Dengan nama ALlah, Maha Pemurah, Maha Penyayang..
Pada kali ini, minda ini ingin berkongsi suatu informasi ringkas yang jarang didapati di dalam saluran media perdana tanah air. Baru-baru ini, minda ini berpeluang untuk duduk bersama-sama dengan beberapa orang istimewa yang mendapat bonus kurang perkiraan apabila di akhirat kelak. Mereka ini adalah golongan pekak-bisu. Terdapat suatu fenomena yang mengejutkan minda ini apabila berpeluang mendengar perkongsian daripada mereka.
Wahai diri,
Pernahkah diri terfikir bagaimanakah hidup apabila kehidupan di dunia ini menjadi terhad apabila tidak dapat berkomunikasi dengan sekeliling dalam bentuk pendengaran telinga dan percakapan lidah? Hanya nampak gerakan dan warna-warna sahaja tanpa mengetahui apakah namanya... Dalam masa yang sejenak ini, cuba diri bayangkan apakah yang diri dapat lakukan dalam keadaan sedemikian rupa? Namun, terdapat sesetengah golongan manusia yang memandang rendah terhadap golongan ini lantaran ketidakmampuan mereka. Sememangnya kekurangan ini menghadkan kebolehan mereka berbanding manusia normal, namun ingatlah bahawa setiap yang berlaku adalah dalam kekuasaanNya dan pasti dan pasti ada hikmah disebalik yang diri masih jahil dalam memahaminya.
Dalam keadaan serba kekurangan ini, media perdana hanya menyatakan bahawa golongan ini mengalami kesukaran untuk menyara hidup. Maka pelbagai usaha diri dapat lihat yang telah dilakukan untuk menangani isu ini. Namun, setelah duduk dengan golongan ini (dengan perantaraan penterjemah), minda ini telah disingkap dengan suatu informasi yang boleh dikatakan mengejutkan.
Sebagai insan yang hanya mampu melihat dan mengerdip mata, hanya penglihatan sahaja menjadi pengantara dengan sekeliling. Hatta apabila ingin berkomunikasi, padamnya lampu yang menzahirkan malam gelap gelita, terhentilah segala hubungan. Sungguh terhad sekali. Suatu kekurangan yang ada tetapi pasti mengandungi hikmah yang amat besar.
Wahai diri yang memiliki pancaindera yang lengkap,
Minda ini telah difahamkan bahawa dunia pekak-bisu telah dibelenggu dengan suatu fahaman yang pasti menggegarkan pegangan akidah seorang muslim. Dan setiap diri tahu bahawa gagalnya dalam fahaman akidah bererti melakukan dosa syirik yang pasti menutup segala peluang mendapat keampunanNya walaupun di akhirat kelak.
Entah bagaimana fenomena ini bermula, mungkin lantaran terhadnya komunikasi di antara manusia normal dengan golongan ini menyebabkan hal ini berlaku. Walaupun ilmu yang asas pun boleh disalahfahami. Ya, secara amnya, kebanyakan di antara mereka, apabila ditanya, Siapakah ALlah s.w.t. ? Telah menjadi suatu kebiasaan di kalangan golongan ini untuk memahami ALlah s.w.t. sebagai lelaki. Lantaran itu, Siapakah pula Muhammad s.a.w.? Sambung mereka pula, apabila ALlah s.w.t. ialah lelaki, maka Muhammad s.a.w. pastilah perempuan. Na'uzubillahi minzalik. Maha Suci ALlah daripada apa yang diperkatakan.
Pada penglihatan yang terhad, hubungan ALlah-Muhammad adalah sama seperti apabila diri melihat pada gambar-gambar YDP Agong-Permaisuri Agong, atau gambar perdana menteri dengan isterinya, atau menteri besar dengan isterinya, atau gambar sultan dengan permaisurinya. Pada mereka, jika pergi masjid atau mana-mana tempat upacara adat islam, perkataan ALlah pasti akan dipasangkan bersama dengan Muhammad. Begitulah analogi yang minda ini dapat gambarkan.
Walaupun coretan kali ini sangat mudah atau 'simple', namun bagi minda ini, apabila menyentuh soal prinsip, soal akidah, soal pokok, maka isu ini adalah isu utama yang perlu diperjelaskan. Biarlah coretan ini tidak se-pening menjelaskan teori-teori sains tulen (fizik-kimia-matematik-biologi) dan sains sosial (politik, ekonomi, dll. lagi banyak!!), namun hal ini adalah perkara pertama yang perlu diutamakan. Mungkin sebab itulah telah diberikan jalan kepada diri untuk mudah memahami perkara asas ini tanpa perlu menyusahkan pemikiran akal sehingga memudaratkan.
Wahai diri,
Oleh itu apakah yang perlu diri lakukan? Wakil golongan mereka yang berkongsi ini telah menyatakan betapa pentingnya untuk golongan islam mempelajari bahasa untuk berkomunikasi dengan mereka. Ya, mempelajari 'bahasa isyarat' dalam erti kata berkaitan dengan islam. Indahnya bahasa ini adalah kerana bahasa ini mempunyai suatu 'standard' yang sama diseluruh dunia. Suatu 'perkataan' adalah difahami oleh golongan ini walaupun berada di eropah, atau benua-benua yang lain. Cuma perlunya untuk diri mengetahui bahasa untuk menyampaikan makna islam yang sebenar.
Minda ini mengaku berminat, tetapi dirasakan sekarang bukanlah masa yang minda ini berkemampuan untuk diinfakkan untuk mempelajarinya. Maka terhasillah coretan pada kali ini, dengan harapan ada di antara diri yang gemar untuk mempelajari bahasa-bahasa lain dengan hasrat untuk menegakkan kalimahNya di muka bumi ini. Bukankah 'bahasa isyarat' adalah sebahagian daripada bahasa? Semoga dengan usaha diri yang sedikit ini mendapat perhatian daripada ALlah s.w.t.
Wahai diri yang boleh membaca,
Sedar atau tidak, pada kali ini, sambutan tahun baru di antara kalendar islam dan kalendar masehi berlaku hampir serentak. Kepada golongan yang bekerja, tarikh berdekatan ini berlaku merupakan suatu peluang untuk mendapat sedikit ruang untuk melepaskan lelah daripada dunia karier yang menyesakkan. Dan, tarikh tahun baru ini dijadikan suatu 'pit-stop' untuk memeriksa diri dan meletakkan matlamat dalam masa setahun lagi. Biasanya dipanggil 'azam tahun baru'.
Bagi minda ini, biarlah dengan bertembungnya tarikh-tarikh ulangtahun peristiwa hijrah dan tahun baru dijadikan sebagai sumber inspirasi 'kombo' dalam menghadapi masa depan yang pasti akan lebih mencabar. Tiada matlamat yang lebih hebat atau agung daripada matlamat untuk menambahkan pengorbanan demi menegakkan kembali kebenaran islam ke tempatnya. Platformnya?... Tidak kiralah, sama ada melalui pelajaran, karier mahupun kehidupan seharian dan lain-lain lagi. Minda ini menganjurkan diri untuk merenung coretan melalui LINK INI.
Akhirul kalam, minda ini mengucapkan selamat menyambut tahun baru kepada semua yang membaca. Semoga detik-detik masa yang dilalui menjadi lebih berharga sebagai memenuhi kriteria sebagai seorang yang mengaku diri sebagai muslim.
Wallahu'alam
p/s Coretan kali ini tidak disertakan dengan sebarang bunyi sebagai penghormatan terhadap golongan istimewa ciptaan Allah yang telah dikongsikan.