Jumaat, 12 Mac 2010

Sokonglah Walaupun Secebis



Dengan nama ALlah, Maha Pemurah, Maha Penyayang.

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 baru sahaja diumumkan. Tahniah diucapkan kepada diri yang mendapat keputusan yang cemerlang. Semoga keputusan yang diperolehi menjadi pemangkin untuk menambahkan pengabdian diri kepada Yang Mengurniakan anugerah ini. Buat diri yang tidak mendapat keputusan yang memuaskan atau sekadar cukup makan, moga keputusan yang diterima ini tidak menjadi suatu punca untuk memisahkan diri daripada menyerahkan segala kepasrahan untuk kembali kepadaNya. Minda ini kembali terkenang semasa zaman persekolahan dahulu lebih-lebih lagi apabila sekolah tempat minda ini menumpahkan keringat telah dipilih di antara 10 sekolah terbaik keputusan SPM di tanah air pada kali ini.

Sekadar Hiasan: Gambar sekolah dari udara (2010)

Perkongsian pada kali ini lebih kepada suatu sorotan kembali kepada suatu isu yang kini semakin hilang tempatnya pada hati penduduk tanah air. Baru-baru ini, (awal bulan ini), masjidil Aqsa digemparkan dengan cubaan pencerobohan pelampau yahudi Zionis. Usaha yang dibantu oleh pasukan bersenjata ini terpaksa dibayar dengan kesakitan oleh muslimin/at yang bertahan di dalam kawasan tanah suci ketiga umat islam tersebut. Namun, berapa ramaikah di kalangan orang yang dikenali diri mengambil endah tentang isu semasa ini?

Namun topik pada kali ini bukanlah hendak memberikan perkembangan mutakhir apa yang berlaku di sana, cukuplah dengan lambakan liputan media yang telus dan benar untuk dijadikan panduan. Minda ini lebih suka mengambil cara jalan penyelesaian ke hadapan berbanding bercerita tentang isu-isu yang berlaku semata-mata.

Wahai diri,
Di antara kaedah yang diwar-warkan untuk memerangi gerakan Zionis bersaiz 'super duper' L ialah dengan melaksanakan tindakan boikot. Tindakan boikot terhadap mana-mana organisasi atau badan yang menyumbang kepada keteguhan gerakan Zionis adalah bermatlamat untuk menyekat dana umat islam daripada mengalir kepada golongan yang kuat menyokong gerakan Zionis. Terdapat beberapa organisasi yang telah dikenalpasti melalui kajian terperinci yang begitu kuat menyokong gagasan Zionisme. (KLIK DI SINI UNTUK RUJUKAN)

Namun, minda ini agak kecewa apabila selalu kedengaran nada-nada berbaur sinis tentang anjuran yang dikemukakan ini. Secara jujur minda ini mengaku bahawa minda ini masih lagi daif dalam melaksanakan kempen tersebut. Masih ada lompong-lompong kosong yang terpaksa dicerobohi apabila terdapat keperluan mendesak. Sebagai contoh, setakat ini, masih belum ada saluran islami yang mampu menandingi kesungguhan National Geographic dalam menerapkan keilmuan dokumentari. Mungkin siri-siri HarunYahya dapat membantu, namun tidak dapat digarapkan sepantas dan semutakhir National Geographic. Bahkan minda ini berasa bahawa, dengan benteng kefahaman islami sebenar yang telah, saluran dokumentari tersebut mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan umat islam zaman ini. Minda ini juga tidak dapat menafikan bahawa syarikat tempat bekerja menyediakan pekerjanya dengan kasut keselamatan berjenama Timberland. Bukankah suatu titik peluh yang tidak berbaloi untuk berusaha mencari jenama pengganti sedangkan terdapat banyak tugasan yang lebih kritikal untuk diselesaikan?

Namun begitu, ini bukanlah suatu kebenaran untuk diri dengan berleluasa menggunapakai segala perkhidmatan dan barang yang dikeluarkan oleh organisasi yang menyokong gagasan Zionisme ini. Sebagai contoh, sekiranya dengan percambahan kopitiam dan jenama-jenama kopi tempatan, bukankah diri boleh berusaha untuk berubah dengan meninggalkan Starbucks dan juga Nestle Nescafe & Maggi? Usaha yang berterusan pasti akan membuahkan hasilnya yang kerapkali tidak dapat ditafsirkan oleh akal fikiran diri yang serba terhad.

Logo Hiasan: al-Baik

Pada masa yang sama, kita mula menyaksikan kebangkitan golongan usahawan beragama islam yang dilihat berpotensi menandingi jenama-jenama ternama penyokong gerakan Zionis. Semasa tempoh umrah dan ziarah ke dua tanah suci baru-baru ini, minda ini berpeluang untuk berkenalan dengan AL-BAIK. Bagi minda ini, reputasi dan kualiti yang ditunjukkan telah mampu menandingi kehebatan 'fastfood chain outlet' asing yang cuba bertapak di sana. Perbezaan ketara jelas kelihatan pada jumlah pengunjung yang menikmati juadah yang disediakan. Manakala di tanah air pula, diri sudah pasti mula mendengar atau pernah mencuba 'fastfood chain outlet' 'RADIX FRIED CHICKEN'. Minda ini secara jujur masih belum berpeluang untuk mencuba resepi yang disediakan. Semoga jenama ini mampu bersaing dengan jenama-jenama penyokong kuat gerakan Zionis dengan sokongan dan teguran membina daripada umat islam tanah air.

Sekadar Hiasan: 'Garlic Sauce' istimewa resepi rahsia al-Baik

'Ala kullihal, minda ini secara peribadi berpendapat sekiranya diri mempunyai kuasa untuk memilih di antara dua, dan demi kebaikan agar yang lebih utama berdasarkan syara' dapat dilaksanakan, maka hendaklah diri memikirkan boikot sebagai salah satu jalan. Pada masa yang sama, janganlah ada rasa redha apabila terpaksa menggunakan jenama atau perkhidmatan yang disediakan oleh penyokong kuat gerakan Zionis. Sertailah sistem pembentukan diri yang tersusun dan menyeluruh agar diri dapat menjadi "penyokong walaupun secebis." Biarlah sekerdil burung yang cuba memadamkan api yang akan menelan nabi Ibrahim, namun bermakna. Sebagai penutup, saksikan sedutan karya tanah air untuk semua yang mampu memahami bahasa Melayu, GAZA YANG ENGGAN TUNDUK.

WALlahu'alam

Dapatkannya di pasaran sekarang dengan harga RM19.90 seunit

Isnin, 8 Mac 2010

Membakar Semangat

Dengan nama ALlah, Maha Pemurah, Maha Penyayang


Kadang-kadang dalam situasi yang menekan, ilham semangat yang diambil daripada audio visual sedikit sebanyak dapat membantu. Seperti yang dikongsikan di bawah.


Semoga dipermudahkanNya dalam menempuh hari-hari mendatang.

WALlahu'alam