Isnin, 12 Oktober 2009

Perkasa JatiDiri Kepemimpinan


Izzatul Islam - Kepada JunduLlah


Dengan nama ALlah, Maha Pemurah Maha Penyayang,

Beberapa jam yang lalu, keputusan pilihanraya kecil N31 DUN Bagan Pinang diumumkan secara rasmi. Pertemuan dua penjuru tersebut menyebelahi sebelah calon berpihak dengan majoriti 5,435 undi (48.71 %), iaitu dengan kemenangan jumlah pangkahan sebanyak 71.82 % daripada peratusan yang keluar mengundi sebanyak 81.65 % daripada jumlah pengundi berdaftar. Sebagai insan yang menjadi warga tanah air, minda ini hanya mampu berharap dan berdo'a semoga pemimpin yang dipilih dan dipercayai pengundi agar mendapat petunjuk hidayah daripada ALlah s.w.t. untuk memerintah dengan adil. Secara peribadi, minda ini masih lagi berasa gusar untuk mencoret tentang kebejatan sistem politik tanah air, lantaran kekalutan dan kekaburan yang berlaku. Oleh itu, minda ini lebih cenderung untuk berkongsi dengan diri tentang hakikat kuasa pemerintahan yang dipandang oleh minda ini.

Wahai diri,
Sebelum minda ini meneruskan perkongsian, pernahkah diri berfikir mengapa setiap kali coretan perkongsian di dalam ruang ini, penggunaan kata ganti nama 'diri' telah dan akan dipakai berbanding dengan kata ganti nama 'kamu', 'awak', mahupun 'pembaca'. Pelikkan? Sekiranya dirujuk kepada struktur tatabahasa, sudah pasti penilaian berada pada tahap yang amat rendah sekiranya tidak mendapat markah berupa sebiji telur. Maafkanlah minda ini sekiranya diri berasa kekok dengan gaya tatabahasa yang digunapakai. Sebenarnya, sejak dari mula ruang perkongsian ini dicoret, minda ini amat berharap agar segala perkongsian yang diberi, akan menjadi suatu intipati untuk renungan peribadi (self-reflection).

Secara realiti, minda ini kerapkali menyaksikan budaya insan yang menyalahkan entiti lain sehingga ada insan yang sanggup menyalahkan Pencipta Yang Maha Sempurna, waa na'uzubilLlahi min zaalik.... Di sini, bukanlah minda ini ingin menyatakan bahawa entiti lain adalah sempurna sehingga tiada kesalahan, namun apa yang cuba ingin minda ini sampaikan ialah perubahan sesuatu perkara adalah bermula daripada di dalam DIRI. Kekecewaan atau kemarahan terhadap entiti lain sahaja sama ada memaki hamun atau dengan memukul sekali pun tidak akan pasti menjamin perubahan, namun minda ini amat yakin bahawa perubahan yang berjaya dilakukan di dalam DIRI adalah merupakan suatu jaminan PERUBAHAN yang pasti berjaya. Pendek kata, kata ganti nama 'DIRI' hanyalah mengharapkan agar setiap kali perkongsian dicoretkan di sini, DIRI berhenti seketika daripada memandang salah dan silap entiti yang lain, lalu merenung keadaan DIRI sendiri dengan pandangan yang mendalam untuk merancang suatu agenda PERUBAHAN yang bukan sahaja keberhasilannya pasti berlaku kepada DIRI, namun memberikan suatu potensi untuk DIRI menjadi agen perubahan kepada entiti di sekitar tidak kira sama ada individu lain mahupun sistem organisasi persatuan (dll.) yang berkaitan dengan DIRI. Semoga penjelasan ini memberikan kemudahan kepada DIRI untuk menerima coretan-coretan yang bakal menyusul di dalam ruang ini.

Ihsan: cipanzzz.blogspot.com

Wahai diri yang mampu berfikir,
Ketika RasuluLlah s.a.w. dalam kesulitan menjalankan 'amal dakwah islam pada peringkat awal di Makkah, para pemimpin Qurasyh telah meminta kebenaran daripada bapa saudara baginda, Abu Talib untuk melakukan tawaran agar RasuluLlah s.a.w. menghentikan usaha menyebarkan pemahaman islam yang sebenar. Antara salah satu 'klaus' yang ditawarkan ialah para pemimpin Qurasyh sanggup meletakkan RasuluLlah s.a.w. sebagai ketua mereka dan memimpin Makkah. Tidakkah diri terfikir bahawa bukankah urusan RasuluLlah menjadi lebih mudah apabila RasuluLlah dilantik menjadi ketua penduduk Makkah? Amanlah semua penduduk muslim Makkah untuk mengamalkan dan menyampaikan gagasan islam kepada penduduk Makkah yang lain. Namun, pasti diri mengetahui bahawa tawaran tersebut telah ditolak oleh RasuluLlah s.a.w. dengan jawapan yang menggugah jiwa para pemimpin Qurasyh. Pernahkah diri berfikir mengapa tawaran-tawaran tersebut ditolak mentah-mentah?

Ketika Khalifah Bani Umaiyah, Umar bin Abdul Aziz memegang tampuk pemerintahan, beliau meluahkan rasa dukacitanya dengan berkata, "Sesungguhnya aku sedang merawat satu urusan yang tiada siapa dapat menolongnya kecuali Allah. Sesungguhnya di atasnya telah mati orang tua, orang yang kecil telah membesar, orang 'Ajam (bukan berbahasa ibundakan bahasa 'Arab) telah mahir berbahasa Arab, dan Arab Badwi telah berhijrah sehingga mereka memandang sesuatu yang bukan agama sebagai agama. Mereka tidak melihat kebenaran selain daripada itu.” Itulah kalimah yang telah diucapkan khalifah Umar Ibnu Aziz dengan rasa dukacita yang mendalam sedangkan beliau telah memegang tampuk pimpinan umat yang menguasai seluruh bangsa sekitar, tersebarnya kebaikan dan umat berhukum kepada syariat Allah secara umumnya.

Sebagai tambahan, ketika Khalifah Harun al-Rasyid menaiki Bukit Safa (di Masjidil Haram), seorang tokoh umat islam bernama ‘Abd ALlah bin ‘Abd al-Aziz al-‘Umari berkata kepadanya: "Lihatlah ke arah Ka'abah." Harun al-Rasyid menjawab: "Aku sedang lihat." Kata beliau lagi:: Berapa jumlah mereka yang kau lihat?" Jawab Harun: "Siapa yang mampu membilangnya?" Kata beliau pula: "Berapakah jumlah manusia yang seperti mereka?" Jawab Harun: "Hanya ALlah yang mampu menghitungnya." Kata al-‘Umari lagi: "Ketahuilah engkau bahawa setiap diri mereka sahaja itu hanya akan ditanya pada hari kiamat tentang diri mereka sahaja, hanya engkau yang akan ditanya tentang diri mereka semua, maka hati-hatilah engkau tentang nasib engkau nanti." Maka terduduk dan menangislah Harun al-Rasyid mengenangkan masa depannya di akhirat kelak.

Wahai diri,
Coretan di atas hanyalah secebis daripada kisah ketokohan pemerintah yang adil pada zaman keemasan empayar islam. Diri boleh mencari lagi contoh lain untuk menjadi inspirasi yang bukan sekadar untuk memimpin umat islam, bahkan untuk segenap lapisan alam raya ini. Itulah jiwa mukmin yang terlalu sensitif dan peka terhadap erti-erti keadilan dan kezaliman, ikutan sunnah dan bid’ah, dan berterusan menyumbang tenaga. Malah jauh sekali untuk mengutamakan soal kepentingan peribadi dan teman penyokong setia yang membuta-tuli demi merencanakan isu kebangkitan umat islam khususnya dan keadilan manusia umumnya.

Sekiranya diri begitu melaung-laungkan pemerintahan yang sedemikian, pernahkah diri berfikir atau terfikir tentang faktor-faktor yang menyumbang kepada keadaan yang sedemikian? Apakah sumber kekuatan yang sebenar? Sejarah telah membuktikan bahawa jatuh bangun umat islam tidak berlaku dalam tempoh masa yang sekejap. Sekejap itu bukan bererti beberapa saat atau jam, tetapi memakan masa berpuluh-puluh tahun, malah menjangkau ratusan tahun. Jalan itu adalah jalan yang panjang namun itu tidak bermaksud kesemua pendukung boleh berehat-rehat dan bersenang lenang. Malah agenda itu menuntut suatu tahap kesabaran yang hanya diri yang tulus ikhlas sahaja dapat mengecapinya.

"Berkata Yusuf: "Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan." Dan demikianlah Kami memberi kedudukan kepada Yusuf di negeri Mesir; (dia berkuasa penuh) pergi menuju kemana saja ia kehendaki di bumi Mesir itu. Kami melimpahkan rahmat Kami kepada siapa yang Kami kehendaki dan Kami tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat baik. (Yusuf;12:55-56)

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (An-nisaa';4:58)

Akhirul kalam, diri mestilah sentiasa berusaha mencari kemuliaan yang lebih sempurna. Diri sepatutnya tidak akan memejamkan matanya dan tidak akan mengelukan lidahnya daripada sebarang penyelewengan yang berlaku. Dan diri-diri inilah jua yang akan bersatu dan mendukung agenda yang teramat besar dan tidak terbayang oleh mata kasar lantaran jalan yang dipilih adalah amat panjang dan mencabar. Oleh itu, sebagai suatu kaedah yang terbaik, diri hendaklah menyertai suatu program perencanaan yang bersepadu, tersusun, dan menyeluruh untuk suatu proses pembentukan diri sebagai seorang muslim yang sejati. Tegakkanlah sistem islam di dalam diri, pasti akan ditegakkan sistem tersebut di sekitar diri.

WALlahu'alam....

"Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ia akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ia sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya" (riwayat al-Bukhari).