ini mencecah RM 35 167.12. (Setelah ditukar dengan nilai matawang tempatan). Mahalkan?

Baiklah, mujur dengan nikmat pemberianNya, yuran pengajian minda ini ditaja oleh pihak penganjur. Setelah sudah mendaftar, maka adalah menjadi suatu rutin kepada diri yang telah mendaftar untuk menghadiri kuliah-kuliah yang disampaikan oleh pensyarah-pensyarah yang bijak pandai (walaupun kepakaran mengajar adalah berbeza). Adalah menjadi suatu perkara yang pelik, jika diri sudah mendaftar tetapi tidak mengambil peduli langsung tentang pelajaran yang telah di'enrol'. Buat diri sebegini, patutkah diri dipanggil pelajar IPT jika diri tidak mengambil endah langsung tentang perkembangan pelajaran yang di'enrol'? Tepuk dada, jawab sendiri.

Kemudian, bukan sekadar menghadiri kuliah sahaja, minda ini juga diberikan contoh-contoh soalan untuk dijadikan sebagai latihan untuk lebih memahami tentang subjek yang sedang dipelajari. Kelas-kelas tutorial menjadi suatu medan kepada diri untuk memahirkan diri dan bertanya tentang bahagian-bahagian yang kurang difahami. Walaupun jika tidak menghadirkan diri atau melakukan latihan-latihan soalan tersebut, diri tidak akan dijatuhkan hukuman gantung pengajian, namun diri tetap cuba meletakkannya sebagai prioriti untuk melakukan hal ini sebagai suatu inisiatif mendapat kecemerlangan dalam pelajaran yang diambil.

Bukan setakat itu sahaja, kadang-kadang, sekiranya diri mendapati bahawa subjek yang sedang dihadapi menghadapi kesukaran, diri sanggup mengambil inisiatif dengan mengajak rakan-rakan sekelas untuk mengadakan 'discussion group'. Maklumlah, dengan mengadakan perbincangan secara berkumpulan, maka hasil yang didapati akan lebih memuaskan, lebih-lebih lagi jika perlu menyelesaikan tugasan-tugasan bermarkah yang diberikan oleh pensyarah. Kata diri, 'Sepakat membawa berkat".

Selain itu, sepanjang semester, akan diadakan pelbagai tugasan, projek, amali makmal, ujian, dan pelbagai lagi sebagai garis petunjuk ingin menilai sejauh mana pemahaman yang telah dicapai. Maka, dengan secara tidak langsung, diri secara suka atau tidak, cuba belajar dan 'berkorban' semata-mata untuk mendapatkan pemahaman seterusnya mencapai kecemerlangan jika tidak sekadar melepaskan batuk di tangga. Di sinilah, diri cuba menilai sejauh mana kedudukan diri dalam memahami atau menghayati subjek yang sedang diambil. Dan seperti setiap diri sedia maklum, peperiksaan akhir merupakan penentu kepada segala pencapaian dalam pemahaman subjek yang diambil.


Baiklah, minda ini merasakan cukuplah sekadar ini untuk menceritakan kisah suka duka pelajar IPT. Maka sekarang, minda ini ingin membuka suatu kisah yang hampir serupa atau 'similar' dalam konteks kehidupan diri sebagai MUSLIM.


Yang pertama, diri semua tahu bahawa untuk bergelar seorang muslim, kalimah syahadah adalah pemisah yang jelas. Jika persaksian ini tidak dizahirkan pada lidah, maka terdapat kesangsian pada nilai islam dalam diri. Namun, sesungguhnya, kalimah syahadah yang diri persaksikan itu tidak murah harganya. Mungkin diri menerimanya secara keturunan, tetapi apabila minda ini berada di bumi asing jauh dari tanah air ini, barulah minda ini sedar bahawa nilai ini jauh lebih mahal daripada nilai 'enrolment' yang dibayar pada setiap semester.

Baiklah. Kalimah syahadah sudah dibuktikan pada lidah. Namun, sama sahaja halnya seperti di atas, melafazkan syahadah tidak bermakna iman sudah datang dalam diri. (sila rujuk wahyu) Sesungguhnya,
kepercayaan yang dipegang ini adalah amat meragukan jika diri tidak beramal dengan apa yang dilafazkan. Malah adalah amat malang sekali jika amalan yang dilakukan adalah bertentangan dengan ajaran yang dianjurkan oleh islam. Perkara yang ditegah, dilakukan oleh diri. Patutkah dipanggil pemain bola sepak jika hanya sekadar memakai lengkap but dan jersi tetapi hanya menggolek-golekkan bola sepak itu dengan tangan dan siku?? Tepuk dada, jawab sendiri!

Menelusuri lebih jauh, memahami islam bukanlah sekadar melakukan amalan-amalan wajib dan meninggalkan taghut. Malah islam juga menggalakkan golongan yang mengaku tunduk untuk melakukan amalan-amalan yang jika tidak dilakukan, tidak menyebabkan terkeluar daripada islam. Amalan-amalan sunat seperti solat sunat, puasa sunat, sedekah, umrah dan ibadah-ibadah yang lain amatlah digalakkan untuk kekuatan diri bagi memahami islam dengan lebih mendalam. Oleh itu, adalah menjadi prioriti kepada diri yang bergelar muslim untuk menambahkan amalan-amalan ini walaupun tiada keburukan jika tidak melaksanakannya.

Selain itu, jika diri sedar bahawa diskusi berkumpulan amat penting untuk menambahkan kesan dalam kecemerlangan pelajaran melalui konsep 'sinergi', maka mengapa pula tidak diri tidak mengamalkannya dalam kehidupan seharian diri sebagai muslim. Sebagai permulaan, tunaikan solat fardhu secara berjemaah. Ya, konsep 'sinergi' sekali lagi ditimbulkan. Mudah sahaja, seorang dapat satu, berjemaah dapat 27. Bukan begitu? Buat diri yang berada di perantauan ini yang susah untuk mendapatkan surau, ajaklah teman serumah atau sebilik (yang mengaku muslim) untuk sama-sama berjemaah (berdua pun dah kira berjemaah dah). Selain itu, sekiranya ada majlis-majlis yang berfokuskan kerohanian diadakan (lagi-lagi di perantauan ini), bukankah bagus jika diri menyertainya?

Jika dalam sepanjang semester diri diuji untuk menilai sejauh mana pencapaian diri, maka sebagai muslim, diri juga sentiasa diuji. Diuji sejauh mana diri beramal dengan pengetahuan islam yang dipelajari. Pendek kata semakin faham diri dengan ajaran islam, maka ujian dan dugaan yang datang akan lebih tinggi setaraf dengan pemahaman yang didapati. Suka atau tidak suka, sebagai seorang muslim, diri perlu menyediakan diri untuk menghadapi dugaan dan cabaran yang datang dalam pelbagai rupa, sesuai dengan keadaan diri. Maka dalam konteks ini juga (sama seperti di atas), diri perlu bersedia untuk 'berkorban' dengan harapan sekurang-kurangnya untuk melepasi dugaan hidup dalam keadaan cukup makan jika tidak mencapai kecemerlangan.

Sebagai penutup kepada analogi, diri semua sedia maklum bahawa, ujian terakhir dalam kehidupan adalah menghadapi saat-saat kematian. Pada masa ini, bukan pengetahuan yang menjadi ukuran, tetapi sejauh mana keberkesanan latihan dalam kehidupan seorang muslim yang akan menentukan segalanya. Kejayaan bukan hadir daripada pengtalkin atau sesiapa di sisi, tetapi hanya diri bakal menentukan, sama juga seperti di dalam bilik peperiksaan.

Sebagai penutup, suka minda ini menyeru kepada setiap diri yang menelusuri baris-baris coretan ini (terutama yang mencoret ini) untuk sama-sama meletakkan nilai islam dan martabat muslim kembali pada tarafnya. Jika sanggup berkorban atau terkorban dalam bersengkang mata menyiapkan tugasan atau projek, adalah suatu yang memalukan diri, apabila kedudukan islam tidak mendapat penghormatan sebaik itu.

Sebagai penutup, minda ini sedar bahawa pada masa sekarang, setiap diri merasakan bahawa diri tersangatlah sibuk untuk menghadapi hari-hari terakhir semester ini. Bagi minda ini, kesibukan ini hanyalah pengenalan kepada suatu hari yang mana kesibukan adalah benar-benar 'SIBUK'. Kata orang, "Tak kenal, maka tak faham; Tak rase produk 'CHOCOLATE BOUTIQUE CAFE @ Parnell', maka takleh nak bayangkan kesedapannya". Maka minda ini ingin memperkenalkan kesibukan hakiki. Rujuk Surah 'Abasa, (surah 80), ayat 37;
"Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya"

Jika pada hari ini, diri yang sibuk ini masih sempat untuk memikirkan perut yang perlu diisi, sama-samalah diri menantikan hari sibuk yang dijanjikan yang lebih dahsyat daripada hari ini. Wallahu'alam.



P/S Sengaja dicoret panjang untuk menggantikan tempoh masa kosong coretan sebelum ini. Selamat menghadapi peperiksaan kepada semua dan sama-sama diri mendo'akan kecemerlangan diri dalam peperiksaan untuk islam. Kredit kepada penyumbang coretan ini.

2 comments:

N. Azmir berkata...

salam alaikum

kehidupan akademik memang menyibukkan. terutamanya bila kite kene hantar 3 assignment dalam 1 minggu..hehe

anyways, sy setuju benar dengan pendapat diri anda. kesibukan akademik masih jauh daripada layak utk kita gelar sibuk. Setiap hari, beban tanggungjawb yang harus dipikul bukan makin berkurangan.

Seandainya sekarang kita sudah berani meletakkan alasan sibuk utk tidakmenyumbang pada jalan Islam, mungkin sampai bila-bila pun kita tidak akan pernah lapang untuk-Nya.

Na'uzubillah

Shariful Fadzli berkata...

Salam,

Terima kasih diatas artikel ini dan quoteation drpd Surah 'Abasa, (surah 80), ayat 37;.

Insyallah, segala urusan dipermudahkan.