Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Maha Penyayang
Dalam coretan kali ini, minda ini sengaja ingin berkongsi tentang hakikat kehidupan insan yang mempunyai fitrah untuk tidak mahu hidup keseorangan. Mungkin ada kedengaran diri yang tidak suka bersosial dengan insan lain di sekitar, namun pada hakikatnya, diri akan berteman dengan makhluq Allah yang lain selain insan daripada insan. Inginkan contoh?? Suka minda ini menyebut tentang watak-watak fantasi di dalam dongengan anime, komik, novel, tayangan gambar bergerak, alam maya (seperti buku-muka [facebook]), malah logam yang bergelar kenderaan (dan perkara lain yang boleh dibayangkan diri). Maka, adalah jelas bahawa fitrah insan dalam diri bahawa diri akan ingin hidup berteman. Sedangkan Adam kesunyian di dalam syurga walaupun dikelilingi dengan pelbagai nikmat.
Wahai diri,
Mengapa diri ingin berteman?
Minda ini menyaksikan bahawa kebanyakan diri, apabila berteman dengan insan lain, diri akan mempunyai hajat tertentu dengan insan tersebut. Tidak kira sama ada daripada segi materialistik mahupun daripada segi naluri perasaan kasih-sayang yang didambakan daripada insan lain yang dijadikan teman rapat. Dalam kursus di universiti yang diharungi, ada di kalangan diri yang akan dipasangkan dengan insan-insan lain untuk melaksanakan sesuatu kerja projek atau tugasan. Secara kasarnya, tanpa teman yang dipilih tersebut di sisi, maka projek atau tugasan yang diberi tidak akan dapat diselesaikan dengan baik.
Oleh itu, sememangnya tidak dapat dinafikan, teman yang memenuhi kehendak diri adalah amat penting kepada diri dalam meneruskan kehidupan. Namun begitu, pernahkah diri terfikir untuk mencari teman yang sebenar-benar teman?? Pepatah ada menyatakan, "Berkawan biar seribu, berteman biar seorang", iaitu teman yang bukan sekadar berjumpa di jalanan lalu disertakan dengan sekadar bertanya "Assalamu'alaikum, how are you brother/sister?". Tetapi teman yang dimaksudkan adalah teman yang sanggup mengharungi senang susah bersama-sama. Memahami kehendak atau keadaan diri. Insan yang lebih memahami keadaan diri tanpa diri sempat menzahirkan keadaan diri. Insan yang sanggup memenuhi segala kekurangan diri. Malah, sanggup menerima kelemahan diri kemudian disertakan dengan cuba sedaya upaya membantu meningkatkan kekuatan diri terutama dalam pembentukan peribadi terpuji. Sungguh idealistik bunyinya, kan kan?....
Sememangnya diri dapat melihat bagaimana kisah-kisah dongengan mahupun 'based on the true story' menggarap betapa hebatnya persahabatan/percintaan yang wujud di antara watak-watak. Namun begitu, minda ingin bertanya, adakah persahabatan/percintaan itu adalah nilai persahabatan/percintaan yang terhebat di dunia?? Mungkin nilainya hebat kerana dapat menyentuh perasaan diri lalu berderai air mata kerana terharu atas nilai persahabatan/percintaan yang dillihat atau didengar.... Atau mungkin nilainya hebat kerana membawa para penonton atau pendengar untuk berfikir dan menganugerahkan kisah tersebut dengan anugerah-anugerah yang diselitkan dengan babak karpet merah. Mungkin ada juga di antara diri yang menganggap persahabatan/percintaan yang wujud dengan kukuh berdasarkan kenangan/keserasian masa lepas adalah yang terbaik. Maka disandarkan pada kenangan. Pendek kata, diri menganggap persahabatan/percintaan itu kukuh lantaran pernah mengalami zaman yang menuntut diri untuk saling mengenali...
Mungkin ada di antara diri yang berfikir bahawa nilai berteman di dalam konsep kekeluargaan adalah yang terhebat. Mana tidaknya, berpuluh-puluh tahun digunakan untuk membina kenangan bersama dan pada masa yang sama diperkukuhkan dengan ikatan darah (biologically) pasti akan membentuk suatu ikatan persaudaraan yang teramat kukuh. Malah dikatakan si ibu mampu merasakan keadaan anak-anaknya walaupun setiap di antara diri adalah berjauhan. Manakala si ayah pula telah mengorbankan segala penat lelah bertahun-tahun demi mengumpul 'capital' atau dana untuk membesarkan anak-anak.
Oleh itu, minda ini tidak dapat menafikan bahawa ikatan persahabatan atau persaudaraan yang diceritakan adalah sesuatu yang tampak hebat, menyentap perasaan, dan mendidik jiwa. Namun begitu, sedarkah diri bahawa kesemua hubungan yang tampak mulia dan tinggi di atas boleh menjadi suatu yang paling merugikan/menyesalkan jika tidak disandarkan pada tempat yang betul?? Bersama diri memetik kalam yang benar dan terpelihara sejak beribu tahun di bawah :-
"Hai orang-orang mukmin, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cubaan (bagimu), dan di sisi Allahlah pahala yang besar. "
[At Taghaabun; 64:14-15]
Petikan ayat-ayat yang sungguh pendek namun sudah cukup untuk menyentap perasaan minda ini. Bagaimana pula dengan diri? Jika diri masih lagi tidak merasakan apa-apa, renungilah kembali ayat-ayat atau rajin-rajinlah mendalami tafsir ayat-ayat tersebut....
Oleh itu, tidak dapat dinafikan hanyalah satu sahaja ikatan persaudaraan/persahabatan/percintaan yang paling hebat di dunia, tidak memerlukan pengiktirafan sesiapapun (grammy awards atau guinness record sekalipun) lantaran nilai ini telah mendapat sokongan daripada yang Maha Besar iaitu hubungan yang disandarkan hanya kepada yang menjadi sandaran segala makhluq. Pendek kata, hubungan tersebut hanya wujud atas dasar ketauhidan yang diri miliki di dalam diri.
Oleh itu wahai diri,
Semaikanlah rasa persahabatan sesama sahabat diri, semaikanlah rasa cinta kepada insan di sekitar diri, teruskanlah hubungan kemesraan dengan kerabat keluarga walaupun telah terputus atau diputuskan... KERANA... kerana kesemua nilai ini hanya disandarkan kepadaNya.. kerana semua hubungan yang tampak mulia dan hebat itu adalah di dalam melaksanakan perintahNya.
Seterusnya, keadaan ini akan menjadi jelas dan terperinci kerana apabila kesemua hubungan yang wujud adalah dalam melaksanakan perintahNya, maka segala gejala negatif (pergaulan bebas, khalwat [dalam definisi Melayu] dan lain-lain lagi) akan terhindar daripada diri. Segalanya adalah bersandarkan kepadaNya. Dalam pada itu, adalah suatu kesilapan jika ada di antara diri yang tidak memberikan ruang kemaafan kepada insan-insan lain yang cuba untuk belajar menyandarkan hubungan hanya kepadaNya. Insan adalah terdedah kepada kesilapan dan hanya panduan dan sokongan sahaja diperlukan untuk mencapai nilai hubungan yang paling hebat di dunia ini lantaran hal ini tidak mudah semudah menghasilkan coretan pada kali ini.
Akhirul kalam, minda ini ingin mengatakan kepada teman-teman yang dikenali dengan rapat di bumi Auckland ini bahawa minda ini hanya menyandarkan segala hubungan persahabatan yang hadir hanya keranaNya. Terima kasih atas segala 'kenangan' tidak kira pahit atau manis, kerana segalanya adalah merupakan didikan daripadaNya lantaran minda ini menyandarkan hal-hal tersebut kepadaNya bukan atas nama kejuruteraan mekanikal, atau UoA mahupun atas nama pemberi pinjam boleh-ubah minda ini dll.
Dengan ini dipersembahkan pantun ringkas yang diadaptasi daripada sumber berikut (KLIK DI SINI). Hayatilah.....
Apabila diri ingin berteman,
Janganlah kerana kelebihannya,
Kerana mungkin dengan satu kelemahan,
Diri mungkin akan menjauhinya….
Andai diri ingin berteman,
Janganlah kerana kebaikannya,
Kerana mungkin dengan satu keburukan,
Diri akan membencinya…..
Andai diri inginkan sahabat yang satu,
Janganlah kerana ilmunya,
Kerana apabila dia buntu,
Diri mungkin akan memfitnahnya….
Andai diri inginkan seorang teman,
Janganlah kerana sifat cerianya,
Kerana andai dia tidak pandai meceriakan,
Diri mungkin akan menyalahkannya….
Andai diri ingin bersahabat,
Terimalah dia seadanya,
Kerana dia seorang sahabat,
Yang hanya manusia biasa…
Jangan diharapkan sempurna,
Kerana diri juga tidak sempurna,
Kesempurnaan milik mutlakNya,
Dikurnia hubungan sempurna….
Sumber: Old photos
Wallahu'alam....
p/s All the best kepada semua dan yakinlah tiada hubungan yang kekal abadi no matter how 'SOoooo SWEET' it is melainkan hubungan yang hadir kerana disandarkan kepadaNya.. Sehingga ketemu lagi~~
0 comments:
Catat Ulasan