Rabu, 9 Jun 2010

Kesatuan






Live for Love United; 2002

Dengan nama ALlah, Maha Pemurah, Maha Penyayang.

Demam piala dunia sudah bermula. Poster-poster dan layar gergasi telah dinaikkan. Rata-rata buah bicara kebanyakan daripada diri pasti bersangkutan dengan kontroversi dan kejutan-kejutan yang bakal berlaku pada temasya kali ini. Siaran media massa pasti tidak sudah-sudah menyiarkan siaran semula perlawanan dan juga perbincangan-perbincangan tentang setiap perlawanan, aksi, dan sandiwara yang pasti berlaku. Apa yang pasti, selang empat tahun, kebanyakan masyarakat dunia akan disatukan dengan tumpuan yang sama. PIALA DUNIA.

Pada kali ini, minda ini bukanlah bermaksud untuk mencoretkan tentang temasya sukan yang berlaku di Afrika Selatan tersebut, tetapi lebih kepada kesan yang dibawa oleh kejohanan ini. Walaupun tidak semua negara layak untuk memasuki pusingan akhir kejohanan tersebut, namun semua insan sanggup melibatkan diri dengan menyokong mana-mana negara yang diminati corak permainannya atau pemainnya sendiri. Pendek kata, tanpa dipinta oleh wakil negara-negara yang bertanding, ramai di antara diri dengan secara sukarela menyokong dan bersatu di bawah panji-panji pasukan tersebut. Sesiapa sahaja yang memperlekehkan pasukan negara yang disokong, pasti akan disanggah.

Sekadar Hiasan: Piala Dunia 2006 (Wikimedia)

Wahai diri,
Suatu ketika, minda ini sedang mencari keperluan di sebuah pusat membeli-belah. Tiba waktu solat, terus minda ini bergerak ke ruang solat di pusat membeli-belah tersebut yang sememangnya jauh lebih besar jika dibandingkan dengan kebanyakan pusat membeli-belah di tanah air. Sebaik sahaja melangkah ke ruang wudhu, sebaris pili air (dalam 10 unit), penuh digunakan. Wah, ini sudah bagus, solat tepat pada masanya. Pada masa yang sama, minda ini mendapati ada individu-individu yang memakai jersi yang sama. "Rupanya, ada pertandingan sukan berpasukan pada malam ini. Maklumlah, pusat membeli-belah ini lengkap dengan gelanggan bowling dan futsal. Gelanggang skuasy akan dibuka juga tidak lama lagi."

Namun, seusai mengambil wudhu', minda ini agak tidak keterlaluan menyatakan rasa kecewa dengan pandangan yang didapati. Jersi sudah sama. Malangnya, solat ditunaikan secara sendirian. Mujurlah ada seorang pakcik bersama anak-anaknya merancang untuk bejemaah bersama, maka kesempatan ini digunakan. Apa yang menarik, sebaik sahaja iqamah dilaungkan, maka setiap diri yang belum mengangkat takbiratul ihram terus turut serta melengkapkan sof.

Perkongsian pada kali ini lebih kepada renungan kepada setiap diri. Kadang-kadang diri tidak sanggup untuk berseorangan untuk keluar makan, bersukan, bekerja, berdemonstrasi, dan sebagainya. Malah, dalam menempuh arus kehidupan, akan tiba suatu masa di mana diri akan meletakkan satu perjanjian yang kuat untuk hidup bersama dengan seorang yang berlawanan jantina dengan diri.


Malangnya, suatu syiar kesatuan umat islam yang sememangnya telah lama wujud secara tidak langsung telah diperlekehkan oleh umat islam sendiri. Islam telah menggariskan dengan begitu cantik bahawa sekiranya diamalkan dengan sepenuhnya, maka kesatuan akan dapat dibentuk. Antara perkara yang paling jelas adalah dengan menunaikan solat secara berjemaah dengan kaedah yang murni. Bukankah RasuluLlah s.a.w. tidak pernah meninggalkan solat fadhu secara berjemaah? Alangkah malunya diri yang mengaku muslim sanggup untuk bersama-sama bersengkang mata menghayati PIALA DUNIA, tetapi apabila tiba waktu menunaikan solat, urusan diselesaikan dengan sendiri-sendiri walhal akidah diri semua hanyalah satu.

"dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, sesungguhnya kamu tidak dapat menyatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana." (Al Anfaal;8:63)

Teguran ini hanya dicoretkan atas rasa yang telah dipendamkan. Bukanlah ditujukan kepada sesiapa, malah lebih kepada diri yang mencoretkan perkongsian pada kali ini. Semoga dengan perkongsian pada kali ini, diri akan menyertai program pembentukan diri yang menyeluruh dan tersusun untuk lebih memantapkan rasa kesatuan dan kebersamaan dalam membawa panji-panji yang paling mulia di muka bumi ini.

WALlahu'alam

2 comments:

Tanpa Nama berkata...

betul bro. Slalu prasan. nasib baik di auckland kalau surau mmg slalu bjmaah.

qayyum

rough_U_deen berkata...

Btul2 Qayyum, no doubt about it...
Cuma fenomena umum di M'sia ni, segan nak jadi imam...
Sbb nak jd imam kene ade tauliah kot...
In sya ALlah suatu masa akan berubah...