Memaparkan catatan dengan label muslim. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label muslim. Papar semua catatan

Isnin, 24 Mei 2010

Kehidupan memang memang mencabar, TETAPI

Dengan nama ALlah Maha Pemurah, Maha Penyayang

Suatu renungan pendek untuk semua di kala menghadapi kepayahan dan kesusahan.



"Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah sesungguhnya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."
(At Taghaabun;64:11)

"Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (daripada kesalahan-kesalahanmu)."

(Asy Syuura;30:42)

WALlahu'alam

Khamis, 7 Januari 2010

Ruangan pada celahan



Sekadar Hiasan: Merenung

Dengan nama ALlah, Maha Pemurah, Maha Penyayang,

Ketika mula mencoretkan perkongsian pada kali ini, minda ini teringat tentang kisah berikut:-

Seperti biasa Rasulullah dan para sahabat akan berkumpul selepas solat berjemaah di masjid. Rasulullah melontarkan pertanyaan :

1) Siapakah di antara kamu yang berpuasa pada hari ini?
2) Siapakah antara kamu yang sudah menziarahi orang sakit pada hari ini?
3) Siapakah antara kamu yang sudah bersedekah pada hari ini?

Tidak ada orang yang menjawab “Ya” bagi ketiga-tiga soalan ini kerana masing-masing khusyuk beribadah di masjid sahaja sepanjang hari itu dan belum lagi keluar dari masjid untuk melakukan kebaikan seperti yang disebutkan Nabi. Tiba-tiba Abu Bakar menjawab, “Wahai Rasulullah. Saya berpuasa pada hari ini. Sebelum datang ke masjid pagi tadi, saya singgah di rumah Abdul Rahman bin Auf yang sakit. Semasa berjalan ke masjid tadi, saya terjumpa seorang peminta sedekah lalu saya berikan sekeping roti.” Rasulullah SAW sangat gembira mendengarnya dan bersabda kepada Abu Bakar, “Bergembiralah kamu dengan syurga. Bergembiralah kamu dengan syurga.”

Olahan Sumber : Abu Bakar: Sahabat Sejati oleh Abdul Latip Talib

Bagi sesetengah daripada diri, kisah ini dijadikan sebagai contoh untuk menumpukan tentang keutamaan bersedekah, berziarah, dan berpuasa untuk mencapai ganjaran syurga. Walaupun minda ini belum menjumpai sumber sahih kisah ini, (semasa perkongsian ini disiapkan) namun minda ini ingin berkongsi tentang pandangan daripada sudut yang lain, selain daripada pandangan sedia ada.

Sekadar Hiasan: Jabal Nur (Gua Hira') ke arah Mekah

Sebenarnya minda ini amat kagum dengan kecekapan (terjemahan untuk 'efficiency') seorang muslim contoh. Inilah contoh ikutan yang sepatutnya dilihat oleh diri. Minda ini mengakui bahawa kecekapan minda ini amat jauh sekali jika dibandingkan dengan beliau, namun minda ini tetap menaruh perasaan untuk mendekati kecekapan yang sedemikian rupa. Ketika individu lain masih lagi belum melangkah keluar daripada masjid untuk memulakan rutin harian, insan bernama Abdullah bin Abu Quhafah telah melakukan bukan sahaja satu, malah tiga kebaktian yang menjadikan beliau calon tunggal syurga pada waktu tersebut. Semoga diri bercita-cita menjadikan kecekapan sehingga ke tahap tersebut.

Wahai diri,
Kadang-kadang dirasakan bahawa masa 24 jam yang diberi pinjam ini amat sesak lagi menyesakkan. Putaran waktu dirasakan begitu pantas. Rupa-rupanya sudah petang. Rupa-rupanya sudah seminggu. Rupa-rupanya sudah sebulan. Dirasakan setahun bagaikan semalaman berlalu. Sungguh pantas masa berlalu. Adakah perlu masa kecederaan sebagai tambahan kepada masa sedia ada? Secara zahirnya, mustahil perkara ini akan berlaku. Namun, minda ini dilirikkan pandangan kepada kisah berikut:-

“Pernah pada suatu ketika, saat Saidina Umar r.a. baru hendak melelapkan mata (Qailulah), tiba-tiba muncul seorang utusan mengetuk pintu rumah baginda. Lantas beliau bangkit daripada pembaringan dan segera bertemu dengan utusan tersebut seraya berkata : “Bagaimanakah aku boleh tidur, sedangkan ada hak yang perlu aku tunaikan? Dan bagaimana aku boleh tidur di waktu malam sedangkan aku perlu menunaikan hak Allah?”


Satu lagi contoh sebenar seorang insan yang memiliki kecekapan yang amat tinggi. Sebenarnya, sudah menjadi sunnatuLlah bahawa dengan bertambahnya usia dan kemampuan, bebanan dan tanggungjawab akan bertambah selari dengan keadaan diri. Kadang-kadang, dirasakan begitu terhad pada kemampuan, apabila dilihat dengan jasad yang satu, sumbangan tenaga hanya dapat dikerahkan secara fizikal pada satu-satu tempat, pada satu-satu masa, sedangkan insan di tempat lain juga mendambakan khidmat daripada jasad yang satu tersebut. Sungguh terhad kemampuan diri dalam menyampaikan khidmat...

Sekadar Hiasan: Pandangan dekat Masjidil Haram dari Jabal Nuur

Selain itu, minda ini diilhamkan tentang satu perbandingan (analogi) ringkas. Kisahnya adalah seperti berikut:-

Di suatu daerah yang permai, tinggal seorang ketua kepada sepasukan tukang rumah. Beliau digelar Pak Mat. Sememangnya dia seorang yang amat pakar dengan rekabentuk rumah banglo satu tingkat. Kehebatannya terbukti kerana dia dapat menghasilkankan binaan yang unik tanpa melihat
binaan di luar yang lain. Pada satu hari, seorang tauke kayu balak berpangkat dato' telah berjaya meyakinkan Pak Mat sepasukan untuk membina sebuah rumah banglo bukan sahaja dua, malah tiga setengah tingkat dengan bayaran yang sangat lumayan. Walaupun Pak Mat dan pasukannya tidak pernah membina rumah yang sedemikian rupa, namun dia dan pasukannya telah bertekad untuk membina tanpa merujuk kepada kepakaran mana-mana pihak yang lain.

Pak Mat merasakan bahawa dengan pengalaman dan kemampuannya yang amat luas dalam binaan sebelum ini mampu untuk menyiapkan binaan yang telah dipersetujui bersama tauke balak tersebut. Bantuan daripada luar hanya diperlukan untuk penyediaan bahan binaan dan yang berkaitan. Dipendekkan cerita, natijahnya binaan tersebut telah tidak dapat menepati cita rasa yang telah dipinta oleh tauke balak tersebut~~
*Watak-watak hanyalah rekaan semata-mata, tidak berkenaan sama ada yang masih hidup, bakal hidup, atau yang telah meninggal dunia.

Walaupun perbandingan di atas adalah agak keterlaluan dan singkat, perkongsian yang cuba diberi ialah kadang-kadang diri perlu melihat keadaan diri daripada padangan sudut orang ketiga. Pandanglah keadaan diri daripada sudut pandangan Abu Bakar r.a. atau daripada Umar r.a. Atau hanya bayangkan diri melihat keadaan diri daripada sudut pandangan insan lain yang melihat karenah diri. Adakah diri sudah benar-benar sibuk? Elakkanlah daripada menjadi seperti kisah perbandingan di atas yang akhirnya hanya memakan diri.

"Dan berdoalah,"Ya Tuhanku, tempatkanlah aku pada tempat yang diberkati, dan Engkau adalah sebaik-baik Yang memberi tempat."
(Al Mu'minuun;23:29)


"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran."

(Al 'Ashr;103:1-3)

Sekadar Hiasan: Matahari Kota Mekah

Akhirul kalam, minda ini ingin mengetengahkan tentang satu konsep bahawa kadang-kadang diri perlu memberikan sedikit ruang waktu untuk merenung kehidupan diri daripada luar kehidupan diri. Jika seharian diri hidup sebagai seorang suami, cubalah melihat keadaan diri daripada pandangan seorang isteri. Jika seharian diri bergelumang sebagai ketua, cubalah merenung keadaan diri daripada pandangan seorang anak buah. Ataupun, jika diri melihat diri begitu sibuk sekali, cubalah diri memandang keadaan diri daripada sudut pandangan seorang yang lebih besar tanggungjawabnya. Atau mungkinkah pandangan keadaan diri daripada sudut multazam dan hijr ismail mampu merungkai kekusutan? Teguran ini hanyalah dihadapkan kepada diri yang mampu memahami perkongsian yang ingin disampaikan.

WALlahu'alam


Sekadar Hiasan: Lokasi Multazam & Hijr Ismail


Jumaat, 20 Februari 2009

DILEMA SEORANG INSAN

Dengan Nama Allah, Maha Pemurah, Maha Penyayang.

Dalam kekalutan politik, ekonomi, sosial, dan pelbagai lagi cabang hidup insan kini, kadang-kadang terasa seolah-olah kewujudan insan di dunia yang fana' ini sudah sampai ke penghujung usia. Daripada isu 'lompat-melompat' dan 'murka', pelan 'merancakkan' ekonomi yang dilancarkan, perancangan 'damai', keputusan pilihanraya, sehinggalah cerita pemecatan jawatan ketua jurulatih seorang insan yang pernah merasai gelaran 'juara dunia' dan pelbagai lagi, minda ini meyakini bahawa kesemua kisah-kisah ini pasti mempunyai hikmah yang cuba disampaikan oleh Pemilik Alam Semesta.


Dalam coretan kali ini, minda ini berasa terpanggil untuk berkongsi tentang suatu senario ekoran pengalaman berkampung selama lebih daripada dua minggu mengikuti kursus induksi sebagai permulaan dunia berkarier. Sememangnya merupakan suatu yang ideal untuk 'freshies' yang baru menyertai satu keluarga yang baru iaitu keluarga karier untuk menjalani kursus induksi sebelum memulakan kerja-kerja sebagai seorang yang berkarier.

Sumber: www.lbl.gov/Education/

Tempoh tersebut mengajar terlalu banyak perkara, tidak kira baik atau buruk. Namun hanya neraca yang benar sahaja dapat menapis di antara perkara-perkara tersebut. Dalam coretan kali ini, minda ini ingin berkongsi dengan diri tentang salah satu daripada perkara penting yang selalu dipandang enteng oleh insan. Jika tidak pun, perkara ini mungkin tidak pernah terlintas langsung di dalam fikiran diri. Sesungguhnya, kursus induksi ini merupakan suatu babak yang minda ini merasakan suatu perkara yang membawa makna yang begitu mendalam kerana satu babak dalam kehidupan ini telah memberi peluang kepada diri untuk mendalami tentang mengapa diri menyertai organisasi ini.


Mungkin ada diri mengatakan bahawa minda ini telah terikat dengan kontrak penajaan semasa belajar yang melangkau tempoh masa lebih 10 tahun. Oleh itu, lantaran tidak mampu membayar dengan cara 'lump sum', maka minda ini tiada cara lain kecuali untuk menyertai organisasi ini. Tempoh tersebut bukan sahaja telah mengajar minda ini bahawa organisasi ini begitu bertekad untuk menjadi 'juara global' dalam masa terdekat melalui bidang yang diceburi, malah minda ini telah terfikir tentang maksud hidup sebagai seorang muslim yang perlu bertindak demi menegakkan agama islam sebagai pilihan seluruh insan untuk memimpin dunia.


Kehidupan hari ini menyaksikan khususnya umat islam sendiri yang telah hilang keyakinan dengan sistem yang ditegakkan atas dasar islam yang dipandu oleh Yang Mencipta Sistem Alam Raya ini. Boleh ke kita buat itu? Relevan ke kaedah itu? Dan pelbagai lagi nada yang barbaur sangsi dengan kemampuan sistem islam. Wahai diri, suka minda ini untuk menyeru diri supaya meletakkan minda dengan slogan, "Begins with the end in mind". Buangkan segala kesangsian, paksikan dengan iman dan keyakinan bahawa tiada lagi sistem yang lebih ideal untuk umat manusia melainkan dengan sistem yang disandarkan kepada Yang Paling Memahami sikap dan diri insan.

Sumber: www.accountancyjobsboard.co.uk

Berbalik semula kepada kursus induksi tersebut, minda ini bukan sahaja didedahkan dengan visi dan misi organisasi sahaja, malah minda ini dikerah untuk mengenal visi dan misi serta sikap diri minda ini. Walaupun telah hidup lebih berpuluh tahun, visi dan misi yang belum jelas pasti akan menjejaskan prestasi organisasi apabila minda ini menyertai organisasi tersebut. Segala perancangan untuk menjadi 'juara global' pasti terencat jika tidak selari dengan sikap dan tindakan minda ini walaupun tugas minda ini mungkin hanyalah memasang 'bolt' dan 'nut' pada bebibir sambungan paip-paip.


Begitu juga dengan kehidupan kita sebagai seorang muslim. Dalam memperjuangkan islam di atas muka bumi ini, perkara prinsip seperti visi, misi, dan nilai-nilai hendaklah selari dengan kehendak yang telah digariskan oleh islam itu sendiri. Sekiranya perjuangan menegakkan islam hanyalah setakat di dalam kerongkong sahaja, maka hal ini secara tidak langsung akan merencatkan gerakan islam. Pendek kata, sekiranya diri benar-benar ingin melihat islam ditegakkan di muka bumi ini, segala visi, misi, dan juga niat hati diri hendaklah suci daripada segala perkara yang bertentangan dengan jalan perjuangan islam itu sendiri. Untuk bahagian ini, gunakanlah slogan, "Let's walk do the talk".


Selain itu, organisasi ini juga begitu menekankan integriti atau jujur dan sentiasa menegakkan kebenaran dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pekerja. Konsep ini bukan sahaja perlu diamalkan dalam kerja seharian, malah dalam hubungan dengan rakan sekerja yang begitu ditekankan dengan kepentingan memiliki hubungan yang dipaksikan dengan "SQ" (Spiritual Quotient). Sebarang tindakan yang hanya mengutamakan diri sendiri dan mengorbankan maruah rakan sekerja mahu pun organisasi adalah merupakan suatu tindakan yang tidak boleh diberi tolak ansur lagi. Hal ini kerana, tindakan ini bakal mencalarkan kredibiliti organisasi dan juga mana-mana pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung (contohnya pembayar cukai).


Begitu juga dalam senario seorang yang bekerja untuk islam atau sekurang-kurangnya mengaku bergelar sebagai seorang muslim. Di dalam Kalam Yang Maha Mengetahui, sentiasa ditegaskan tentang buruknya sifat seorang munafiq, sehingga didedikasikan satu surah dengan sifat ini. Sekiranya dosa-dosa (sikap buruk) lain seperti zina, membunuh, dan lain-lain lagi ada dijelaskan hukuman untuk di dunia, tetapi hukuman terhadap orang munafiq adalah jelas di antara Yang Mengetahui Isi-isi Hati dan diri tersebut. Hatta RasuluLlah pun tidak diperintahkan untuk menghukum pengkhianat sebegini selagi mana tiada bukti yang zahir. Lanjutan daripada itu, gerakan islam sangat mendambakan jalinan hubungan (ukhuwwah) yang sangat rapat bukan sekadar rakan sekerja, teman serumah, atau pun teman sepermainan, malah hubungan yang hadir di antara diri yang komited dengan islam adalah lebih jauh mendalam daripada itu. Sesungguhnya, jalinan ukhuwwah ini adalah merupakan suatu paksi daripada kekuatan yang terutama dalam memastikan kalimah Allah tertegak di muka bumi ini.


Sumber: Arkib peribadi

Cukup sekadar ini sahajalah perkongsian pada kali ini walaupun sebenarnya banyak lagi perkara yang hendak dikongsikan. Bagi minda ini, perkongsian demi perkongsian yang diterima semasa kursus induksi tempoh hari memberikan ketukan demi ketukan untuk lebih bersungguh dalam menjadikan islam sebagai "juara global", selari dengan impian organisasi yang disertai. Memetik kata-kata yang sering diulang semasa sesi perkongsian, "If you join this organisation because of 'money', then I don't think this organisation is the right one for you".


"Dan Katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan"

(at-Taubah;9:105)


"Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi"

(al-Munafiquun;63:9)


Akhirul kalam, minda ini ingin mengucapkan selamat berjuang kepada diri yang kembali ke bumi Aotearoa. Semoga dengan pemergian diri ke bumi permukiman di sana membawa erti yang mendalam, bukan setakat untuk diri, malah bakal meninggalkan 'legacy' yang bermakna untuk insan-insan yang berada di sekitar diri. Ingatlah bahawa setiap kelebihan yang diberi pinjam adalah disertakan dengan suatu tanggungjawab yang bakal menjadi bebanan di hari kemudian sekiranya tidak disalurkan pada tempatnya. Wallahu'alam.

Isnin, 2 Jun 2008

Belajar dan berusahalah selagi diberi peluang~~

Dengan nama Allah, Maha Pengasih, Maha Penyayang,

Minggu ini adalah minggu terakhir untuk semester pertama pengajian di sini sebelum peperiksaan yang bakal menjelma pada minggu hadapan. Maka, kali ini minda ini ingin berkongsi dengan suatu analogi yang insyaAllah melibatkan setiap diri yang sedang atau pernah bergelar sebagai pelajar institut pengajian tinggi (IPT).

Diri semua pasti menyedari bahawa langkah pertama yang perlu dilakukan adalah memastikan bawah diri bergelar pelajar IPT adalah dengan mendaftar dengan subjek yang hendak dipelajari. Pendek kata, "Nak belajar kene la 'enrol'". Nilai mendaftar ini tidak datang dengan nilai yang murah, jika di tempat pengajian minda ini, kos untuk semester kali ini mencecah RM 35 167.12. (Setelah ditukar dengan nilai matawang tempatan). Mahalkan?

Baiklah, mujur dengan nikmat pemberianNya, yuran pengajian minda ini ditaja oleh pihak penganjur. Setelah sudah mendaftar, maka adalah menjadi suatu rutin kepada diri yang telah mendaftar untuk menghadiri kuliah-kuliah yang disampaikan oleh pensyarah-pensyarah yang bijak pandai (walaupun kepakaran mengajar adalah berbeza). Adalah menjadi suatu perkara yang pelik, jika diri sudah mendaftar tetapi tidak mengambil peduli langsung tentang pelajaran yang telah di'enrol'. Buat diri sebegini, patutkah diri dipanggil pelajar IPT jika diri tidak mengambil endah langsung tentang perkembangan pelajaran yang di'enrol'? Tepuk dada, jawab sendiri.

Kemudian, bukan sekadar menghadiri kuliah sahaja, minda ini juga diberikan contoh-contoh soalan untuk dijadikan sebagai latihan untuk lebih memahami tentang subjek yang sedang dipelajari. Kelas-kelas tutorial menjadi suatu medan kepada diri untuk memahirkan diri dan bertanya tentang bahagian-bahagian yang kurang difahami. Walaupun jika tidak menghadirkan diri atau melakukan latihan-latihan soalan tersebut, diri tidak akan dijatuhkan hukuman gantung pengajian, namun diri tetap cuba meletakkannya sebagai prioriti untuk melakukan hal ini sebagai suatu inisiatif mendapat kecemerlangan dalam pelajaran yang diambil.

Bukan setakat itu sahaja, kadang-kadang, sekiranya diri mendapati bahawa subjek yang sedang dihadapi menghadapi kesukaran, diri sanggup mengambil inisiatif dengan mengajak rakan-rakan sekelas untuk mengadakan 'discussion group'. Maklumlah, dengan mengadakan perbincangan secara berkumpulan, maka hasil yang didapati akan lebih memuaskan, lebih-lebih lagi jika perlu menyelesaikan tugasan-tugasan bermarkah yang diberikan oleh pensyarah. Kata diri, 'Sepakat membawa berkat".

Selain itu, sepanjang semester, akan diadakan pelbagai tugasan, projek, amali makmal, ujian, dan pelbagai lagi sebagai garis petunjuk ingin menilai sejauh mana pemahaman yang telah dicapai. Maka, dengan secara tidak langsung, diri secara suka atau tidak, cuba belajar dan 'berkorban' semata-mata untuk mendapatkan pemahaman seterusnya mencapai kecemerlangan jika tidak sekadar melepaskan batuk di tangga. Di sinilah, diri cuba menilai sejauh mana kedudukan diri dalam memahami atau menghayati subjek yang sedang diambil. Dan seperti setiap diri sedia maklum, peperiksaan akhir merupakan penentu kepada segala pencapaian dalam pemahaman subjek yang diambil.


Baiklah, minda ini merasakan cukuplah sekadar ini untuk menceritakan kisah suka duka pelajar IPT. Maka sekarang, minda ini ingin membuka suatu kisah yang hampir serupa atau 'similar' dalam konteks kehidupan diri sebagai MUSLIM.

Rabu, 14 Mei 2008

Perjuangan Yang Belum Selesai



Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Maha Penyayang,

Tika ini, dunia sibuk dengan bencana siklon yang melanda Burma, gempa bumi yang melanda wilayah tengah China, kebangkitan Hizbollah di Lebanon, kemenangan menjadi juara liga perdana, letupan bom di Jaipur, lawatan Bush ke Jerusalem, dan pelbagai lagi isu atau perkara yang berlaku.

Sabtu lalu, CNN menyiarkan segmen khas untuk meraikan ulangtahun pembentukan Israel. Namun minda ini tidak berkesempatan untuk melihat apakah pula yang hendak dipropagandakan di situ. Mari kita meletakkan apa sahaja yang disiarkan oleh CNN itu di tepi seketika, dan menelusuri coretan ini. Kali ini, minda ini ingin berkongsi tentang erti sebenar perjuangan. Apa kata bersama-sama kita duduk (jika berdiri) dan merenung insiden pendek berikut:-

Sabda Rasulullah s.a.w., "Akan sentiasa ada segolongan daripada umatku yang menegakkan kebenaran dan berjuang menentang musuh mereka. Barangsiapa yang cuba menghampakan mereka tidak sekali-kali akan dapat melukakan mereka mahupun melalui kesusahan yang menimpa mereka sehingga datang keputusan Allah, dan mereka akan tetap sedemikian". Maka para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, di manakah mereka ini?" Sabda baginda, "Mereka berada di Baitul Maqdis dan sekitar Baitul Maqdis." Sabda nabi lagi dari Hadis Abu Daud, "Bahawa golongan ini akan tetap menegakkan kebenaran sehingga pejuang terakhir di antara mereka akan berjuang menentang al-Masih, ad-Dajjal....ad-Dajjal"

Bagi menghuraikan insiden ini, bukanlah kemahiran minda ini. Lagi-lagi minda ini tidak terlibat secara fizikal dengan apa yang sedang berlaku di sana. Oleh itu, maklumat lanjut bolehlah dirujuk melalui pautan-pautan berikut:-
Terdapat banyak lagi laman-laman maya yang membawakan kisah yang sedang berlaku, terserahlah pada diri untuk mencarinya atau tidak. Dalam coretan kali ini, minda ini lebih suka berkongsi hasil grafik bergerak yang dihasilkan oleh diri-diri yang sedar dengan tanggungjawab sebagai seorang muslim. Hayatilah~~








Sebagai kesimpulan, perjuangan yang ditampilkan adalah merupakan suatu perjuangan yang tampak jauh lebih tinggi dan bernilai daripada perjuangan yang pernah difikirkan oleh minda ini di mana-mana di dunia. Jika diri merasakan yang pengorbanan dalam perjuangan yang telah dicurahkan sudah cukup banyak dan berbaloi, minda ini berharap agar diri berfikir kembali. Perjuangan Yang Belum Selesai~~

Wallahua'alam

p/s kredit kepada semua penyumbang melalui pautan yang disertakan.