Selasa, 19 Ogos 2008

Sayang NZ


Dengan Nama Allah Maha Pemurah Maha Penyayang,

Dalam kehangatan temasya dunia di Beijing ketika ini, minda ini sekali lagi dikurniakan kesempatan oleh Yang Maha Memberi Kesempatan untuk berkongsi coretan dengan diri buat kali ini. Mungkin terpengaruh dengan semangat kesukanan dalam temasya itu dan mungkin juga mendapat semangat bulan kemerdekaan buat negara persempadanan kelahiran minda ini, Malaysia; maka minda ini ingin berkongsi sedikit sebanyak apa yang sedang berlegar-legar.

Mula-mula sekali, minda ini kagum dengan kehebatan seorang pemuda yang sebaya usia lantaran usahanya tanpa mengira penat lelah telah berjaya merangkul 8 pingat emas sambil-sambil itu memecahkan 7 rekod dunia. Hebat bukan?? Sebenarnya, bukanlah anugerah yang diterima itu yang dikagumi minda ini, tetapi semangat, jerih-perih kepayahan, dan pengorbanan yang telah dirasakan oleh pemuda ini selama bertahun-tahun itulah yang menjadi contoh buat diri. Namun, walaupun anugerah itu suatu yang gah dan akan dikenang, namun yakinlah diri bahawa sesungguhnya kegemilangan itu tidak akan kekal selama-lamanya. Maka pengajaran pertama yang cuba minda ini sampaikan kepada diri ialah jika diri ingin atau terpaksa berkorban tidak kira masa, tenaga, ataupun wang ringgit diri; maka salurkanlah kepada hasil yang kekal abadi. Dan satu lagi, sertakanlah dengan dedikasi dan komitmen (istiqomah) dalam kerja amal itu. Percayalah diri bahawa hasilnya walaupun sebesar atom; adalah lebih berharga daripada kesemua nilai pingat emas yang dimenangi dalam temasya tersebut. (Satu pingat = RM 1 000 000 ==> 0 @ akhirat) Ditekankan sekali lagi, pemuda ini sebaya dengan minda ini... Muda tuuu

Sumber: Britannica

Perkongsian kedua adalah berkaitan dengan tajuk diberi. Memandangkan minda ini sedang berada di bumi kiwi, maka kebanyakan liputan temasya sukan itu yang ditayangkan di sini adalah berkaitan dengan penglibatan atlit-atlit negara ini. Sama ada sedar atau tidak, terdapat suatu sikap atau amalan media massa negara ini yang sepatutnya menjadi contoh kepada bangsa Malaysia iaitu minda ini tidak pernah mendengar media massa di sini menyampaikan perkataan 'gagal' atau yang sewaktu dengannya apabila atlit yang menjadi "ayam tambatan" mereka sekadar mendapat tempat kedua atau ketiga, atau gagal mendapat pingat. [RUJUK DI SINI] Malah jika mendapat pingat mereka menyambut pencapaian tersebut dengan penuh keriangan, dan jika tidak, mereka memberikan sokongan moral kepada atlit tersebut untuk terus berusaha. Mungkin habuan kejayaan yang mereka terima tidaklah sehebat atlit-atlit yang mewakili Malaysia, tetapi apa yang minda ini ingin sampaikan dalam coretan ini adalah bahawa ciri islamik yang dipaparkan iaitu sentiasa memberikan sokongan dan galakan walaupun tidak mencapai hasil yang dikehendaki, hendaklah diamalkan oleh diri-diri yang sedar dirinya adalah muslim. Tetapi perlulah diingat bahawa ciri itu hendaklah kena pada tempatnya. Sayang NZ.......

Sumber: TVNZ

Perkara seterusnya yang ingin minda ini berkongsi dengan diri ialah tentang tema kemerdekaan atau semangat pembebasan tanah air. Adalah menjadi suatu fitrah diri apabila sudah mendapat pelbagai pengalaman dan kenangan yang pelbagai dengan suatu daerah atau kawasan, maka akan timbul rasa suatu nilai "sentimental" dalam diri. Akan wujud suatu nilai yang tidak boleh diganti dengan nilai kebendaan. Lebih-lebih lagi apabila diri terlibat dalam memperjuangkan kewujudannya dalam dunia ini. Sebagai seorang muslim yang yakin bahawa konsep negara islam telah tersedia wujud dalam kalimah islam itu sendiri, maka minda ini suka mengatakan yang minda ini sayangkan tanah kelahiran; Malaysia. Bukanlah sebab utama atas nama kepolitikannnya "Malaysia", tetapi kerana adanya orang islam sebenar di persempadanan itu. Pada masa yang sama, di bumi kiwi ini, minda ini juga mengenali ramai muslim sebenar yang disayangi, maka adalah tidak pelik jika minda ini mengatakan; sayang NZ.......

video
Sumber: PetronasGreetings

Selain itu, dalam suasana semangat kemerdekaan yang sedang meruap-ruap ini, maka akan ada suara-suara yang cuba menyedarkan diri dengan nada retoris, "Adakah diri sudah benar-benar merdeka??" Soalan yang saban tahun diri mendengarnya. Oleh itu, pada kesempatan kali ini, minda ini ingin berkongsi tentang suatu realiti yang sukar diterima oleh diri-diri yang tidak sanggup dijajah fikiran atau menjadi hamba kepada penjajahan. Dalam konteks ini, kepahitan realiti yang ingin dibawa adalah menjadi suatu fitrah diri yang bergelar manusia bahawa diri akan sentiasa ingin diperhambakan atau dijajah. Sama ada suka atau tidak, seluruh kehidupan diri akan sentiasa ingin diperhambakan. Mahukan penjelasan?? Contohnya, jika diri belajar semata-mata untuk kesenangan hidup (hidup mewah), maka diri telah menjadi hamba kemewahan... Sanggup berjuang apa sahaja agar hidup senang. Jika diri berjuang kerana inginkan kebebasan bersuara semata?? Maka diri telah menjadi hamba kepada ideologi kebebasan bersuara yang tidak akan jelas batas sempadannya. Mudahkan analoginya? Fikir-fikirkan sekarang, diri ini hamba siapa sebenarnya.....

Sumber: Shoradhi @ flickr

Maka jelaslah bahawa diri ini tidak akan merdeka selama-lamanya. Namun, dalam keadaan ini, sesungguhnya, hanya ada satu cara sahaja "nikmat" kemerdekaan dalam penjajahan dapat dikecapi. Caranya ialah dengan diri meletakkan diri dijajah oleh kekuasaan Yang Maha Menjajah sahaja, sesekali tiada pengaruh lain!! Kedudukan ini sahajalah yang mampu memberikan rasa kepuasan dalam penjajahan/perhambaan dalam diri..... Ok whaat!! Itulah fitrah diri sebagai insan. Wahai diri, tiada jalan lain lagi.

Oleh itu, dengan kunjungan bulan penuh kerahmatan, bulan Romadhon yang akan tiba tidak lama lagi, minda ini ingin menyeru diri agar sama-sama menggunakan
kesempatan dalam setiap nikmat nafas yang diberi pinjam oleh Yang Maha Memberi Pinjam kepada diri dengan merapatkan diri dengan Pencipta diri, bermunajat dan memohon daripada Yang Maha Memberikan Perhatian Mendengar. Tiada permintaan yang terbaik melainkan nikmat syurgaNya yang terbaik dan tiada penghindaran yang terbaik melainkan seksa nerakaNya yang menggerunkan...

video
Sumber: Youtube

Maaf jika coretan kali ini agak panjang dan bercampur-baur lantaran minda ini tidak berhajat dan berkemungkinan besar tidak berkesempatan untuk berkongsi apa-apa sepanjang bulan keberkatan yang mendatang ini. Minda ini akhiri coretan dengan ucapan Rab'ii ibn 'Amir pada majlis Yazdajrad:-

"Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia daripada menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah yang Tunggal dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan Akhirat dan daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan islam."

Wallahu'alam
....
~AHLAN YA ROMADHON MUBAROK~

0 comments: