Rabu, 15 Julai 2009

Robot-robot sekalian, berubah!!!

Dengan nama ALlah, Maha Pemurah, Maha Penyayang.

Segala pujian dirafa'kan tanpa jemu atas belas ar-Rahman kerana melapangkan masa untuk untuk coretan pada kali ini. Sesungguhnya kesibukan hidup yang semakin menambat atau mencengkam hidup akan menjadi bagai debu ditiup angin pada hari pembalasan kelak apabila tidak dapat dikaitkan atau dihubungkan dengan zat Yang Maha Besar mentadbir alam yang tersangat luas ini.

Sebelum perkongsian pada kali ini dicoretkan, minda ini dengan perasaan bercampur baur amat sekali ingin berkongsi dengan diri tentang kisah Marwa El-Sherbini, seorang muslimah di Jerman yang kisahnya tenggelam dalam lautan liputan media kes kematian Raja Pop dan pelbagai kisah lain. Memandangkan perkongsian dilakukan oleh
Ibrahim El-Houdaiby, sila klik gambar untuk liputan lanjut. Semoga perkongsian tersebut membuktikan bahawa diri masih sensitif dengan isu umat islam secara umumnya.


Wahai diri,
Baru-baru ini, dunia telah digegarkan dengan fenomena perubahan hasil wacana media Hollywood. Perubahan yang dimaksudkan adalah perubahan daripada jentera bermesin kepada sebuah robot yang lincah dan bijak. Diri mungkin telah menyaksikan (paling tidak tayangan 'trailer') bagaimana proses perubahan tersebut berlaku. Tampak begitu mudah sekali. Malah mungkin ada di antara diri yang berasa bahawa kejadian tersebut adalah begitu 'cool' sekali. Secara jujur, sehingga saat ini, minda ini masih belum berkesempatan menonton 'sequel' khayalan hasil teknologi Hollywood tersebut.


Namun begitu, realitinya, adakah proses perubahan diri boleh berlaku dengan begitu mudah? Semudah menyebut, "Autobots, berubahlah!!"? Semestinya tidak. Sesungguhnya diri hendaklah meyakini bahawa proses perubahan adalah suatu proses yang memerlukan kesungguhan, dan pelbagai ciri-ciri lain lagi. Malah perubahan tersebut hendaklah ke arah pembentukan tamadun kemanusiaan yang lebih mantap dan mulia. Bukannya perubahan seperti gerakan putaran roda di mana titik-titik pada roda akan kembali semula pada titik asal permulaan selepas mengalami perubahan (putaran).

Oleh itu, pada kesempatan kali ini, minda ini ingin berkongsi dengan diri sebuah analogi yang dipetik daripada sebuah karya Hollywood tentang nilai-nilai dan hasil usaha untuk mengubah keadaan. Walaupun watak yang dicipta hanyalah khayalan, namun nilai-nilai murni yang telah digarap (walaupun terselit nilai-nilai yang merosakkan) bolehlah dijadikan iktibar dan pengajaran. Semoga petikan ringkas yang dikongsikan ini menjadi bekalan untuk diri mendapat kekuatan untuk berubah demi pembentukan peribadi muslim diri yang mulia dan mantap. Terimalah:-


Berdasarkan petikan video tersebut, diri telah menyaksikan bahawa Si Alex Raja New York telah melakukan tindakan nekad demi memberikan perubahan kepada komunitinya. walaupun Si Alex dibayangi dengan kisau lampau ditangkap oleh Si Pemburu, tetap digagahinya dengan penuh nekad untuk keluar daripada zon selesa kehidupan. Malah pelbagai lagi pengajaran yang boleh digarap oleh diri hasil perkongsian singkat ini.

"Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia"
(Ar-Ra'd;13:11)

Akhirul kalam, semoga perkongsian ringkas pada kali ini dapat membuka ruang lingkup makna perubahan pada bukan sekadar perubahan fizikal seperti berubah daripada kereta kepada robot, malah perubahan yang menyeluruh meliputi segala aspek penting kehidupan. Sebagai tambahan, perubahan kepada yang lebih baik amat memerlukan segala aspek keperluan seperti ilmu, teman, suasana persekitaran, dan lain-lain lagi. Dan yang paling penting ialah kesungguhan nekad atau dalam erti kata lain 'istiqamah' dalam merencanakan agenda perubahan diri. Oleh itu, adalah menjadi satu keperluan kepada diri untuk mengikuti suatu perancangan atau program yang menyeluruh dan teratur bagi menjayakan agenda perubahan diri kepada yang lebih baik

WALlahu'alam

p.s. Bersama diri mendo'akan kesejahteraan saudara seakidah diri di Turkestan Timur (wilayah XinJiang, China Barat)

Ahad, 14 Jun 2009

Renungkan pandangan


Dengan nama ALlah, Maha Pemurah, Maha Penyayang.

Segala pujian dirafa'kan kepada-Nya kerana dalam suasana yang mula menampakkan kecelaruan dalam kehidupan yang semakin menambat kini, minda ini masih dapat mencoretkan perkongsian yang singkat ini. Dalam kesempatan kali ini, minda ini ingin mengajak diri untuk sama-sama menonton petikan sebuah dokumentari yang diterbitkan oleh sebuah stesen televisyen ternama di dunia.

Daripada jumlah masa tontonan selama satu jam 30 minit, minda ini telah memetik sedikit masa selama lebih kurang lima minit untuk mengelakkan masa yang terlalu lama. Mungkin diri memerlukan masa tersebut untuk aktiviti-aktiviti lain yang lebih bermakna. Dalam sedutan dokumentari ini, minda ini ingin menyeru diri untuk menonton melalui mata hati melalui penghayatan iman yang didapati di dalam diri. Cuba letakkan di tepi segala pemikiran yang inginkan hiburan atau pengetahuan am semata.

Sukacita dipersembahkan...


Sumber: Earth 2007 BBC*
*Maaf atas resolusi video yang agak kabur. Versi HD boleh didapati daripada pusat komersial yang utama.

Wahai diri,
'Crane' yang berhijrah itu sejauh beribu-ribu batu itu telah melakukan suatu perkara yang dirasakan hampir mustahil. Malah, mungkin ada di antara kawanan itu yang buat kali pertama menghadapi halangan yang sedemikian rupa. Diri secara umum meyakini bahawa 'crane' tidak memiliki otak atau akal yang sebijak insan, namun 'crane' tersebut mampu untuk melakukannya. Kemampuan atau kebijaksanaan kawanan 'crane' ini wujud atau hadir adalah tidak lain dan tidak bukan merupakan kurniaan Yang Maha Mencipta 'crane' tersebut.

Sama ada sedar atau tidak, pencipta 'crane' Yang Maha Agung merupakan 'Deity' yang sama mencipta diri ini. Dalam konteks ini, pencipta diri menyeru diri agar memerhatikan dan memikirkan bahawa betapa hebatnya ciptaan yang wujud di muka bumi ini. Maka diri akan terpanggil secara tidak langsung untuk merenung betapa kerdil dan lemahnya diri ini.

"Dan apakah mereka tidak memerhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu." (al-Mulk; 67: 19)*
*Juga boleh rujuk an-Nahl; 16: 79, dan juga an-Nuur; 24: 41.

Akhirul kalam, semoga coretan pendek yang disertakan dengan sedikit paparan grafik ini membangkitkan dan menyegarkan hati dan iman diri tentang betapa agungnya pencipta diri dan betapa kerdilnya diri. Maka adalah suatu yang mustahil dan tidak patut berlaku bagi seorang hamba yang kerdil untuk melakukan sesuatu yang menyanggahi sempadan larangan Tuan Pencipta. Bersama diri renungkan dan berusaha untuk menzahirkan dalam perlakuan seharian.

WALlahu'alam.

p.s. Minda ini baru sahaja mendapat tahu bahawa seorang mujahid islam yang dikenali, ustaz fathi yakan baru sahaja kembali ke rahmatuLlah. Sama-samalah diri mendo'akan keampunan dan kesejahteraan beliau lantaran terlalu banyak sumbangan yang diberikan oleh beliau dalam menyebarkan arus kebangkitan islam.


Ahad, 3 Mei 2009

Katakan Apa Yang Diimpikan

Dengan nama ALlah, Maha Pemurah, Maha Penyayang

"KERANA MU MALAYSIA MAJU", tema ini sememangnya berkait rapat dengan minda ini yang buat kali pertama dalam sejarah hidup di dunia ini menyambut Hari Pekerja sebagai seorang buruh. Terima kasih dipersembahkan kepada yang terlibat secara langsung. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa jerih perih dan keringat para pekerja di tanah air termasuk para pekerja asing (termasuk 'expatriate') semestinya diberikan pengiktirafan kerana sumbangan yang diberikan dalam menjana pembangunan negara. Terima kasih tidak terhingga kepada 'subordinates', 'superiors', dan juga 'colleagues' kerana bersama-sama berusaha menyiapkan tugasan dan mencapai matlamat yang direncanakan.

Dalam coretan kali ini, minda ini ingin berkongsi tentang pemerhatian dan pemikiran yang dibuat berdasarkan kepada kehidupan sehari-hari berinteraksi dengan individu-individu di sekeliling yang sudah berkarier. Berlatarbelakangkan karier industri gas dan petroleum, minda ini berasa begitu tertambat dengan dunia materialistik semata-mata yang sentiasa menjadi butir bicara kebanyakan individu-individu yang gemar berkongsi.


Bagi yang sudah berada, bicaranya adalah tentang dilema ke manakah hendak dibelanjakan material yang diberi pinjam tersebut. Pendapatan sekitar lima angka sebulan menjadi tambatan kepada diri tentang ke manakah hendak dibelanjakan. Membeli kereta, atau rumah, atau tanah yang entah untuk koleksi yang keberapa... Atau tentang skim pelaburan manakah yang membawa pulangan keuntungan material yang paling banyak. Begitulah lagak diri yang sudah berada. Bagi yang kurang berada, lagaknya lebih kurang sama. Cuma perbelanjaannya tidaklah sebesar golongan yang disebutkan sebelumnya.

Realitinya kerana telah menjadi suatu penggarapan umum dalam kehidupan kini bahawa dengan kekayaan yang didapati dapat memuaskan keinginan yang didambakan. Jika tiada kereta, hendak kereta. Jika sudah berkereta, hendakkan yang lebih berkualiti, dan seterusnya sehingga tiada kesudahan. Teringat minda ini pada suatu masa apabila memiliki sebuah alat elektronik. Apabila sudah mahir dengan alat elektronik yang dimiliki, maka telah timbul rasa tidak puas hati dengan apa yang ada dan ingin memiliki alat elektronik yang lebih berkualiti dan canggih lantaran apa yang ada tidak dapat memuaskan kehendak yang diimpikan.

Duhai diri,
Ke manakah hendak dibawa segala kekayaan yang didambakan? Sejarah telah membuktikan tentang individu seperti Qarun, Fir'aun, Namrud, dan lain-lain lagi yang memiliki kekayaan yang jauh lebih hebat daripada billionwan mutakhir seperti Bill Gates, Ananda Krishnan, mahupun tauke gula tebu tanah air, Robert Kuok. Dan diri sudah tahu ke manakah kesudahan yang diterima oleh individu yang diceritakan dalam sejarah tersebut.

Namun begitu, sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kekayaan merupakan perkara yang penting lantaran RasuluLlah s.a.w. pernah berpesan tentang bahayanya berada di dalam kefakiran yang diletakkan dekat dengan pintu kekufuran. Oleh itu, adalah menjadi suatu keharusan kepada diri untuk memiliki kekuatan material dalam menghadapi kehidupan duniawi ini.

Wahai diri,
Suka minda ini memberikan analogi tentang keperluan kepada sesebuah kapal untuk bergerak dari titik A ke titik B dengan menggunakan air sebagai bahan perantara untuk terapung dan berlayar. Namun, sebuah kapal yang telah dipenuhi dengan air di dalam perutnya adalah mustahil untuk tiba ke destinasi yang dikehendaki (kapal selam tidak kira ok). Begitulah minda ini memandang kekayaan material di dunia ini. Sejarah juga telah membuktikan tentang individu-individu seperti Nabi Sulaiman a.s., Nabi Yusuf a.s., Saidina Abdul Rahman ibn Auf r.a., dan lain-lain lagi yang telah memanipulasikan kekayaan yang diberi pinjam pada jalan yang benar. Minda ini teringat tentang suatu pepatah yang berbunyi, "Sesungguhnya kehendak nafsu anak Adam tidak akan dapat dipenuhi sehinggalah perutnya dapat diisi dengan tanah".

"Barangsiapa menghendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami segerakan baginya di dunia itu apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki dan Kami tentukan baginya neraka jahannam; ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir. Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang ia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik. Kepada masing-masing golongan baik golongan ini maupun golongan itu, Kami berikan bantuan dari kemurahan Tuhanmu. Dan kemurahan Tuhanmu tidak dapat dihalangi."
(Al-Israa';17:18-20)

Akhirul kalam, minda ini tidak menafikan adalah menjadi suatu keperluan buat diri untuk memiliki kekuatan material pada sekadar keperluan untuk menghadapi kehidupan duniawi yang ber'sunnatullah'kan material. Mungkin diri mengatakan bahawa minda ini bercoret kosong lantaran minda ini belum perna
h dihamburkan dengan material yang membatasi tahap rasional pemikiran insan, maka minda ini hanyalah menghadapkan permohonan do'a kepada Yang Maha Memiliki Segala Kekayaan untuk mendapat perlindungan daripada hanyut kesan hempasan badai kekayaan duniawi yang boleh menenggelamkan sebesar-besar kapal 220,000 ton kelas Genesis. Maka dalam menghadapi kehidupan duniawi yang begitu mendambakan material sebagai asbab, adalah menjadi tuntutan kepada diri untuk mengikuti suatu proses didikan diri yang tersusun dan holistik dengan harapan agar diri menjadi seorang insan yang bukan sahaja mampu berwaspada dan menghadapi badai duniawi malah menjadi agen perubah dalam ummah yang begitu tenggelam lemas dalam duniawi material semata.

WALlahu'alam

Ahad, 26 April 2009

KONVENSYEN BERAKHIRNYA AGENDA ZIONIS




Dengan Nama ALlah, Maha Pemurah, Maha Penyayang,

Dalam kesempatan yang singkat ini, minda ini ingin menyeru diri yang mempunyai kemampuan untuk menghadirkan diri ke suatu sesi penggarapan umum masyarakat di Malaysia khususnya anjuran bersama Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) untuk menunjukkan satu suara membela nasib umat islam di Palestin khususnya.


Hari/Tarikh : Sabtu/9 Mei 2009
Masa : 8.00 pagi - 5.00 petang
Tempat : Dewan Merdeka, PWTC K. Lumpur
Penyertaan : RM 10.00



PEMBENTANG

Dr. Mohsen Saleh
Pengarah Institute of Islamic Political Thought (IIPT), London

Dr. Azzam al-Tamimi
Pengarah Besar, Pusat Penyelidikan dan Pengajian Az-Zaytouna, Lubnan

Dr. Roslan b Mohd Nor
Penerima Anugerah Akademik Institut Al-Makhtoum 2003 & 2006
PhD in 'Islamic Jerusalem Studies', Aberdeen University Scotland


CARA PENYERTAAN
LAMAN RASMI http://kbaz.net
HUBUNGI SEKRETARIAT K.B.A.Z
TELEFON : 03-8926 7019
FAKSIMILI : 03-8925 9963
EMAIL : kbaz2009@yahoo.com
SMS : 019-6077 372
SILA NYATAKAN
[KBAZ][NAMA PENUH][NO IC]
DAFTAR ONLINE : Klik DI SINI

ATURCARA KONVENSYEN
8.00 - 8.30 PAGI: Pendaftaran Peserta
8.30 - 9.30 PAGI: PEMBENTANGAN I - Dr. Roslan bin Mohd Nor
(Kejatuhan Islam dan Kewujudan Negara Israel)

9.30 - 10.00 PAGI: Kehadiran VVIP dan VIP
Ucapan Alu-aluan - Ustaz Abdullah Zaik b Abd Rahman
(Pengerusi Eksekutif Aman Palestin Sdn Bhd)
Ucapan Perasmian - Menteri di Jabatan Perdana Menteri

10.45 - 11.00 PAGI: Jamuan VVIP dan VIP dan jamuan ringan peserta

11.00 - 12.00 TGH: Pembentangan 2 - Dr. Azzam al-Tamimi
(Sejauh Manakah Kesan Kewujudan Zionis pada Dunia Sejagat)

12.00 - 1.00 TGH: Pembentangan 3 - Dr. Mohsen Saleh
(Hakikat Zionis dan Agenda yang Dipropagandakan)

1.00 - 2.00 PTG: Rehat, makan dan solat

2.00 - 3.00 PTG: Pembentangan 4 - Dr. Azzam al-Tamimi
(Peranan Seorang Muslim dalam Menghadapi Musuh Zionis)

3.00 - 4.00 PTG: Pembentangan 5 - Dr. Mohsen Saleh
(Kebangkitan Islam di Palestin dan Status Agenda Zionis Masa Kini)

4.00 - 5.00 PTG: Majlis Penutup
Ucapan Penangguhan - Dr. Kamil Azmi Tohiran
Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)



Akhirul kalam, zahirkanlah suara diri sebagai sebahagian daripada juzuk kecil ummah yang berfungsi membela islam. Minda ini berasa amat terkilan lantaran tidak dapat menyertai konvensyen ini kerana mempunyai suatu urusan lain yang tidak dapat dielakkan pada masa tersebut. Semoga coretan perkongsian ringkas ini menjadi sebahagian daripada bukti kesungguhan untuk menyatakan kesatuan umat islam khususnya dalam menghadapi isu umat islam sejagat.

WaLlahu'alam

Sabtu, 11 April 2009

Menjadi Geng yang Sedikit



Dengan nama ALlah, Maha Pemurah, Maha Penyayang,

"Kamu 'practical training' kat sini ke?", "'Trainee' ke, staf?", "Saya ingatkan diorang masih belajar lagi", "Kamu ni muda-muda dah mula bekerja"., "Oh, staf baru ke! Ingatkan 'practical trainee' tadi", "Nampak gaya macam tengah belajar lagi la", dan pelbagai lagi baris-baris ayat yang diterima. Kadang-kadang rasa kelakar, namun kadang-kadang rasa agak janggal atau terpinggir. Yang pasti, pengalaman mula bekerja seusai menamatkan pengajian yang dialami ini akan menjadi kenangan dan pengalaman yang sukar dilupakan. Walaupun dalam ajaran islam, apa yang dilihat diluar, adalah merupakan keaslian sifat yang tercerna daripada dalam diri, namun, dalam penilaian rupa fizikal, mungkin diri boleh tersalah tafsir. Maka berhati-hatilah dalam menilai rupa fizikal seseorang dalam pertemuan yang pertama lantaran rupa fizikal belum tentu menggambarkan usia, pangkat, dan yang seangkatan dengannya.

Dalam kesempatan kali ini, minda ini ingin berkongsi tentang suatu sajak yang sejak akhir-akhir ini berlegar di dalam minda ini. Bagi diri yang pernah menduduki Sijil Pelajaran Malaysia kertas Bahasa Inggeris khususnya pada sekitar awal kurun ini, sudah pasti diri telah didedahkan dengan sajak 'The Road Not Taken' karya Robert Frost. Diri boleh membaca melalui bait-bait yang berikut:-

Two roads diverged in a yellow wood,
And sorry I could not travel both
And be one traveler, long I stood
And looked down one as far as I could
To where it bent in the undergrowth;

Then took the other, as just as fair
And having perhaps the better claim,
Because it was grassy and wanted wear;
Though as for that, the passing there
Had worn them really about the same,

And both that morning equally lay
In leaves no step had trodden black
Oh, I kept the first for another day!
Yet knowing how way leads on to way,
I doubted if I should ever come back.

I shall be telling this with a sigh
Somewhere ages and ages hence:
two roads diverged in a wood, and I --
I took the one less traveled by,
And that has made all the difference

"Road at Chantilly" oleh Paul Cézanne

Wahai diri,
Sajak ini agak ringkas dan kebanyakan baitnya mudah difahami dalam kajian teks Bahasa Inggeris yang disediakan. Kesimpulannya yang cuba disampaikan adalah mudah. Watak yang digambarkan telah mengambil masa untuk merenung dan akhirnya memilih jalan yang tidak menjadi pilihan ramai, dan meninggalkan jejak untuk diikuti. Namun, minda ini berhasrat untuk menambah baikkan konteks yang cuba disampaikan dalam konteks islam yang lebih jelas dan difahami.

Sesungguhnya, satu hadis RasuluLlah s.a.w. ada diriwayatkan:-

ABU HURAIRAH R.A. PERNAH MENDENGAR WASIAT RASULULLAH S.A.W: "ISLAM ITU BERMULA DALAM KEADAAN ASING/GANJIL (MINORITI PENGAMAL DAN PENEGAK AL-QURAN DAN SUNNAH). IA AKAN KEMBALI ASING/GANJIL. OLEH ITU, BERUNTUNGLAH ORANG YANG ASING/GANJIL KETIKA ITU."
(HADIS SAHIH RIWAYAT MUSLIM)

Dalam mencernakan kedua-dua perkara di atas, kadang-kadang apabila diri mula bekerja untuk islam (semata-mata untuk islam dan kerana ALlah), maka seringkali diri menyedari bahawa diri berada dalam keadaan begitu asing sekali. Lagi-lagi apabila diri tidak menjalani laluan pengalaman hidup atau kursus pengajian yang mendalami bidang agama islam. Pendek kata, adalah menjadi suatu kejanggalan apabila seorang pelajar jurusan sains, perubatan, kejuruteraan dll. yang komited dengan aktiviti-aktiviti berteraskan dakwah islam. Pendek kata, meletakkan diri untuk komited dengan amal islam padahal diri tidak mengambil jurusan atau bidang keagamaan menjadi suatu kepelikan dalam masyarakat diri khususnya.

Malah, apabila diri tidak mengikuti perkembangan sukan-sukan di Eropah dll. dengan secara mendalam seperti menjadi penyokong kepada sesuatu pasukan atau memilih idola daripada seseorang ahli sukan menjadikan diri dianggap sebagai insan yang pelik. Dalam erti kata masyarakat kini, "You don't have a life!". Begitu juga dalam senario masyarakat negara diri yang begitu menggemari sebuah rancangan realiti berpaksikan hiburan semata yang disiarkan oleh sebuah pembekal televisyen satelit tempatan. Sekiranya diri tidak mengenali dengan mendalam atau mengundi peserta di dalam rancangan tersebut, maka diri akan dianggap pelik.

Wahai diri,
Contoh terakhir yang paling jelas adalah senario yang berlaku dalam masyarakat yang minda ini berpendapat sudah mencapai tahap yang amat kronik. Adalah menjadi fitrah insan untuk diri cenderung kepada jantina yang berlawanan. Tambahan pula, setiap diri meyakini bahawa diri memerlukan seseorang peneman hidup untuk meneruskan kembara pada masa depan. Namun, akibat pelbagai faktor yang jika dicoret akan memanjangkan perkongsian ini, diri sendiri menyaksikan pelbagai gejala atau sindrom yang menyakitkan dan memeningkan. Cukuplah paparan di dada-dada media massa lain menyatakan malapetaka ini. Pendek kata, minda ini melihat masyarakat hari ini memandang sebagai suatu kejanggalan atau kepelikan apabila mendapati diri masih lagi berstatus 'single' lagi-lagi apabila sudah mula berkerjaya. Masyarakat menganggap bahawa sudah menjadi suatu keperluan untuk diri ber'couple' sebagai persediaan masa depan yang entah pasti atau tidak. Secara peribadi, minda ini merasakan jika dengan melibatkan diri dalam percubaan untuk meninggalkan status 'single' akan menjebakkan diri ke dalam kancah maksiat semudah maksiat hati, maka adalah merupakan satu keperluan untuk meninggalkannya. Bak kata pepatah, "Jika takut dilambung ombak, janganlah berumah di tepi pantai". Tips yang mudah, gunakanlah iman dan pengetahuan untuk melakukan penilaian risiko (risk assessment) terhadap tindakan diri dan ingatlah bahawa apabila dasar hubungan yang wujud adalah bukan kerana ALlah dan islam, maka akan wujudlah unsur lain yang rapuh yang menjadi dasar hubungan yang disemai.

Ihsan musa.flickr: Bro Umar H

Marilah diri membaca dan mencari tentang apakah yang cuba disampaikan oleh pencipta diri:-

"Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)-Nya dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) kamu SEDIKIT sekali bersyukur" (as-Sajdah;32:9)

"Sesungguhnya Al Quran itu adalah benar-benar wahyu (Allah yang diturunkan kepada) Rasul yang mulia, dan Al Quran itu bukanlah perkataan seorang penyair. SEDIKIT sekali kamu beriman kepadanya." (al Haaqqah; 69: 40-41)

"Katakanlah: "Dia-lah Yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati." (Tetapi) AMAT SEDIKIT kamu bersyukur." (al Mulk; 67: 23)

Akhirul kalam, pelbagai lagi peringatan dan pengajaran yang disampaikan melalui wahyu tentang golongan yang sedikit ini*. Pendek kata, golongan yang sedikit ini mendapat tempat yang istimewa di dalam wahyu ALlah yang dijelaskan ciri-cirinya. Walaupun begitu, janganlah pula diri bertindak mencipta suatu golongan sedikit yang pelik lagi menyesatkan pula.

WaLlahu'alam.

p.s Jazak ALlah diucapkan kepada semua yang mendo'akan sempena ulangtahun kelahiran.

*2:88, 5:13, 11:40, 34:13, 40:58