Jumaat, 20 Februari 2009

DILEMA SEORANG INSAN

Dengan Nama Allah, Maha Pemurah, Maha Penyayang.

Dalam kekalutan politik, ekonomi, sosial, dan pelbagai lagi cabang hidup insan kini, kadang-kadang terasa seolah-olah kewujudan insan di dunia yang fana' ini sudah sampai ke penghujung usia. Daripada isu 'lompat-melompat' dan 'murka', pelan 'merancakkan' ekonomi yang dilancarkan, perancangan 'damai', keputusan pilihanraya, sehinggalah cerita pemecatan jawatan ketua jurulatih seorang insan yang pernah merasai gelaran 'juara dunia' dan pelbagai lagi, minda ini meyakini bahawa kesemua kisah-kisah ini pasti mempunyai hikmah yang cuba disampaikan oleh Pemilik Alam Semesta.


Dalam coretan kali ini, minda ini berasa terpanggil untuk berkongsi tentang suatu senario ekoran pengalaman berkampung selama lebih daripada dua minggu mengikuti kursus induksi sebagai permulaan dunia berkarier. Sememangnya merupakan suatu yang ideal untuk 'freshies' yang baru menyertai satu keluarga yang baru iaitu keluarga karier untuk menjalani kursus induksi sebelum memulakan kerja-kerja sebagai seorang yang berkarier.

Sumber: www.lbl.gov/Education/

Tempoh tersebut mengajar terlalu banyak perkara, tidak kira baik atau buruk. Namun hanya neraca yang benar sahaja dapat menapis di antara perkara-perkara tersebut. Dalam coretan kali ini, minda ini ingin berkongsi dengan diri tentang salah satu daripada perkara penting yang selalu dipandang enteng oleh insan. Jika tidak pun, perkara ini mungkin tidak pernah terlintas langsung di dalam fikiran diri. Sesungguhnya, kursus induksi ini merupakan suatu babak yang minda ini merasakan suatu perkara yang membawa makna yang begitu mendalam kerana satu babak dalam kehidupan ini telah memberi peluang kepada diri untuk mendalami tentang mengapa diri menyertai organisasi ini.


Mungkin ada diri mengatakan bahawa minda ini telah terikat dengan kontrak penajaan semasa belajar yang melangkau tempoh masa lebih 10 tahun. Oleh itu, lantaran tidak mampu membayar dengan cara 'lump sum', maka minda ini tiada cara lain kecuali untuk menyertai organisasi ini. Tempoh tersebut bukan sahaja telah mengajar minda ini bahawa organisasi ini begitu bertekad untuk menjadi 'juara global' dalam masa terdekat melalui bidang yang diceburi, malah minda ini telah terfikir tentang maksud hidup sebagai seorang muslim yang perlu bertindak demi menegakkan agama islam sebagai pilihan seluruh insan untuk memimpin dunia.


Kehidupan hari ini menyaksikan khususnya umat islam sendiri yang telah hilang keyakinan dengan sistem yang ditegakkan atas dasar islam yang dipandu oleh Yang Mencipta Sistem Alam Raya ini. Boleh ke kita buat itu? Relevan ke kaedah itu? Dan pelbagai lagi nada yang barbaur sangsi dengan kemampuan sistem islam. Wahai diri, suka minda ini untuk menyeru diri supaya meletakkan minda dengan slogan, "Begins with the end in mind". Buangkan segala kesangsian, paksikan dengan iman dan keyakinan bahawa tiada lagi sistem yang lebih ideal untuk umat manusia melainkan dengan sistem yang disandarkan kepada Yang Paling Memahami sikap dan diri insan.

Sumber: www.accountancyjobsboard.co.uk

Berbalik semula kepada kursus induksi tersebut, minda ini bukan sahaja didedahkan dengan visi dan misi organisasi sahaja, malah minda ini dikerah untuk mengenal visi dan misi serta sikap diri minda ini. Walaupun telah hidup lebih berpuluh tahun, visi dan misi yang belum jelas pasti akan menjejaskan prestasi organisasi apabila minda ini menyertai organisasi tersebut. Segala perancangan untuk menjadi 'juara global' pasti terencat jika tidak selari dengan sikap dan tindakan minda ini walaupun tugas minda ini mungkin hanyalah memasang 'bolt' dan 'nut' pada bebibir sambungan paip-paip.


Begitu juga dengan kehidupan kita sebagai seorang muslim. Dalam memperjuangkan islam di atas muka bumi ini, perkara prinsip seperti visi, misi, dan nilai-nilai hendaklah selari dengan kehendak yang telah digariskan oleh islam itu sendiri. Sekiranya perjuangan menegakkan islam hanyalah setakat di dalam kerongkong sahaja, maka hal ini secara tidak langsung akan merencatkan gerakan islam. Pendek kata, sekiranya diri benar-benar ingin melihat islam ditegakkan di muka bumi ini, segala visi, misi, dan juga niat hati diri hendaklah suci daripada segala perkara yang bertentangan dengan jalan perjuangan islam itu sendiri. Untuk bahagian ini, gunakanlah slogan, "Let's walk do the talk".


Selain itu, organisasi ini juga begitu menekankan integriti atau jujur dan sentiasa menegakkan kebenaran dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pekerja. Konsep ini bukan sahaja perlu diamalkan dalam kerja seharian, malah dalam hubungan dengan rakan sekerja yang begitu ditekankan dengan kepentingan memiliki hubungan yang dipaksikan dengan "SQ" (Spiritual Quotient). Sebarang tindakan yang hanya mengutamakan diri sendiri dan mengorbankan maruah rakan sekerja mahu pun organisasi adalah merupakan suatu tindakan yang tidak boleh diberi tolak ansur lagi. Hal ini kerana, tindakan ini bakal mencalarkan kredibiliti organisasi dan juga mana-mana pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung (contohnya pembayar cukai).


Begitu juga dalam senario seorang yang bekerja untuk islam atau sekurang-kurangnya mengaku bergelar sebagai seorang muslim. Di dalam Kalam Yang Maha Mengetahui, sentiasa ditegaskan tentang buruknya sifat seorang munafiq, sehingga didedikasikan satu surah dengan sifat ini. Sekiranya dosa-dosa (sikap buruk) lain seperti zina, membunuh, dan lain-lain lagi ada dijelaskan hukuman untuk di dunia, tetapi hukuman terhadap orang munafiq adalah jelas di antara Yang Mengetahui Isi-isi Hati dan diri tersebut. Hatta RasuluLlah pun tidak diperintahkan untuk menghukum pengkhianat sebegini selagi mana tiada bukti yang zahir. Lanjutan daripada itu, gerakan islam sangat mendambakan jalinan hubungan (ukhuwwah) yang sangat rapat bukan sekadar rakan sekerja, teman serumah, atau pun teman sepermainan, malah hubungan yang hadir di antara diri yang komited dengan islam adalah lebih jauh mendalam daripada itu. Sesungguhnya, jalinan ukhuwwah ini adalah merupakan suatu paksi daripada kekuatan yang terutama dalam memastikan kalimah Allah tertegak di muka bumi ini.


Sumber: Arkib peribadi

Cukup sekadar ini sahajalah perkongsian pada kali ini walaupun sebenarnya banyak lagi perkara yang hendak dikongsikan. Bagi minda ini, perkongsian demi perkongsian yang diterima semasa kursus induksi tempoh hari memberikan ketukan demi ketukan untuk lebih bersungguh dalam menjadikan islam sebagai "juara global", selari dengan impian organisasi yang disertai. Memetik kata-kata yang sering diulang semasa sesi perkongsian, "If you join this organisation because of 'money', then I don't think this organisation is the right one for you".


"Dan Katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan"

(at-Taubah;9:105)


"Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi"

(al-Munafiquun;63:9)


Akhirul kalam, minda ini ingin mengucapkan selamat berjuang kepada diri yang kembali ke bumi Aotearoa. Semoga dengan pemergian diri ke bumi permukiman di sana membawa erti yang mendalam, bukan setakat untuk diri, malah bakal meninggalkan 'legacy' yang bermakna untuk insan-insan yang berada di sekitar diri. Ingatlah bahawa setiap kelebihan yang diberi pinjam adalah disertakan dengan suatu tanggungjawab yang bakal menjadi bebanan di hari kemudian sekiranya tidak disalurkan pada tempatnya. Wallahu'alam.